Skip to main content

Singapura

GDP SG tumbuh 1.2% pada 2023, namun keadaan luaran kurang baik dijangkakan pada masa depan: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Dec 2023 06:37PM Dikemas Kini : 01 Jan 2024 12:26AM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura berjaya mengelakkan kemelesetan ekonomi pada 2023 apabila ekonomi tumbuh 1.2 peratus.

Namun, dalam amanat Tahun Baharu beliau hari ini (31 Dis), PM Lee memberi amaran tentang persekitaran antarabangsa yang kurang baik.

Beliau juga menggesa rakyat Singapura untuk menyokong peralihan kepimpinan kepada Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong, demi mengatasi cabaran masa depan.

Pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat dengan China di San Francisco baru-baru ini, memantapkan semula hubungan dua hala yang berkocak.

Namun, PM Lee berpendapat, ketegangan dalam hubungan tersebut masih kekal.

Di Ukraine, pertempuran berterusan, sementara di Gaza pula, kematian dan penderitaan berterusan, kata PM Lee.

Walaupun masyarakat Islam Singapura paling terkesan, para pemimpin agama dan masyarakat giat menyokong perpaduan sosial Singapura.

PM Lee berkata, Singapura mesti terus mendekati isu-isu yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat seperti konflik Israel-Hamas dengan sikap toleransi dan saling hormat menghormati pandangan satu sama lain.

Isu tersebut menyumbang kepada apa yang PM Lee sifatkan sebagai tahun 2023 yang mencabar, selain kos sara hidup yang semakin tinggi.

Meskipun Singapura mengelakkan kemelesetan ekonomi dengan mencatatkan pertumbuhan 1.2 peratus tahun ini, keluarga-keluarga masih merasakan tekanannya.

Kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), akan naik kepada 9 peratus yang bakal disalurkan kepada perbelanjaan jagaan kesihatan yang semakin meningkat di tengah-tengah penduduk yang semakin menua.

Bagi mengurangkan kesan kenaikan GST, keluarga-keluarga akan tetap menerima Pakej Jaminan tahun depan.

Dengan cara tersebut, keluarga-keluarga memerlukan akan mendapat bantuan, dan Pemerintah boleh memastikan kewangan negara kekal kukuh dan mampan.

Memandang ke tahun 2024, PM Lee memberi amaran tentang keadaan persekitaran luar yang tidak begitu baik bagi Singapura.

Sungguhpun keadaan geopolitik tidak menentu dan perubahan iklim mewujudkan cabaran besar, Singapura ada sebab untuk menaruh harapan kemajuan teknologi yang pesat, transformasi perniagaan dan kemahiran yang dipertingkatkan.

PM Lee juga memberi jaminan bahawa Pemerintah sedang membantu golongan yang lebih memerlukan, dengan membina perumahan awam mampu milik dan membantu warga Singapura kekal sihat dan menua dengan baik.

Semua usaha tersebut membentuk sebahagian daripada pelan induk kompak sosial yang diperbaharui.

PM Lee menyifatkan agenda Melakar Hala Tuju Singapura sebagai satu matlamat yang tinggi, lebih-lebih lagi kerana ia harus dicapai dalam era perubahan pesat.

Beliau merujuk kepada negara-negara lebih besar yang berpecah belah kerana gagal menangani isu-isu mencabar secara berkesan.

"Banyak penduduk negara yang lebih besar telah berpecah belah dan menjadi lemah disebabkan isu-isu mencabar yang tidak ditangani secara langsung dan berkesan," kata PM Lee.

PM Lee menambah Singapura tidak mampu melakukan kesilapan yang sama.

"Tambahnya lagi, Singapura perlu berusaha lebih gigih lagi untuk menyatu padukan masyarakat kita, dan memperkukuh jati diri serta semangat kenegaraan yang kita kongsi bersama."

PM Lee percaya, Singapura akan terus berada di bawah pengawasan rapi sedang ia menjalani peralihan pucuk pimpinan.

Orang sekeliling, katanya, akan memerhatikan bagaimana para pemimpin baharu mengeratkan hubungan dengan rakyat Singapura, dan sama ada negara kecil seperti Singapura mampu kekal berjaya.

Oleh itu, PM Lee menggesa rakyat Singapura untuk memberikan sokongan penuh kepada DPM Wong dan pasukan 4G beliau.

Beginilah caranya, katanya, untuk Singapura mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita