Skip to main content

Singapura

GE2020: Sekitar 20 AP PAP akan bersara tahun ini, antaranya Charles Chong, kata PM Lee

Sekitar 20 Anggota Parlimen (AP)Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan bersara tahun ini, kata Setiausaha Agung parti itu, Encik Lee Hsien Loong pada Sabtu (27 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2020: Sekitar 20 AP PAP akan bersara tahun ini, antaranya Charles Chong, kata PM Lee

PM Lee semasa berucap di pelancaran manifesto PAP bertajuk 'Kehidupan Kita, Pekerjaan Kita, Masa Depan Kita'. (Gambar: PAP)

Diterbitkan : 27 Jun 2020 03:47PM Dikemas Kini : 27 Jun 2020 03:50PM

SINGAPURA: Sekitar 20 Anggota Parlimen (AP)Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan bersara tahun ini, kata Setiausaha Agung parti itu, Encik Lee Hsien Loong pada Sabtu (27 Jun).

Salah seorang daripadanya ialah timbalan speaker Parlimen Charles Chong, yang merupakan AP Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Punggol East sebelum Parlimen dibubarkan.

Encik Lee berkata dalam kalangan semua anggota parlimen PAP, Encik Chong menang dengan majoriti paling tipis - 51 peratus undi di Joo Chiat pada tahun 2011 manakala di Punggol East beliau meraih 52 peratus pada pilihan raya 2015.

"Ini bukan kerana beliau AP yang lemah tetapi setiap kali ada pertarungan yang sukar, dan kita perlukan calon kuat yang akan bertarung dengan bersunggh-sungguh dan bijak, kita letakkan Charles Chong dan setiap kali, Charles dapat melakukannya," tambah Encik Lee, yang juga Perdana Menteri.

Encik Lee berkata demikian di pelancaran manifesto parti PAP bagi Pilihan Raya Umum 2020, dengan tumpuan utamanya untuk mengatasi krisis segenerasi yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19.

Dalam ucapannya, Encik Lee juga menyentuh tentang pengunduran Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong dan Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan yang beliau sifatkan sebagai menandakan "titik peralihan besar" bagi politik Singapura.

"Boon Wan berada dalam semua Kabinet saya sejak hari pertama lagi. Kami melawan dan menang banyak pertempuran bersama. Rasa saling hormat dan mesra yang terjalin sejak sekian lama bertambah erat lagi dengan kami bekerjasama, menangani masalah yang paling teruk,” katanya.

Encik Lee menambah "persahabatan luar biasa" mereka itu hanya dapat dinikmati oleh seseorang yang komited untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Mengenai Encik Goh pula, Encik Lee berkata: “Beliau sudah menyentuh kehidupan begitu ramai warga Singapura, dan memberikan segalanya untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

"Secara peribadi, saya terhutang budi kepada ESM kerana beliau yang membawa saya masuk ke dalam arena politik dan membimbing serta menjadi mentor saya selama ini, meskipun setelah saya menggantikannya sebagai Perdana Menteri," tambah Encik Lee.

Encik Lee tidak memberikan butiran lanjut senarai AP lain yang akan bersara, namun katanya mereka telah berkhidmat setia kepada Singapura dan parti.

"Saya tidak ragu-ragu jika mereka bertanding pada pilihan raya yang akan datang, mereka akan menunjukkan penampilan yang kuat tetapi mereka telah bersetuju untuk undur diri, kerana mereka faham perlunya ada pembaharuan pucuk pimpinan, dan meletakkan kepentingan parti dan negara sebelum diri sendiri," tambah Encik Lee.

Seramai 15 AP PAP mengundurkan diri pada pilihan raya 2015, termasuk lima penjawat kanan - Encik Mah Bow Tan, Encik Raymond Lim, Encik Lui Tuck Yew, Encik Wong Kan Seng dan Encik Hawazi Daipi.

PAP minggu ini mengemukakan 27 calon baru, yang menurut Encik Lee, jumlah lebih banyak berbanding pilihan raya sebelum ini.

Mereka membentuk lebih suku jumlah keseluruhan calon sebanyak 93 orang.

Encik Lee berkata kumpulan calon terbaru itu datang dari semua lapisan masyarakat dan mewakili masyarakat Singapura yang pelbagai.

"Sekiranya terpilih, mereka akan menjadi wakil anda di Parlimen kerana seperti anda, mereka memahami anda dan keprihatinan anda," tambahnya.

Calon-calon baru itu terdiri daripada usahawan, peniaga, peguam, pekerja sosial, penjawat awam dan pegawai di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), kata Encik Lee.

"Kita mempunyai lebih banyak calon wanita juga - seganda berbanding yang lalu - termasuk jeneral SAF wanita pertama kita," katanya.

"Secara individu, setiap calon baru membawa sesuatu yang berbeza kepada pasukan ini. Mereka masing-masing sudah membuktikan keupayaan dalam bidang dan kerjaya mereka."

Beberapa calon juga telah menempuh jalan yang lebih sukar untuk berjaya, kata Encik Lee, sambil menambah bahawa dua daripada mereka dibesarkan di flat sewa, dua lagi harus melalui aliran Normal (Akademik) sebelum masuk politeknik. Seorang kemudian memperoleh ijazah PHD.

“Saya bangga dengan setiap calon yang dikemukakan. Tetapi yang paling saya banggakan ialah secara berkumpulan, mereka mewakili pelbagai pengalaman dan latar belakang kehidupan. "

Encik Lee berkata setiap calon baru akan segera berdepan dengan cabaran politik pilihan raya, namun calon yang mempunyai tugas paling mencabar adalah mereka yang bertanding di kawasan undi pembangkang, seperti di SMC Hougang dan GRC Aljunied.

Tambahnya lagi, dalam pilihan raya 2015, Encik Lee Hong Chuang berjaya menambah pungutan undi PAP di Hougang menjadi 42 peratus, sementara di GRC Aljunied, pasukan Encik Victor Lye melakukan yang terbaik "sehingga memerlukan undi dihitung semula".

“Sejak itu, pasukan PAP bekerja keras di Hougang dan Aljunied. Sekarang mereka bersedia untuk bertanding lagi, kali ini lebih bijak, lebih berpengalaman, dan telah menjalin ikatan yang lebih mendalam dengan penduduk,” kata PM Lee. 

Sumber : Today/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita