Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: 4 muka baharu calon wanita Melayu/Islam ini tampil perjuang isu rakyat SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pilihan Raya Umum 2025 menyaksikan penyertaan empat calon wanita Melayu/Islam buat julung kalinya.

Hazlina Abdul Halim, Surayah Akbar, Arbaah Haroun dan Siti Alia Mattar tampil membawa suara baharu, memperjuangkan isu kos sara hidup, perumahan dan pemerkasaan masyarakat.

KOS SARA HIDUP, MOBILITI SOSIAL ANTARA TUMPUAN CALON PAP HAZLINA HALIM

Calon PAP GRC East Coast, Hazlina Abdul Halim. (Gambar: Mediacorp)

Antara yang mencuri tumpuan ialah Hazlina Abdul Halim, 40 tahun.

Mantan wartawan, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS dan CEO Yayasan Make-A-Wish Singapore itu yang bertanding di bawah tiket PAP di GRC East Coast, memperjuangkan mobiliti sosial dan sokongan lebih kukuh kepada masyarakat Melayu.

Cik Hazlina menekankan bahawa kos sara hidup memberi kesan langsung terhadap keupayaan keluarga membina masa depan yang stabil.

"Perkara-perkara yang menjadi penting buat masyarakat kita termasuklah seperti di serata Singapura, kos sara hidup kerana ini juga akan mendatangkan impak ataupun kesan untuk masyarakat kita ini membina keluarga yang kukuh," kongsi Cik Hazlina kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

"Ibu bapa pastinya mempunyai aspirasi untuk memastikan anak-anak mereka mendapat peluang untuk berdaya saing bersaing di masa hadapan dengan berpeluang untuk mengalami mutu kehidupan yang lebih tinggi," tambahnya.

CALON SDP SURAYAH AKBAR PERJUANG ISU KOS SARA HIDUP

Calon SDP GRC Sembawang, Surayah Akbar. (Gambar: Mediacorp)

Sementara itu, aktivis lama Parti Demokratik Singapura (SDP) sejak 2008, Surayah Akbar, 42 tahun bertanding di GRC Sembawang.

Suaminya, Encik Jufri Salim merupakan calon SDP di GRC Marsiling-Yew Tee.

Cik Surayah, yang menguruskan sebuah syarikat penerbitan muzik, antara lain memperjuangkan penurunan kadar GST serta pemansuhan GST bagi barang keperluan asas.

"Kos sara hidup itu adalah keutamaan kami sekarang kerana setiap kali kami jumpa sewaktu membuat lawatan rumah ke rumah ataupun 'walkabout' seperti ini, banyak yang meluahkan perasaan keresahan dan kurang senang terhadap kos sara hidup," kongsi Cik Surayah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Kami di sini ingin menyuarakan tentang kenaikan GST, yang sekarang sudah 9 peratus. Jadi kami ingin pemerintah untuk menurunkan kepada 7 peratus dan juga memansuhkan GST untuk keperluan asas seperti telur, gula, beras dan sebagainya, terutama juga susu dan lampin bayi," tambahnya.

ISU PERUMAHAN, BEBAN BESARKAN ANAK ANTARA TUMPUAN CALON WP SITI ALIA MATTAR

Calon WP GRC Punggol, Siti Alia Mattar. (Gambar: Mediacorp)

Satu-satunya calon wanita Melayu/Islam Parti Pekerja (WP), Siti Alia Mattar, 43 tahun, turut membangkitkan isu kos sara hidup selain perumahan semasa berkempen di GRC Punggol.

Sebagai ibu bekerja, beliau juga menyorot kebimbangan ibu bapa terhadap beban kos membesarkan anak.

"Satu topik yang berulang kali dibangkitkan semasa dalam lawatan rumah saya serta dalam perbualan harian saya dengan ibu bapa lain ialah kebimbangan kami sebagai ibu bapa dalam membesarkan anak. Kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan ibu bapa berfikir dua kali untuk mempunyai anak," kata Cik Alia ketika berucap di rapat WP di Maktab Rendah Temasek pada Sabtu (26 Apr).

"Kenaikan GST hanyalah satu lagi halangan yang perlu dihadapi oleh ibu bapa muda dalam memutuskan sama ada untuk mempunyai anak. Kita sepatutnya mengecualikan lebih banyak barangan keperluan daripada GST termasuk barangan makanan asas. HDB mesti menjadi rumah yang mampu dimiliki oleh semua rakyat Singapura, bukan hanya untuk pelaburan," tambah beliau.

CALON PPP ARBAAH HAROUN GARIS CADANGAN ATASI ISU PERUMAHAN

Calon PPP GRC Tampines, Arbaah Haroun. (Gambar: Mediacorp)
Calon wanita Melayu/Islam Parti Kuasa Rakyat (PPP) di GRC Tampines, Arbaah Haroun, 50 tahun, pula membawa pendekatan berbeza dalam isu perumahan.

Antara cadangan PPP ialah memperkenalkan program "Family Kickstart" dengan perumahan khas dua setengah bilik untuk keluarga muda.

Menurut manifesto PPP, flat-flat itu boleh diberikan harga yang dimampui dengan mengecualikan kos tanah mengikut kadar pasaran, supaya pasangan muda boleh berkahwin awal dan membeli rumah.

"Hentikan pengeluaran CPF untuk pangsapuri-pangsapuri yang terlalu mahal. Laksanakan model penilaian jualan semula yang adil berdasarkan baki pajakan bukan harga spekulatif. Skim sewa awam yang lebih mampu milik untuk mereka yang terlepas pandang," kata Cik Arbaah ketika berucap di rapat PPP di Stadium Yio Chu Kang pada Sabtu (26 Apr).

Daripada kos sara hidup, perumahan, hingga mobiliti sosial, para calon membawa pendekatan berbeza dalam menangani keprihatinan pengundi dan aspirasi masyarakat.

Sejauh mana mereka berjaya menambat hati pengundi, akan ditentukan Sabtu (3 Mei) ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan