Garis Masa: Perbicaraan Pritam Singh

(Dari kiri) Pritam Singh, Raeesah Khan, Loh Pei Ying dan Yudhishthra Nathan, serta Low Thia Khiang. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor; Syamil Sapari; Lim Li Ting)
SINGAPURA: Pusingan pertama perbicaraan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh selesai pada pagi Khamis (24 Okt), selepas sembilan hari perbicaraan dijalankan bagi menentukan sama ada beliau berbohong dalam keterangannya kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang juga menyiasat pembohongan Anggota Parlimen WP ketika itu, Raeesah Khan.
Empat saksi sudah memberikan keterangan masing-masing setakat ini, dengan pelbagai keterangan yang kadangkala bercanggah mengenai apa yang berlaku daripada terbongkarnya pembohongan Cik Raeesah, kepada perbincangan tentang apa yang perlu dilakukan, dan akhirnya pengakuannya.
Cik Raeesah telah berbohong di Parlimen pada 3 Ogos 2021 tentang menemani mangsa rogol ke balai polis di mana seorang pegawai polis didakwa membuat kenyataan yang tidak menyenangkan tentang mangsa.
3 Ogos 2021
Cik Raeesah Khan berbohong di Parlimen mengenai beliau pergi ke balai polis bersama mangsa rogol.
Kader WP ketika itu dan orang yang dipercayai Cik Raeesah, Encik Yudhishthra Nathan, berkata beliau menerima panggilan daripada Cik Raeesah bahawa Encik Pritam meminta butiran mengenai kenyataan Cik Raeesah.
7 Ogos 2021
Cik Raeesah mengaku kepada Encik Pritam melalui telefon bahawa beliau berbohong. Encik Pritam kemudian menamatkan perbualan melalui telefon.
Cik Raeesah kemudian memberitahu Encik Nathan dan kader WP ketika itu Cik Loh Pei Ying melalui Zoom mengenai pembohongan tersebut dan serangan seksual terhadapnya.
8 Ogos 2021
Cik Raeesah bertemu pemimpin WP Encik Pritam, Cik Sylvia Lim dan Encik Muhamad Faisal Abdul Manap dan mengaku bahawa beliau berbohong. Beliau juga memberitahu mereka tentang pengalaman serangan seksualnya.
Cik Raeesah mendakwa Encik Pritam berkata pada mesyuarat itu bahawa "ini mungkin sesuatu yang perlu kita bawa ke liang lahad".
10 Ogos 2021
Cik Loh dan Encik Nathan bertemu Encik Pritam.
Menurut Cik Loh, beliau bertemu Encik Pritam terlebih dahulu dan memberitahunya tentang pentingnya mengesahkan pengalaman serangan seksual Cik Raeesah.
Beliau berkata Encik Pritam tidak memberitahunya atau Encik Nathan bahawa Cik Raeesah perlu menjelaskan tentang pembohongan itu, atau mengatakan bahawa beliau telah meminta Cik Raeesah bercakap dengan ibu bapanya tentang serangan seksual itu.
Encik Nathan berkata tanggapannya daripada mesyuarat itu ialah pemimpin WP "telah memutuskan bahawa tiada apa yang perlu dilakukan".
1 Okt 2021
Encik Pritam menghantar emel kepada para anggota WP tentang pentingnya "menyokong dan mempertahankan" kenyataan di Parlimen.
Cik Raeesah berkata beliau menganggapnya sebagai satu "sindiran" terhadapnya.
3 Okt 2021
Encik Pritam bertemu Cik Raeesah di rumahnya, sehari sebelum Parlimen bersidang semula.
Cik Raeesah mendakwa Encik Pritam memberitahunya bahawa beliau "tidak akan menghakimi" Cik Raeesah sekiranya beliau meneruskan naratif itu, yang dianggap oleh Cik Raeesah sebagai bermaksud mengekalkan pembohongan itu.
4 Okt 2021
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menggesa Cik Raeesah di Parlimen untuk mendapatkan butiran lanjut tentang kenyataannya itu, termasuk butiran mengenai balai polis tersebut.
Cik Raeesah menghantar mesej kepada Encik Pritam, semasa Parlimen: "Apa yang perlu saya lakukan, Pritam?"
Encik Pritam tidak segera membalas. Cik Raeesah enggan mendedahkan butiran lanjut, sebaliknya memetik kerahsiaan di sebalik keputusannya untuk tidak memberikan maklumat lanjut.
Malam itu, Cik Raeesah bertemu dengan Encik Pritam dan Cik Lim di pejabat Ketua Pembangkang yang baharu, Encik Pritam Singh.
Cik Raeesah mendakwa bahawa beliau bertanya kepada Encik Pritam: "Bagaimana jika saya bercakap benar" dan Encik Pritam menjawab "Sekarang sudah terlambat, bukan?"
Semasa perbualan dalam kumpulan sembang mereka, Cik Loh menghantar mesej kepada Cik Raeesah untuk memberitahunya supaya "mendapatkan peguam", kerana beliau bimbang setelah mengetahui Cik Raeesah berbohong lagi.
Encik Nathan menerima mesej daripada Cik Raeesah bahawa Encik Shanmugam mendesaknya untuk mendapatkan butiran tentang kenyataannya. Tanggapannya ialah Cik Raeesah "sepatutnya mengekalkan pembohongannya".
7 Okt 2021
Polis meminta Cik Raeesah menghadiri sesi soal siasat untuk memberikan butiran lanjut mengenai kenyataannya berhubung mangsa rogol.
Cik Loh mencadangkan agar Cik Raeesah mengatakan bahawa beliau tidak berhubung dengan mangsa rogol, dan menyarankan supaya Cik Raeesah mengumpul maklumat daripada mangsa serangan seksual lain.
Encik Nathan berkata bahawa Cik Raeesah mungkin tidak boleh berterus-terang dengan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP kerana ia "terlalu berisiko" dan mereka mungkin tidak dapat membantu.
11 Okt 2021
Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Faisal Manap bertemu mantan ketua WP Low Thia Khiang di rumahnya.
Pada pertemuan itu, Encik Low berkata Cik Lim memberitahunya tentang pembohongan dan rancangan untuk meminta Cik Raeesah meminta maaf.
Encik Low berpendapat bahawa platform yang betul untuk memohon maaf dan menjelaskannya adalah Parlimen, kerana pembohongan itu dibuat di Parlimen.
Beliau bertanya sama ada Pemerintah tahu tentang pembohongan itu, dan Cik Lim menjawab bahawa ia tidak mudah untuk diketahui disebabkan oleh jumlah balai polis.
Encik Low berkata bahawa ini bukan yang dimaksudkannya, dan jika Cik Raeesah berbohong, maka beliau harus meminta maaf.
Encik Low berkata Encik Pritam dan Cik Lim menyebut bahawa mereka merancang untuk memecat Cik Raeesah daripada WP.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang menurut Encik Low, Encik Pritam dan Cik Lim tidak memberitahunya: Mereka tidak mengatakan mereka sudah memberitahu Cik Raeesah untuk menjelaskan pembohongannya di Parlimen. Mereka tidak mengatakan mereka telah meminta Cik Raeesah untuk bercakap dengan ibu bapanya mengenai serangan seksual itu. Mereka tidak mengatakan Encik Pritam telah memberitahu Cik Raeesah di rumahnya pada 3 Okt untuk menjelaskan pembohongan di Parlimen pada 4 Okt, dan mereka tidak menyatakan bila mereka mula-mula mengetahui bahawa Cik Raeesah telah berbohong.
12 Okt 2021
Cik Raeesah bertemu Encik Pritam di rumahnya.
Encik Nathan kemudian mendapat tahu daripada Cik Raeesah bahawa Encik Pritam dan Cik Lim mahu beliau bercakap benar.
Pada pukul 5.13 petang, beliau menghantar mesej ini kepada Cik Raeesah dan Cik Loh: “Pertama, saya fikir kita tidak sepatutnya memberikan terlalu banyak butiran. Paling banyak minta maaf kerana tidak mempunyai fakta (tentang) umur (mangsa rogol) yang tepat."
Encik Nathan dan Cik Loh kemudian menyunting mesej ini daripada versi mesej masing-masing yang mereka berikan kepada COP. Cik Loh mengaku di mahkamah di bawah pemeriksaan balas bahawa Encik Nathan mencadangkan dalam mesej ini bahawa mereka terus berbohong.
Encik Nathan juga mengaku semasa pemeriksaan balasnya bahawa pada ketika itu, beliau memihak untuk "mengekalkan pembohongan secara aktif" kerana beliau merasakan parti itu tidak mempunyai "pelan yang sesuai" untuk Cik Raeesah bercakap benar.
Cik Loh dan Encik Nathan bertemu dengan Encik Pritam di rumahnya pada malam itu.
Cik Loh berkata mereka membincangkan pertimbangan untuk bercakap benar atau mengekalkan pembohongan, dan "mustahil" untuk terus berbohong kerana Encik Shanmugam akan terus mendesak.
Cik Loh berkata Encik Nathan mencadangkan pada mesyuarat tersebut supaya Cik Raeesah meneruskan pembohongan itu. Beliau kemudiannya bersetuju bahawa Encik Pritam telah menjawab dengan berkata: "Jangan mencadangkan untuk menutup perkara ini dengan pembohongan lain."
Encik Nathan berkata beliau tidak ingat sama ada beliau mencadangkan agar Cik Raeesah terus berbohong.
Menurut Encik Nathan, Encik Pritam berkata bahawa beliau memberitahu Cik Raeesah pada 3 Okt bahawa sama ada beliau akan meneruskan naratif itu atau bercakap benar, "Saya tidak akan menghakimi anda".
Menurut Cik Loh, Encik Pritam berkata beliau bertemu dengan Cik Raeesah pada 3 Okt dan memberinya pilihan sama ada untuk bercakap benar atau tidak di Parlimen, dan beliau tidak akan menghakiminya.
Menurut Cik Loh lagi, Encik Pritam berkata bahawa Encik Low berpendapat tindakan terbaik ialah membuat penjelasan di Parlimen, dan WP akan dapat bertahan daripada perkara itu, menenangkan perasaan Cik Loh dan Encik Nathan.
Menurut Cik Loh dan Encik Nathan, mereka keluar dari mesyuarat bersetuju bahawa Cik Raeesah harus bercakap benar dan mengaku tentang pembohongannya.
18 Okt 2021
Encik Low berkata Cik Lim meminta untuk berjumpa dengannya di rumahnya, di mana beliau berkata Cik Raeesah telah bersetuju untuk meminta maaf. Encik Low berkata bahawa mereka harus melihat draf permohonan maafnya terlebih dahulu supaya ia tidak berakhir dengan pembohongan lain.
20 Okt 2021
Polis menyatakan bahawa Cik Raeesah tidak menjawab permintaan berulang untuk disoal siasat.
Cik Raeesah memberitahu media bahawa beliau akan membuat kenyataan di Parlimen pada 1 Nov 2021.
1 Nov 2021
Cik Raeesah menyampaikan kenyataan di Parlimen yang mengaku bahawa kenyataannya mengenai mangsa rogol tersebut adalah palsu.
Encik Low menghantar mesej kepada Encik Pritam sama ada hari itu atau keesokan harinya untuk mencadangkan penubuhan panel disiplin untuk tindakan terhadap Cik Raeesah, mencadangkan agar pemimpin WP Cik Lim, Encik Faisal dan Encik Pritam turut menganggotai panel tersebut.
Pada ketika itu, beliau tidak tahu bahawa pemimpin WP telah mengetahui sejak 8 Ogos 2021 bahawa kenyaan itu adalah palsu.
2 Nov 2021
WP mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa panel disiplin telah ditubuhkan untuk meneliti tingkah laku Cik Raeesah.
8 Nov 2021
Cik Raeesah mengadakan pertemuan pertamanya dengan panel disiplin WP yang terdiri daripada Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Faisal.
Beliau tidak ingat mereka banyak bertanya tentang pembohongannya, dan mengatakan bahawa mereka memberi tumpuan kepada keperibadian dan tingkah lakunya sebagai Anggota Parlimen GRC Sengkang.
10 Nov 2021
Cik Loh dan Encik Nathan berkata para anggota WP dipelawa untuk memberikan pandangan kepada panel disiplin.
Cik Loh berkata beliau "sangat marah" dan merasakan para anggota "tiada urusan" untuk mengulas mengenai perkara itu sedangkan mereka tidak mengetahui "garis masa sebenar peristiwa" dan bahawa pemimpin WP telah mengetahui tentang pembohongan itu seminggu selepas ia dibuat.
Cik Loh menghantar mesej kepada Encik Pritam untuk mengatakan "ini setakat untuk menutup malu". Beliau merasakan panel disiplin itu ditubuhkan setakat "untuk meredakan kemarahan para anggota parti dan orang ramai sahaja.
22 Nov 2021
Cik Raeesah menghantar mesej kepada Encik Pritam yang mengusulkan satu lagi pertemuan dengan panel disiplin WP.
Beliau berkata Encik Pritam menjawab bahawa perwatakan dan tingkah lakunya sedang diteliti disebabkan oleh keputusannya untuk berpegang kepada pembohongannya. Cik Raeesah terkejut dengan jawapan ini.
Apabila Cik Raeesah berkongsi mesej Encik Pritam dengan Encik Nathan dan Cik Loh, Encik Nathan menjawab "Apa yang berlaku kepada 'Saya tidak akan menghakimi anda'?"
25 Nov 2021
Encik Nathan berkata beliau dan Cik Loh bertemu dengan panel disiplin untuk memberitahu mereka bahawa ia harus didedahkan kepada umum bahawa pemimpin WP sudah mengetahui tentang pembohongan itu sejak Ogos, antara lain.
Cik Loh mengatakan bahawa beliau menyifatkan Cik Raeesah sebagai "lao hong" kepada panel, bermakna Cik Raeesah akan dikritik.
"Lao hong" ialah istilah bahasa Hokkien yang diterjemahkan sebagai "mudah bocor" tetapi boleh merujuk kepada sesuatu yang sudah basi atau sudah menjadi lembut.
29 Nov 2021
Cik Raeesah menghadiri sesi kedua panel disiplin WP. Cik Raeesah berkata bahawa beliau menyedari semasa mesyuarat ini bahawa para pemimpin mahu beliau meletak jawatan, dan beliau berasa kecewa dan dikhianati.
Pada mesyuarat ini, perbincangan berikut dicatatkan oleh Cik Lim:
Encik Pritam: Sebelum sesi Okt, saya jumpa awak + saya beritahu anda bahawa itu keputusan anda. Adakah anda perlu memberitahu perkara sebenar dalam Parl?
Cik Raeesah: Ya tetapi rasa bersalah + pengalaman sendiri. Saya fikir ia tidak akan muncul.
Encik Pritam: Tidak boleh berbohong, betul?
Cikgu Raeesah: Ya.
Sementara itu, COP bertemu buat pertama kali berhubung pembohongan Cik Raeesah.
30 Nov 2021
Cik Raeesah meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen dan anggota WP.
1 Dis 2021
Encik Nathan berkata bahawa beliau makan malam bersama Cik Raeesah, Cik Loh dan penolong perundangan Cik Raeesah, Mike Lim.
Encik Nathan berkata bahawa Encik Lim membantu Cik Loh menyampaikan mesej kepada Encik Pritam melalui panggilan telefon: "Sila beritahu Pritam bahawa saya telah dipanggil ke COP dan saya tidak akan berbohong untuk menyelamatkan parti." Encik Pritam membalas, memberitahu Cik Loh supaya "bercakap benar" kepada COP.
2 Dis 2021
WP mengadakan sidang media di mana Encik Pritam berkata secara terbuka bahawa kepimpinan parti tahu tentang pembohongan Cik Raeesah seminggu selepas beliau memberitahunya pada 3 Ogos.
10 Dis dan 15 Dis 2021
COP mendengar keterangan lisan daripada Encik Pritam. Apa yang Encik Pritam beritahu mereka tentang apa yang beliau mahu Cik Raeesah lakukan mengenai pembohongannya akhirnya menjadi dua tuduhan terhadap beliau di bawah Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa).
Februari 2022
Parlimen merujuk Encik Pritam kepada pendakwa raya.
November 2022
Cik Loh meninggalkan WP. Encik Nathan juga meninggalkan WP pada 2022 tetapi tidak menyatakan bila.
Ogos 2023
Encik Low mendapat tahu bahawa pemimpin WP sudah mengetahui tentang pembohongan itu sejak 8 Ogos 2021.
19 Mac 2024
Encik Pritam didakwa di mahkamah, dan mengaku tidak bersalah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.