Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Garis panduan hukuman baru diterbitkan untuk rujukan mahkamah, didik orang awam

Satu garis panduan hukuman baru akan diterbitkan untuk mendidik rakyat Singapura tentang proses penjatuhan hukuman mahkamah, dan sebuah panel penasihat hukuman akan dibentuk untuk mengeluarkan garis panduan kepada para hakim.

Anggaran Waktu Membaca:
Garis panduan hukuman baru diterbitkan untuk rujukan mahkamah, didik orang awam

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 05 Mar 2021 12:56PM Dikemas Kini : 05 Mar 2021 12:57PM

SINGAPURA: Satu garis panduan hukuman baru akan diterbitkan untuk mendidik rakyat Singapura tentang proses penjatuhan hukuman mahkamah, dan sebuah panel penasihat hukuman akan dibentuk untuk mengeluarkan garis panduan kepada para hakim.

Ini adalah sebahagian daripada perubahan yang dilakukan oleh Pemerintah sedang ia mengusulkan pindaan perundangan kepada kanun keseksaan mengenai kesalahan seksual, menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen pada Jumaat (5 Mac).

GARIS PANDUAN HUKUMAN

Encik Shanmugam berkata garis panduan hukuman itu akan menjelaskan proses penjatuhan hukuman di mahkamah Singapura dan menangani soalan mengenai tujuan penjatuhan hukuman, jenis-jenis hukuman yang biasa dikenakan, dan faktor-faktor yang diambil kira oleh mahkamah semasa menjatuhkan hukuman.

Garis panduan itu akan diterbitkan di laman web Kementerian Ehwal dalam Negeri dan Kementerian Undang-Undang serta Pejabat Peguam Negara.

PANEL PENASIHAT HUKUMAN

Encik Shanmugam juga mengumumkan bahawa satu panel penasihat hukuman akan dibentuk.

Fungsi utamannya adalah untuk mengeluarkan garis panduan hukuman yang tidak terikat kepada undang-undang.

Misalnya, jika panel itu memutuskan untuk mengeluarkan garis panduan hukuman bagi kesalahan berkaitan kecederaan, panel itu boleh membentangkan rangka kerja hukuman yang mengandungi lingkungan penjatuhan hukuman berdasarkan kedua-dua faktor kecederaan dan kebersalahan.

Kerangka itu juga boleh termasuk faktor-faktor memberatkan dan mengurangkan hukuman yang relevan untuk dipertimbangkan dalam menentukan hukuman.

Garis panduan itu akan diterbitkan dan boleh diakses oleh orang awam, namun tidak terikat kepada mahkamah.

Keputusan untuk membentuk panel itu dibuat selepas mengkaji pengalaman penghakiman lain seperti England, Wales dan Scotland, kata Encik Shanmugam.

Pemerintah mendapati bahawa panel sedemikian berguna kerana ia membolehkan penerbitan garis panduan secara proaktif untuk membuat persediaan atau menangani bidang-bidang keprihatinan dan memudahkan proses yang lebih melibatkan rundingan, katanya.

Encik Shanmugam berkata panel itu mungkin akan berunding dengan pihak-pihak berkepentingan lain dalam melakarkan garis panduan itu.

"Ini akan menjelaskan lagi kepada orang awam tentang hukuman yang mungkin dijatuhkan dan faktor-faktor relevan untuk dipertimbangkan dalam menentukan hukuman, berbanding dengan kedudukan sedia ada yang mana undang-undang hanya menetapkan hukuman maksimum," katanya.

Panel itu akan merangkumi anggota dari pelbagai agensi Pemerintah, termasuk anggota badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara, Kementerian Ehwal dalam Negeri dan Pasukan Polis Singapura.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan