Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaya tudung khas Hari Kebangsaan 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA; "Saya akan menangis apabila mendengar lagu Hari Kebangsaan Singapura."

Itulah gambaran semangat patriotik yang berkobar-kobar dalam diri Cik Zakiah Abdullah, pengasas jenama Withsoof, sebuah perniagaan fesyen tudung.

Ia mendorong beliau untuk menghasilkan koleksi hijab khas sempena Hari Kebangsaan Singapura ke-57 tahun ini bagi memeriahkan lagi sambutan tahun ini. 

Koleksi tersebut merupakan kolaborasi antara Withsoof dan Studio Vermily, syarikat ilustrator tempatan. 

Hijab dalam koleksi yang dinamakan Papilionanthe itu, menampilkan bunga kebangsaan Singapura, Papilionanthe Vanda Miss Joaquim, bagi memaparkan Singapura sebagai sebuah bandar flora dan menghijau.

Jika dilihat lebih dekat  dengan teliti, bunga Vanda Miss Joaquim dilukis untuk kelihatan seakan bentuk wau bulan iaitu antara warisan Melayu.
 
Corak yang sama dicetakkan pada hijab yang berbeza warna -  merah, putih dan hitam. 

(Gambar: Adib Taqiuddin)

Sentuhan Hari Kebangsaan lebih menyerlah dengan Cik Zakiah cuba untuk samakan warna merah yang dipilih dengan warna bendera Singapura. Nama yang diberikan pada hijab-hijabnya pula diilhamkan dari ikrar negara seperti keadilan dan persamaan. 

Ia sebagai menghargai nilai-nilai yang menyatukan rakyat negara ini dan menyemai semangat patriotik terutama dalam kalangan generasi muda menerusi helaian tudung.

Selain daripada menunjukkan rasa cinta kepada negara, beliau, yang dulu seorang guru, juga ingin menghasilkan hijab berwarna merah yang boleh digunakan tenaga pengajar di Singapura pada Hari Kebangsaan nanti. 

Koleksi Papilionanthe ditawarkan sejak 24 Julai lalu dan sambutannya amat menggalakkan. 

"Saya tidak tahu bagaimana hendak menjangkau sambutan untuk koleksi ini kerana ia merupakan kali pertama saya menghasilkan koleksi Hari Kebangsaan. Namun begitu, saya sengaja menempah lebih banyak stok supaya lebih ramai yang dapat membelinya," jelas Cik Zakiah yang amat bersyukur dengan sambutan yang diterima. 

Matlamatnya dengan menyambut kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 57 tahun lalu, akan membawa semangat yang menjulang tinggi bagi setiap pemakai tudung Papilionanthe.

(Gambar: Adib Taqiuddin)
Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan