Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2020: Siapa akan ketuai pasukan PAP di Jalan Besar? Mantan menteri Yaacob beri bayangan wajah baru

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Jalan Besar mungkin akan melihat ketua dan beberapa wajah baru, dengan mantan menteri Yaacob Ibrahim akur ada dalam pasukannya yang berhasrat untuk mengundurkan diri setelah lima penggal dalam pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2020: Siapa akan ketuai pasukan PAP di Jalan Besar? Mantan menteri Yaacob beri bayangan wajah baru

(Gambar: Lam Shushan)

Diterbitkan : 23 Jun 2020 10:36PM Dikemas Kini : 23 Jun 2020 10:51PM

SINGAPURA: Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Jalan Besar mungkin akan melihat ketua dan beberapa wajah baru, dengan mantan menteri Yaacob Ibrahim akur ada dalam pasukannya yang berhasrat untuk mengundurkan diri setelah lima penggal dalam pemerintah.

Namun Dr Yaacob sendiri, yang berusia 64 tahun, tidak mengesahkan sama ada beliau akan berundur diri daripada Pilihan Raya Umum (GE) akan datang. Beliau sekadar memberitahu Mediacorp pada 11 Jun bahawa keputusan itu terletak di tangan parti.

Pada Selasa (23 Jun), Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan Parlimen dibubarkan, merintis jalan bagi Hari Penamaan Calon diadakan pada 30 Jun. Jabatan Pilihan Raya (ELD) kemudian mengumumkan Hari Mengundi jatuh pada 10 Jul.

Dalam catatan Facebook pada Selasa, Dr Yaacob mengucapkan terima kasih kepada pemimpin akar umbi, mantan rakan sekerja serta wakil kawasan undi.

"Bermula hari ini saya bukan lagi seorang Anggota Parlimen (AP) dalam parlimen Singapura kerana ia dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya akan datang," tulis beliau.

"Sedang saya memulakan lembaran seterusnya kehidupan saya, saya akan sentiasa menghargai tempoh 23 tahun yang lalu; rakan-rakan saya dan peluang yang diberikan kepada saya sepanjang pelbagai dugaan dan cabaran untuk menjadi orang yang lebih baik."

Dr Yaacob mengundurkan diri dari jawatannya selaku Menteri Perhubungan dan Penerangan pada 2018. Pada Februari, beliau mengucapkan terima kasih kepada Parlimen seolah-olah membayangkan ia adalah ucapan Belanjawannya yang terakhir. Beliau pertama kali bertanding di Jalan Besar pada 1997.

Dengan PAP lazimnya meletakkan seorang menteri untuk mengetuai setiap GRC, para pengamat politik berpendapat menteri dari kawasan undi berdekatan mungkin akan mengambil alih tempatnya. Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah dianggap cocok untuk memainkan peranan tersebut.

Mereka sudah berkhidmat dalam kawasan undi masing-masing yang diterajui dua menteri dalam Parlimen yang baru dibubarkan: Cik Teo dan Menteri Pertahanan Ng Eng Hen di GRC Bishan-Toa Payoh,manakala Cik Indranee dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing di GRC Tanjong Pagar.

Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How, Datuk Bandar Tengah Cik Denise Phua dan anggota parlimen Lily Neo, yang sudah berkhidmat selama lima penggal kawasan adalah anggota lain pasukan di Jalan Besar.

SIAPA PENGGANTI YAACOB?

Apabila ditanya pendapatnya mengenai laporan bahawa Cik Teo mungkin mengambil alih tempatnya, Dr Yaacob hanya diam dan terus membisu.

Pun begitu, beliau akur bahawa "sekarang tidak ada menteri di Jalan Besar kerana saya sudah mengundurkan diri", dan beliau yakin siapa pun bakal penggantinya "boleh memikul tanggungjawab itu".

Berhubung percaturan menteri dalam pilihan raya, PAP mungkin akan mempertimbankang mereka dari kawasan undi berdekatan, kata Dr Gillian Koh, timbalan pengarah penyelidikan di Institut Kajian Dasar (IPS). Sempadan baru kawasan undi Jalan Besar juga diperluas untuk menyerap beberapa bahagian Bishan-Toa Payoh, katanya.

Profesor Madya Bilveer Singh, seorang profesor sains politik di Universiti Nasional Singapura, setuju dengan pandangan Dr Koh, sambil menambah bahawa "sudah ada banyak sinergi dalam PAP di daerah-daerah ini".

Walau apapun, "tidak mungkin" PAP tidak akan meletakkan seorang menteri untuk menerajui sebuah GRC, kata Dr Felix Tan, pensyarah bersekutu di SIM Global Education.

Dr Tan berkata "sentiasa ada kemungkinan" Cik Teo dapat berpindah dari kawasan undinya di Bishan-Toa Payoh ke Jalan Besar, terutamanya memandangkan Marymount sudah diperuntuk sebagai Kawasan Undi Persendirian (SMC) untuk pilihan raya akan datang.

"Tidak ada keperluan penting bagi seorang menteri dengan kedudukan tinggi untuk bertanding di SMC jika beliau dapat dikerahkan untuk memimpin GRC yang lebih besar dengan banyak wajah baru," katanya.

Para pakar juga menarik perhatian bahawa PAP juga akan cuba mengekalkan profil demografi dalam pasukan Jalan Besar sekarang, terutamanya memandangkan Dr Yaacob adalah wakil masyarakat minoriti di sana.

Dr Koh menarik perhatian kepada spekulasi bahawa Cik Teo dan Anggota Parlimen (AP) Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat mungkin dipindahkan ke Jalan Besar.

Prof Madya Singh berkata Cik Indranee dari Tanjong Pagar juga satu kemungkinan lain untuk memimpin Jalan Besar sebagai wakil minoriti. "Beliau adalah presiden SINDA (Persatuan Pembangunan India Singapura), sangat berkuasa, dan salah satu menteri yang paling berkesan di Singapura," katanya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan