Skip to main content

Singapura

Garis panduan untuk ibu bapa urus anak dilakar bagi karyawan perlindungan kanak-kanak: MSF

Anggaran Waktu Membaca:
Garis panduan untuk ibu bapa urus anak dilakar bagi karyawan perlindungan kanak-kanak: MSF

Gambar hiasan: iStock

Diterbitkan : 27 Dec 2024 05:34PM Dikemas Kini : 27 Dec 2024 05:40PM
SINGAPURA: Garis panduan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berhubung cara ibu bapa menguruskan anak-anak dilakarkan khususnya bagi para karyawan dalam sistem perlindungan kanak-kanak.

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Jumaat (27 Dis), MSF menyatakan bahawa para karyawan tersebut merangkumi mereka yang bertugas secara langsung dengan keluarga berisiko, termasuk kanak-kanak yang pernah mengalami atau berisiko didera, diabaikan atau dicederakan.

Mereka termasuk kakitangan khidmat sosial di pusat khidmat keluarga dan pusat pakar perlindungan kanak-kanak serta sebahagian kakitangan dalam sektor jagaan kesihatan dan pendidikan.

"Garis panduan itu menyokong para karyawan dalam menangani bidang-bidang utama berkait keluarga yang bekerjasama dengan mereka seperti mengekalkan batas yang sihat antara ibu bapa dan anak-anak dan mencari huraian yang sesuai bagi keadaan unik mereka dalam menyokong kesejahteraan kanak-kanak tersebut," kata jurucakap kementerian itu.

Garis panduan MSF mendapat perhatian ramai baru-baru ini selepas akhbar tempatan The Straits Times menerbitkan rencana mengenainya pada awal bulan ini, yang menyebut tentang saranan bagi privasi dan memandikan kanak-kanak.

Kementerian itu menyatakan bahawa garis panduan tersebut diedarkan kepada para karyawan tersebut "bagi memastikan pendekatan yang konsisten dan tertumpu untuk melindungi kanak-kanak".

"Meskipun karyawan lain mungkin menimbangkan garis panduan itu semasa menyokong keluarga-keluarga biasa, ia tidak bertujuan untuk dikuatkuasakan atau bersifat preskriptif merentasi semua konteks keibubapaan. Sebaliknya, ia bermatlamat untuk berfungsi sebagai sumber tambahan bagi para pengamal," kata MSF.

MSF menambah bahawa ia mengambil masa kira-kira setahun untuk menghasilkan garis panduan tersebut, dengan rundingan bersama para pakar seperti pakar pediatrik hospital, pemimpin agama, pekerja sosial dan Cabang Bimbingan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk memastikan bahawa ia "boleh dilaksanakan dan praktikal bagi keluarga dalam sistem perlindungan kanak-kanak".

PERTANYAAN MENGENAI AMALAN KEIBUBAPAAN YANG WAJAR

MSF mendedahkan bahawa pihaknya telah menerima beberapa laporan atau pertanyaan daripada para karyawan dan ibu bapa, yang terlibat dalam tugas melindungi kanak-kanak, tentang sama ada sebilangan amalan keibubapaan itu adalah wajar.

Antara contoh amalan sedemikian, seorang ibu atau bapa kerap memandikan kanak-kanak berusia lapan tahun yang berlainan jantina, sedangkan kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kesukaran untuk mandi sendiri dan meluahkan rasa tidak selesa apabila dimandikan oleh salah seorang ibu bapanya.

Dalam lagi satu contoh, seorang ibu atau bapa berkata bahawa dia tidur seorang diri secara kerap dengan seorang anak berusia 13 tahun yang berlainan jantina, sekalipun anak itu meluahkan rasa tidak selesa.

"Meskipun siasatan awal tidak menunjukkan sebarang niat yang tidak diingini atau salah di sisi undang-undang, MSF atau para karyawan yang terlibat perlu menasihati ibu bapa tersebut supaya menjaga batas yang sihat dengan anak mereka," jelas kementerian itu.

Ia menambah: "MSF percaya semua ibu bapa ingin mempunyai hubungan yang sihat dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dengan anak-anak mereka, dan agar anak-anak mereka itu dapat membesar menjadi orang dewasa dengan hubungan positif dan sihat dengan orang lain.

"Sungguhpun demikian, contoh-contoh itu menunjukkan bahawa kadangkala, disebabkan kurangnya kesedaran tentang batas yang jelas, amalan ibu bapa mungkin secara tidak sengaja menjadikan anak mereka lebih terdedah kepada bahaya dalam konteks lain seperti sekolah dan persekitaran sosial lain."

Kementerian itu turut menekankan bahawa "garis panduan itu bukan bermatlamat untuk dijadikan sebagai peraturan yang harus dilaksanakan atau senarai lengkap tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh ibu bapa".

"Sebaliknya, ia berfungsi sebagai satu prinsip am untuk membantu para karyawan menimbangkan amalam yang paling sesuai bagi setiap keluarga dan menyokong ibu bapa dalam membina hubungan yang sihat dan kukuh dengan anak-anak mereka, sambil menyedari wujudnya keadaan unik bagi setiap keluarga," katanya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita