Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GCE 'N': 77% pelajar layak ke Menengah 5, kadar lulus tetap sama

Lebih tiga suku daripada pelajar menengah yang menduduki peperiksaan GCE N tahun ini berjaya melangkah ke Menengah 5, sedang peratusan mereka yang lulus peperiksaan itu tetap sama, menurut pihak berkuasa pada Khamis (19 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
GCE 'N': 77% pelajar layak ke Menengah 5, kadar lulus tetap sama

Gambar fail pelajar menantikan keputusan peperiksaan (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 19 Dec 2019 05:25PM Dikemas Kini : 19 Dec 2019 05:28PM

SINGAPURA: Lebih tiga suku daripada pelajar menengah yang menduduki peperiksaan GCE N tahun ini berjaya melangkah ke Menengah 5, sedang peratusan mereka yang lulus peperiksaan itu tetap sama, menurut pihak berkuasa pada Khamis (19 Dis).

Sekitar 13,700 pelajar yang menduduki peperiksaan GCE Peringkat Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal) 2019, menerima keputusan mereka hari ini (19 Dis).

Daripada kalangan 9,752 pelajar yang menduduki peperiksaan N(A), 99.5 peratus lulus sekurang-kurangnya satu subjek dan dianugerahkan sijil GCE Peringkat N(A), menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

Dalam kalangan pelajar itu, 76.6 peratus berjaya melayakkan diri ke Menengah 5 untuk menduduki peperiksaan GCE O, susut sedikit berbanding 76.9 peratus tahun lalu.

Para pelajar ini mendapat markah agregat tidak lebih dari 19 mata bagi mata pelajaran Inggeris, ilmu hisab dan tiga subjek terbaik (ELMAB3) serta sekurang-kurangnya Gred 5 bagi kesemua subjek berdasarkan perkiraan ELMAB3.

Daripada 4,034 pelajar yang menduduki peperiksaan N(T), 98.1 peratus lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan diberikan sijil GCE Peringkat N(T), naik daripada 97.5 peratus tahun lalu.

LANGKAH SETERUSNYA

Para pelajar ditawarkan laluan pendidikan berbeza berdasarkan gred dan minat dalam bidang-bidang pelajaran yang berbeza.

Para pelajar Menengah 4 N(A) yang meraih agregat ELMAB3 tidak lebih daripada 19 mata layak memohon bagi Skim Pengambilan Masuk ke Politeknik Secara Langsung (DPP).

DPP mempersiapkan para pelajar bagi kursus diploma pilihan di politeknik melalui program Nitec Lanjutan dua tahun di ITE.

Di bawah DPP, para pelajar yang berjaya menamatkan kursus Nitec Lanjutan dan meraih Gabungan Nilai Purata (GPA) minimum yang ditetapkan akan dijamin tempat bagi mengikuti kursus diploma politeknik yang berkaitan dengan kursus Nitec Lanjutan.

Sebanyak 1,200 tempat DPP ditawarkan di ketiga-tiga Kolej ITE dan permohonan bagi DPP dibuka hari ini.

Bagi pelajar Menengah 4 N(A) yang meraih agregat ELMAB3 tidak melebihi 12 mata - naik daripada kriteria 11 mata sebelum ini - mereka boleh membuat permohonan bagi Program Asas Politeknik (PFP). Program tempoh setahun di politeknik ini menawarkan kurikulum praktikal yang diajar oleh pensyarah politeknik untuk menyiapkan para pelajar memasuki kursus diploma yang relevan.

Mereka yang lulus kesemua modul akan melangkah masuk ke kursus diploma yang dipilih sebelumnya.

Sekitar 1,500 tempat PFP ditawarkan di politeknik-politeknik. Permohonan bagi PFP akan dibuka pada Januari pada hari yang sama keputusan Peperiksaan GCE Peringkat O diumumkan.

Pelajar yang berhasrat memohon ke program tersebut perlu terlebih dahulu melayakkan diri ke Menengah 5, menurut MOE dan SEAB. 

Para pelajar N(T) boleh memohon bagi program Nitec ITE. Mereka yang mendapat gred A bagi mata pelajaran Inggeris dan matematik serta gred B atau lebih baik bagi satu mata pelajaran lain juga boleh dipindahkan ke Menengah 4 N(A). 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan