Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: 6 SMC baharu diwujudkan dalam perubahan sempadan kawasan undi

Enam Kawasan Undi Perseorangan (SMC) baharu akan diwujudkan bagi Pilihan Raya Umum akan datang, menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) pada Selasa (11 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: 6 SMC baharu diwujudkan dalam perubahan sempadan kawasan undi

Beberapa estet di Queenstown akan membentuk SMC baharu bagi Pilihan Raya Umum 2025. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 11 Mar 2025 04:56PM Dikemas Kini : 11 Mar 2025 04:57PM
SINGAPURA: Enam Kawasan Undi Perseorangan (SMC) baharu akan diwujudkan bagi Pilihan Raya Umum akan datang, menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) pada Selasa (11 Mac).

SMC baharu bagi Pilihan Raya Umum 2025 itu ialah Bukit Gombak, Jurong Central, Queenstown, Jalan Kayu, Sembawang West dan Tampines Changkat.

Empat SMC - Bukit Panjang, Hougang, Marymount dan Pioneer - dikekalkan.

EBRC dibentuk awal tahun ini untuk melakukan semakan bagi sempadan kawasan undi dan menyarankan jumlah dan saiz Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan SMC.

Dalam laporannya pada Selasa (11 Mac), EBRC menyarankan 33 pecahan kawasan undi, yang terdiri daripada 15 SMC dan 18 GRC dengan seramai 97 Anggota Parlimen (AP).

Ini bermakna jumlah AP yang dilantik dari SMC akan bertambah sedikit daripada 15.1 peratus sekarang ini kepada 15.5 peratus.

Terdapat purata 28,384 pengundi bagi setiap AP, turun berbanding 28,510 pengundi bagi setiap AP semasa Pilihan Raya Umum 2020.

Sebahagian SMC baharu diwujudkan untuk menampung kenaikan jumlah penduduk pada masa akan datang di estet-estet perumahan baharu dan bagi mengekalkan saiz GRC bersebelahan.

PERUBAHAN DI BAHAGIAN BARAT DAN TENGAH

EBRC menarik perhatian bahawa kawasan SMC Hong Kah sudah berkembang ketara dan jumlah penduduknya akan terus meningkat dengan pantas pada tahun-tahun mendatang, disebabkan pembangunan perumahan baharu di Tengah dan Bukit Batok West.

"Ia sudah menjadi terlalu besar untuk kekal sebagai SMC," menurut EBRC, sambil menambah estet-estet Tengah akan diserap ke dalam GRC Chua Chu Kang.

Bagi mengekalkan GRC Chua Chu Kang sebagai kawasan undi dengan empat AP di samping menampung kenaikan ketara jumlah penduduk di Tengah, EBRC menyarankan agar estet Bukit Gombak dan Hillview dikeluarkan untuk membentuk SMC Bukit Gombak yang baharu.

Seramai 26,364 pengundi akan ditempatkan di bawah SMC Bukit Gombak.

Meskipun estet Tengah diserap ke dalam GRC Chua Chu Kang, baki SMC Hong Kah North - yang terdiri daripada estet Bukit Batok West - "masih terlalu besar dan jumlah penduduk kian meningkat", menurut EBRC.

EBRC menyarankan agar baki daerah undi SMC Hong Kah North, bersama dengan daerah undi bersebelahan di SMC Bukit Batok dan Yuhua, digabungkan dengan GRC Jurong untuk membentuk GRC Jurong East-Bukit Batok yang baharu.

Untuk mengekalkan kawasan undi baharu ini sebagai GRC dengan lima AP, sebahagian daerah undi akan dikeluarkan untuk membentuk SMC Jurong Central.

SMC ini akan mempunyai seramai 29,620 pengundi dalam pilihan raya akan datang.

Sebahagian estet di Jurong West dan Taman Jurong akan dipindahkan ke GRC West Coast-Jurong West.

Untuk mengekalkan GRC West Coast-Jurong West sebagai GRC lima AP, EBRC menyarankan agar daerah undi paling timur bagi GRC West Coast sekarang ini, yang terdiri daripada estet-estet di Harbourfront dan Sentosa, diletakkan di bawah SMC Radin Mas.

Daerah undi di estet Dover dan Telok Blangah juga harus dipindahkan ke GRC Tanjong Pagar yang bersebelahan, menurut EBRC.

Bagi memastikan GRC Tanjong Pagar kekal sebagai GRC lima AP, sebahagian estet di Queenstown akan dikeluarkan untuk membentuk SMC Queenstown.

SMC baharu ini akan ada 28,857 pengundi.

LAGI 3 SMC BAHARU

Daerah-daerah undi dari GRC Sembawang dan GRC Tampines akan dipisahkan untuk membentuk SMC Sembawang West dan SMC Tampines Changkat yang baharu, memandangkan jumlah penduduk meningkat di kedua-dua GRC.

SMC Sembawang West akan mempunyai 24,153 pengundi manakala SMC Tampines Changkat akan ada 23,802 pengundi.

EBRC juga menyarankan supaya mengecilkan saiz GRC Ang Mo Kio, yang mempunyai jumlah pengundi paling ramai buat masa ini, dengan 190,800 pengundi.

Ini akan dilakukan dengan mengeluarkan sebahagian daerah undi untuk membentuk SMC Jalan Kayu yang baharu, yang akan ada 29,565 pengundi.

PERUBAHAN LAIN

Melihat kepada jumlah tinggi penduduk di SMC Potong Pasir - disebabkan pembangunan HDB di Bidadari - EBRC menyarankan agar sebahagian daerah undi di SMC itu dipindahkan ke GRC Marine Parade.

GRC Marine Parade juga akan menyerap SMC MacPherson dan daerah undi bertentangan dari SMC Mountbatten, dan kekal sebagai GRC lima anggota.
Sumber : CNA/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan