Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GCE 'A': 2 pelajar madrasah ini bangkit daripada kegagalan untuk raih keputusan cemerlang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 92.3 peratus pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah lulus dua subjek H2 dan dua subjek H1 dalam GCE 'A' tahun ini.

Keputusan tersebut, yang diumumkan hari ini (22 Feb), lebih baik berbanding kelulusan 82 peratus yang dicatatnya tahun lalu.

Antara pelajar madrasah itu yang berjaya lulus dengan baik ialah Khalisah Mohamad Hamim, 18 tahun. Namun siapa sangka, belia yang turut diangkat sebagai antara pelajar GCE 'A' terbaik Madrasah Wak Tanjong itu sebenarnya pernah berkali-kali gagal dalam subjek Matematik untuk peperiksaan di peringkat sekolah.

Malah, anak sulung dua beradik itu sekadar mendapat gred 'D' untuk matmatik dalam peperiksaan awal sebelum peringkat GCE 'A'.

"Untuk peperiksaan GCE A, saya banyak buat kertas-kertas siri 10 tahun, buat dua tiga, berulang kali. Saya pun buat kertas-kertas peperiksaan sekolah untuk terus berlatih," kata Khalisah.

Semangat tidak berputus asa itu akhirnya terbayar sudah, apabila Khalisah mendapat gred 'B' untuk kertas H1 Matematik selain mendapat 3 gred 'A' untuk subjek-subjek Ukhrawi.

"Saya rasa gembira dan bangga terhadap diri saya sebab selama ini saya fikir saya tidak akan capai apa yang saya dapat hari ini, tetapi Alhamdulillah semuanya membuahkan hasil," ujar Khalisah.

Dia turut berkongsi satu lagi resepi kejayaan yang mungkin boleh dicontohi pelajar lain.

"Saya sebenarnya tulis nota banyak kali. Walaupun tulis benda sama, saya tetap tulis jadi boleh simpan dalam otak saya," dedah Khalisah.

"Bila sudah hampir peperiksaan, saya hanya perlu baca saja, tidak rasa kelam kabut sebab saya memang sudah siapkan diri dari awal."

Bagaimanapun Khalisah akur bahawa tempoh pembelajaran di rumah (HBL) pada tahun lalu menimbulkan beberapa cabaran untuk dirinya dari segi memberikan tumpuan.

Khalisah berterus terang dengan BERITAmediacorp bahawa belajar semasa zaman pandemik "susah" kerana para pelajar tidak dapat belajar secara bersemuka.

Memang kadang-kadang dia "tertidur juga semasa kelas" sedang berlangsung. Tetapi selepas itu Khalisah berusaha untuk mengulang kaji lagi pelajaran yang diajarkan gurunya.

Dengan dugaan GCE 'A' kini sudah berlalu, Khalisah berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Syariah.

DIJANGKITI COVID TAPI RAIH 2 'A' DAN 3 'B'

Antara pelajar terbaik Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah tahun ini pula ialah Siti Zainab Mohamad Riza Kaflan, 20 tahun.

Perjuangannya menduduki GCE A sememangnya cukup mendebarkan.

Manakan tidak, Siti Zainab dijangkiti COVID-19 sebelum sempat menduduki kertas terakhirnya.

Siti Zainab berkata: "Selepas dapat COVID-19, selama dua minggu itu saya tidak berbual dengan sesiapa dan rasa tertekan juga.

"Kalau rasa macam usaha saya itu sia-sia memang tak cuma rasa sedih sebab kawan-kawan saya semua dapat ambil kertas itu dan saya seorang diri yang tidak dapat ambil. Lepas kertas itu saya tanya macam mana kertasnya. Mereka kata 'senang'," tambahnya.

Dek hanya dapat menduduki dua daripada tiga kertas subjek H2 Bahasa dan Sastera Melayu, dia terpaksa berpuas hati dengan gred 'E'.

Namun demikian, Siti Zainab tetap muncul sebagai antara pelajar paling cemerlang Madrasah Al-Maarif selepas meraih 2 'A' dan 3 'B' untuk subjek-subjek lain.

"Saya rasa bangga dapat banggakan mak bapak tetapi sebenarnya tidak jangkakan dapat keputusan sebegini," ujarnya.

Antara keputusan yang mengejutkan Siti Zainab sendiri adalah subjek Kertas Am (GP) di mana dia meraih gred 'B' kerana sebenarnya itulah subjek paling lemah bagi dirinya sepanjang menuntut di Madrasah Al-Maarif.

"Sebenarnya untuk peperiksaan awal saya gagal. Ada satu kertas yang saya tidak buat begitu baik. Tetapi cikgu saya kata tidak mengapa, biar gagal sekarang, jangan gagal waktu peperiksaan GCE 'A'. Saya betul-betul belajar dengan bersungguh-sungguh, masuk bimbingan-bimbingan singkat, tonton video di YouTube, belajar betul-betul dan akhirnya dapat B," ujar Siti Zainab.

Keputusan cemerlang yang diraihnya juga terhasil kerana Siti Zainab bijak mengimbangi masa di samping pelbagai tanggungjawab yang dipikulnya.

"Saya juga ada tugasan lain, saya merupakan seorang Ketua Pelajar, jadi hari-hari ada tugasan. Balik rumah pun tidak ada banyak masa yang khas untuk belajar dan ulang kaji pelajaran. Jadi kadang-kadang ada juga rasa tertekan juga," kongsinya.

Siti Zainab kini berazam untuk menjadi seorang peguam.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan