GCE N(A): Hampir 80% pelajar layak ke Menengah 5
Hampir 80 peratus calon pelajar yang menduduki peperiksaan Peringkat N(A) layak ke Menengah 5, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) serta Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Jumaat (17 Dis).

(Gambar fail: Por Shi Hui)
SINGAPURA: Hampir 80 peratus calon pelajar yang menduduki peperiksaan Peringkat N(A) layak ke Menengah 5, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) serta Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Jumaat (17 Dis).
Lebih 13,600 pelajar yang mengambil peperiksaan Peringkat N 2021 menerima keputusan mereka hari ini. Aturan dibuat bagi calon pelajar untuk mengambil keputusan mereka di dalam bilik darjah dan tidak berkumpul sebagai sebuah kohort.
MOE dan SEAB menyatakan minggu lalu bahawa hanya calon pelajar yang mengambil keputusan mereka akan dibenarkan masuk ke dalam premis sekolah dan langkah-langkah pengurusan selamat akan dilaksanakan.
Daridapa 9,407 calon yang mengambil peperiksaan N(A), 99.5 peratus menerima sijil GCE Peringkat N(A), menurut MOE dan SEAB dalam satu kenyataan bersama. Jumlah itu susut sedikit daripada 99.7 peratus yang dicatatkan tahun lalu.
Sijil ini diberikan kepada calon yang menerima Gred 5 atau lebih baik dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran N(A).
Dalam kalangan calon pelajar yang menduduki peperiksaan Peringkat N(A), 79.2 peratus layak ke Menengah 5. Tahun lalu, 77.7 peratus pelajar yang mengambil kursus yang sama layak ke Menengah 5.
Pelajar ini meraih markah agregat tidak melebihi 19 mata bagi Bahasa Inggeris, Matematik dan tiga subjek terbaik (ELMAB3) serta sekurang-kurangnya Gred 5 bagi semua subjek yang digunakan untuk mengira skor ELMAB3.
Sekitar 50.3 per peratus calon pelajar N(A) juga mengambil mata pelajaran dalam peperiksaan GCE O tahun ini, menurut MOE dan SEAB.
"Sekolah akan menimbangkan keputusan gabungan peperiksaan GCE Peringkat N(A) dan peperiksaan prelim GCE O di sekolah apabila menentukan kelayakan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke Menengah 5 N(A) atau laluan posmenengah," tambah MOE dan SEAB.
Daripada 4,228 pelajar yang menduduki peperiksaan N(T), 98.1 peratus meraih Gred D atau lebih baik dalam sekurang-kurangnya satu subjek dan menerima sijil GCE N(T), naik berbanding 98.5 peratus pada 2020.
SKIM KEMASUKAN LANGSUNG KE PROGRAM POLITEKNIK (DPP)
Pelajar Menengah 4 yang menduduki peperiksaan GCE N(A) dan meraih agregat ELMAB3 tidak lebih daripada 19 mata boleh memohon bagi Skim Kemasukan Langsung Ke Program Politeknik (DPP).
Mereka mesti meraih Gred 4 atau lebih baik bagi kedua-dua mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik serta sekurang-kurangnya Gred 5 dalam tiga subjek lain, tidak termasuk kegiatan kokurikular. Pelajar yang mahu memasuki kursus-kursus perniagaan dan perkhidmatan perlu mendapat Gred 3 atau lebih baik dalam Bahasa Inggeris.
Mata bonus CCA tidak akan diambil kira dalam agregat ELMAB3 yang digunakan bagi menimbangkan kelayakan pelajar untuk program tersebut. Namun, ia diambil kira untuk kemasukan ke politeknik.
Di bawah program DPP, pelajar akan menjalani program persediaan bagi kursus diploma pilihan di politeknik bersama satu program Nitec Lanjutan selama dua tahun di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Mereka yang berjaya menamatkan kursus Nitec Lanjutan dengan purata mata gred (GPA) kelayakan minimum akan dijamin tempat dalam kursus diploma politeknik yang dipadankan dengan kursus Nitec Lanjutan mereka.
Sekitar 1,200 tempat di bawah program itu akan ditawarkan di semua tiga Kolej ITE, menurut MOE dan SEAB, dan permohonan dibuka hari ini.
PROGRAM ASAS POLITEKNIK (PFP)
Pelajar Menengah 4 yang menduduk peperiksaan GCE N(A) juga boleh memohon bagi Porgram Asas Politeknik (PFP). Mereka yang meraih agregat ELMAB3 tidak melebihi 12 mata dan memenuhi syarat tertentu subjek bagi kursus yang dipilih layak untuk memohon.
Pelajar mesti memperolehi Gred 3 atau lebih baik dalam semua subjek yang membentuk agregat ELMAB3 mereka. Untuk kemasukan ke dalam kursus Kumpulan 2 seperti perakaunan, perniagaan, pengurusan hospitaliti dan pelancongan serta pemasaran, mereka mesti meraih Gred 2 atau lebih baik dalam subjek Bahasa Inggeris.
Mata bonus CCA tidak akan diambil kira dalam agregat ELMAB3 yang digunakan bagi menimbangkan kelayakan pelajar untuk program tersebut. Namun, ia diambil kira untuk kemasukan ke politeknik.
Program selama setahun itu menawarkan kurikulum praktikal untuk menyiapkan pelajar bagi memasuki kursus diploma relevan. Selepas menamatkan program itu, pelajar akan melangkah masuk ke kursus diploma yang mereka pilih sebelum itu.
Sekitar 1,500 tempat PFP ditawarkan di semua politeknik dan permohonan akan dibuka pada Januari 2022 paha hari yang sama keputusan GEC O diumumkan.
Pelajar yang berhasrat untuk memohon bagi program asas itu perlu meneruskan pelajaran dahulu di Menengah 5 pada Januari.
Semua pelajar N(A) dan N(T) yang sudah menamatkan pendidikan menengah mereka juga boleh memohon untuk melanjutkan pelajaran mereka melalui program Nitec ITE, menurut MOE dan SEAB.
"Sekolah juga boleh memindahkan pelajar Menengah 4 N(T) ke Menengah 4 N(A) jika mereka meraih Gred A untuk kedua-dua subjek Bahasa Inggeris dan Matematik serta Gred B atau lebih bagi satu subjek lain di Peperiksaan GCE Peringkat N(T)," menurut kenyataan media itu.
PENDIDIKAN DAN BIMBINGAN KERJAYA
Calon pelajar boleh berunding dengan guru atau kaunselor Bimbingan Pendidikan dan Kerjaya (ECG) di sekolah menengah masing-masing untuk membantu mereka merancang langkah seterus haluan pendidikan mereka, menurut MOE dan SEAB.
Pelajar juga boleh membuat janji temu dengan seorang kaunselor di Pusat ECG di MOE melalui telefon, emel atau secara online.
Mereka juga boleh merujuk kepada laman MySkillsFuture untuk mendapatkan lebih banyak maklumat tentang pilihan pendidikan dan kerjaya yang disediakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.