Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Garis masa SimplyGo: Bagaimana ia diperkenalkan dan mengapa keputusan ditarik balik

Anggaran Waktu Membaca:
Garis masa SimplyGo: Bagaimana ia diperkenalkan dan mengapa keputusan ditarik balik

Para penumpang di gantri stesen MRT. (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (22 Jan) menarik balik keputusan untuk memansuhkan sistem pembelian tiket lama agar SimplyGo digunakan secara meluas.

Langkah untuk tidak lagi membolehkan penggunaan kad NETS FlashPay dan sebilangan kad EZ-Link dewasa bagi khidmat bas dan kereta api diumumkan pada 9 Januari.

Sekalipun demikian peralihan tersebut tidak berjalan dengan lancar. Ramai yang merungut tentang keputusan berkenaan dan ada juga yang berdepan kesukaran untuk menukar kad masing-masing.

Begini garis masa melibatkan pelancaran SimplyGo sejak lima tahun lalu:

Mac 2019: Pelancaran SimplyGo

Pada 7 Mac 2019, LTA mendedahkan bahawa pihaknya akan melancarkan SimplyGo, bermula dengan Mastercard pada April.

Ini mahu dilancarkan menyusuli "kejayaan uji cuba sistem Pembelian Tiket Berdasarkan Akaun (ABT)", menurut LTA.

Program rintis ABT, yang diperkenalkan pada 2017, membolehkan para penumpang melakukan perjalanan dengan melakukan pembayaran tanpa sentuh, dan bukan mempunyai satu kad tambang berasingan.

SimplyGo mengupaya para penumpang menggunakan kad bank tanpa sentuh di pengangkutan awam, selian membolehkan mereka menyimpan rekod pembayaran tambang dengan mendaftar bagi satu akaun di Portal SimplyGo TransitLink, menurut LTA dalam kenyataan medianya.
Jun 2023: EZ-Link, TransitLink bergabung di bawah SimplyGo

LTA menyatakan bahawa EZ-Link dan khidmat-khidmat transit serta yang berkaitan kad perjalanan TransitLink akan dirangkumkan di bawah jenama SimplyGo.

Pusat-pusat khidmat pelanggan TransitLink di stesen-stesen MRT mahupun pusat pertukaran bas juga dinamakan semula sebagai pejabat tiket dan pusat perkhidmatan SimplyGo.

9 Jan 2024: Kad EZ-Link bukan di bawah jenama SimplyGo, NETS FlashPay mahu dimansuhkan

Inilah pengumuman yang mencetuskan pelbagai reaksi di wadah online daripada para penumpang.

Bermula 1 Jun 2024, kad dewasa EZ-Link bukan di bawah jenama SimplyGo dan NETS FlashPay tidak lagi boleh digunakan untuk membayar tambang pengangkutan awam, menurut LTA.

Agensi tersebut menjelaskan bahawa peralihan mahu dilakukan kerana "penggunaan kaedah pembayaran SimplyGo yang semakin meluas sementara legasi sistem pembelian tiket menggunakan kad nampaknya di hujung jangka operasinya".

LTA menambah bahawa hampir 70 peratus urus niaga melibatkan tambang penumpang dewasa dilakukan dengan kad EZ-Link SimplyGo atau bank. Maka itu, ia tidak menjangkakan ramai penumpang akan terjejas oleh peralihan ini.
Para penumpang dinasihatkan agar memuat turun aplikasi mudah alih SimplyGo untuk mengakses khidmat-khidmatnya, termasuk melihat urus niaga tambang, di samping menokok nilai kad tanpa perlu ke kios.

LTA menarik perhatian kepada beberapa manfaat SimplyGo, seperti menambah nilai kad menggunakan aplikasi mudah alih, menghalang urus niaga seandainya kad tidak dapat ditemui, dan menerima pemberitahuan mengenai tambang dan baki dalam kad.

Orang ramai merungut; berdepan masalah tukar kad EZ-Link

Keputusan untuk sepenuhnya memindahkan sistem kepada SimplyGo mencetuskan tanda tanya tentang sama ada langkah itu sememangnya perlu dilakukan, dengan ramai meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial.

Ada yang bertanya mengapa sistem yang tidak bermasalah perlu "diperbaiki".
Salah satu aduan yang paling banyak diutarakan bersangkut-paut dengan bagaimana baki dalam kad tidak dipaparkan di gantri atau mesin pembaca kad.

"Memandangkan urus niaga SimplyGo diproses sistem yang tidak dapat diakses secara langsung, sama seperti urus niaga kad kredit dan debit, para penumpang yang menggunakan SimplyGo tidak akan dapat melihat potongan tambang dan baki kad di gantri stesen dan mesin pembaca kad," jelas LTA.

Berikutan pengumuman itu, sebilangan penumpang cuma menukar kad EZ-Link masing-masing tetapi mereka berdepan masalah seperti perlu menunggu lama dan gagal membuat penukaran yang akhirnya membuat mereka mempunyai kad yang tidak boleh dipakai.
Papan tanda bersebelahan mesin pembelian tiket di stesen MRT City Hall menyatakan proses menaik taraf kepada SimplyGo akan memakan masa minit. (Gambar: CNA/Abigail Ng)
12 Jan 2024: Tambang "secara teknikal" boleh dipaparkan

Pada 12 Januari, LTA menyatakan bahawa tambang "secara teknikal" boleh dipaparkan bagi para pengguna SimplyGo, tiga hari selepas pihaknya menyatakan bahawa para pengguna SimplyGo tidak boleh melihat maklumat tambah di gantri-gantri stesen dan pada mesin pembaca kad disebabkan cara urus niaga berkaitan, diproses.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, LTA menyatakan bahawa sebaik sahaja kad EZ-Link SimplyGo diimbas, ia akan mengambil masa "beberapa saat" bagi gantri dan mesin pembaca kad untuk mendapatkan lalu memaparkan maklumat mengenai tambang mahupun baki kad, daripada sistem yang tidak boleh diakses.

"Walaupun secara teknikal ia boleh dilakukan, ia akan melambatkan proses para penumpang keluar masuk (pengangkutan awam)," menurut LTA.

"Memandangkan bilangan penumpang yang menaiki MRT dan bas sangat besar, ini akan mengakibatkan barisan lebih panjang dan ini bukanlah sesuatu yang diinginkan."

LTA menambah bahawa app SimplyGo membolehkan para penumpang untuk "melihat maklumat ini dan lebih banyak lagi", sambil merujuk kepada pemberitahuan pada telefon bijak para pengguna.

"Para pengguna SimplyGo yang memilih untuk tidak menggunakan app juga boleh melihat butiran perjalanan dan memerika baki kad di mesin-mesin pembelian tiket di setiap stesen kereta api dan pusat pertukaran bas."

22 Jan 2024: Langkah sepenuhnya beralih ke SimplyGo ditarik balik

Pada Isnin (22 Jan), rancangan untuk memansuhkan sistem pembelian tiket sedia ada, ditarik balik.

"LTA akan melanjutkan sistem pembelian tiket penumpang dewasa yang menggunakan kad (CBT), di mana ia akan beroperasi di samping sistem SimplyGo," dedah LTA.

"Lanjutan itu akan terus menyediakan para penumpang dewasa pilihan untuk menggunakan kad EZ-Link dan NETS FlashPay atau kad yang boleh digunakan bagi sistem SimplyGo di pengangkutan awam."

Ia menambah, para penumpang dewasa yang sudah membeli kad EZ-Link SimplyGo, atau menukar kad EZ-Link masing-masing kepada kad EZ-Link SimplyGo dari 9 hingga 22 Januari, boleh menukar kad mereka secara percuma.

Begitu juga bagi para pemegang kad konsesi dengan kad yang sesuai dengan sistem SimplyGo. Kumpulan ini terdiri daripada warga emas, para pelajar, para pemegang kad Konsesi Pengangkutan Daya Kerja dan golongan kurang upaya.

Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat menerusi catatan Facebook beliau berkata dirinya sedia maklum tentang keprihatinan sesetengah penumpang yang mahu terus melihat tambang dan baki kad tertera pada gantri MRT mahupun mesin pembaca kad di dalam bas.

"Kami akan melabur tambahan S$40 juta agar para penumpang boleh terus menggunakan kad EZ-Link dan NETS-FlashPay jika mereka mahu," kata Encik Chee.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan