Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Garis panduan klinikal baru di SG sasar kemurungan wanita hamil, ibu baru melahirkan

Sebagai respons kepada keprihatinan kesihatan awam yang meningkat terhadap isu kemurungan dalam kalangan wanita hamil dan selepas bersalin, sistem jagaan kesihatan Singapura melancarkan garis panduan klinikal pertama mengenai kesihatan mental perinatal.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebagai respons kepada keprihatinan kesihatan awam yang meningkat terhadap isu kemurungan dalam kalangan wanita hamil dan selepas bersalin, sistem jagaan kesihatan Singapura melancarkan garis panduan klinikal pertama mengenai kesihatan mental perinatal.

Garis panduan itu, didedahkan oleh Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan, Dr Janil Puthucheary, di sebuah sidang perubatan pada Jumaat lalu (17 Feb).

Ia bertujuan menangani peningkatan pada kes kemurungan dalam kalangan wanita hamil dan selepas bersalin di Singapura, yang bertambah buruk kerana pandemik.

Hospital utama bagi wanita di sini melaporkan kenaikan sebanyak 47 peratus dalam jumlah pesakit yang didapati positif mengalami kemurungan selepas bersalin antara April 2021 dengan Mac 2022, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Lonjakan itu, yang berlaku semasa pandemik, serupa dengan trend yang dilihat di negara-negara lain, menurut Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Kenaikan itu merupakan kebimbangan utama bagi kedua-dua ibu serta anak dan para pakar memberi amaran mengenai akibat buruk masalah kemurungan yang tidak dirawat semasa pesakit itu hamil dan selepas melahirkan anak.

"Golongan ibu yang mudah terjejas dari segi mental tidak dapat berfungsi dengan biasa atau menjalin hubungan dengan bayi mereka, dan dalam kes-kes lebih serius, berisiko untuk membunuh diri.

"Bagi anak mereka, kemurungan yang dialami oleh ibu mereka boleh menjejas perkembangan otaknya dan mungkin menjejas perangai, tingkah laku serta kesediaan anak itu untuk ke alam persekolahan," kata Profesor Madya Helen Chen, yang mengetuai Jabatan Perubatan Psikologi KKH dan mempengerusi kumpulan kerja bagi garis panduan itu.

Bagi mengelakkan kesan negatif daripada kemurungan, pendekatan berikut ini adalah penting: Pemeriksaan awal dan tindakan segera bagi menangani keresahan serta kemurungan, sebaik-baiknya sebelum wanita itu hamil.

Garis panduan itu adalah sebahagian daripada sebuah siri yang dilakarkan menerusi program utama Institut Kajian Kesihatan Ibu dan Anak SingHealth Duke-NUS (MCHRI), yang bertujuan untuk mengubah kesihatan nasional di Singapura.

Menurut ketua penyiasat utamanya, program itu telah menangani "cabaran metabolik yang semakin berkembang dalam landskap kesihatan ibu dan anak" sejak 2017.

Garis Panduan Kesihatan Mental Perinatal Singapura lebih tertumpu kepada bidang lain iaitu kesihatan mental perinatal daripada peringkat sebelum hamil sehingga selepas bersalin - yang "terlepas pandang", kata Profesor Tan Kok Hian yang mengetuai Unit Epidemiologi dan Audit Perinatal di KKH.

Berikut adalah wadah-wadah untuk mendapatkan bantuan:

Talian Samaritans of Singapore: 1767

Talian Bantuan Institut Kesihatan Mental (IMH): 6389 2222

Talian Bantuan Persatuan bagi Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan