Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Garis masa gangguan kuasa yang jejas khidmat MRT di 3 Laluan pada 14 Oktober

Perkhidmatan kereta api di tiga laluan MRT terganggu semasa waktu sibuk petang pada Rabu (14 Okt) disebabkan kerosakan serentak pada bekalan elektrik, yang menjejas 15 kereta api dan 123,000 penumpang.

Anggaran Waktu Membaca:
Garis masa gangguan kuasa yang jejas khidmat MRT di 3 Laluan pada 14 Oktober

(Gambar: Julie Chan)

Diterbitkan : 28 Oct 2020 08:22PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 08:27PM

SINGAPURA: Perkhidmatan kereta api di tiga laluan MRT terganggu semasa waktu sibuk petang pada Rabu (14 Okt) disebabkan kerosakan serentak pada bekalan elektrik, yang menjejas 15 kereta api dan 123,000 penumpang.

Gangguan bekalan elektrik menjejas Laluan Utara-Selatan (NSL) antara stesen Woodlands dan Jurong East, Laluan Timur-Barat (EWL) antara stesen Queenstown dan Gul Circle, serta Circle Line (CCL) antara stesen Serangoon dan HarbourFront.

Akibatnya, penumpang terpaksa keluar dari kereta api yang terhenti dan diminta berjalan di landasan untuk ke stesen berhampiran. Perhentian bas juga penuh sesak ketika penumpang bergegas untuk meneruskan perjalanan menggunakan kaedah alternatif.

Berikut urutan peristiwa 14 Okt:

6.58 petang

Kerosakan pada lapisan kabel kuasa antara stesen Tuas Link dan Tuas West Road menyebabkan gangguan bekalan elektrik di NSL dan EWL. Ini menyebabkan 12 kereta api terhenti di bahagian jejambat antara kedua-dua stesen.

Sistem penghawa dingin dan lampu dalam kereta api juga terjejas. Sistem bateri sokongan pada kereta api yang terjejas secara automatik hidup untuk memberi cahaya kecemasan dan juga pengaliran udara mekanikal, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Khidmat kereta api antara Woodlands dan Jurong East di NSL, dan antara Queenstown dan Gul Circle di EWL terganggu.
Khidmat bas percuma disediakan di stesen-stesen terjejas.

Bagi memastikan khidmat kereta api terus beroperasi di stesen yang tidak terjejas, kereta api dipusingkan di stesen berdekatan. Khidmat kereta api ulang-alik disediakan antara stesen Marsiling dan Woodlands di NSL, serta antara Dover dan Queenstown di EWL.

Dalam usaha memulihkan bekalan elektrik ke kedua-dua Laluan, SMRT berusaha menggunakan kuasa dari stesen janakuasa Buona Vista Intake. Menurutnya ketika ini dilakukan "tanpa mengasingkan kerosakan pertama", gangguan bekalan elektrik kemudian berlaku di Circle Line, yang juga mendapat bekalan dari janakuasa yang sama.

7.34 malam

Gangguan kuasa kedua berlaku, menjejas khidmat kereta api di Circle Line antara Serangoon dan HarbourFront.

Tiga kereta api terhenti di terowong dengan penumpang di dalamnya.

Kereta api tersebut dipusingkan di stesen Serangoon dan Tai Seng menuju Stadium untuk terus memberikan perkhidmatan di bahagian Circle Line yang tidak terjejas.

7.38 malam

Setelah menilai bahawa bekalan elektrik tidak dapat dipulihkan dengan cepat, SMRT mula pengeluarkan penumpang dari kereta api NSL dan EWL yang terjejas. Untuk melindungi kakitangan dan penumpang, alat perlindungan elektrik dipasang untuk mengelakkan bekalan kuasa dihidupkan secara tidak sengaja.

7.53 malam

Operasi mengeluarkan penumpang dan kakitangan bermula bagi 12 kereta yang terhenti di NSL dan EWL. Kakitangan SMRT berjalan di sepanjang landasan untuk sampai ke kereta api yang terhenti dan memeriksa kesejahteraan penumpang di dalam gerabak kereta api, serta membantu dan membawa mereka ke stesen terdekat.

7.59 malam

Operasi mengeluarkan penumpang bermula bagi tiga kereta yang terhenti di Circle Line.

8.00 malam

Bekalan elektrik dipulihkan di Circle Line setelah bekalan elektrik disalurkan dari Depot Bishan Intake. Namun, proses memulihkan bekalan ditangguhkan atas alasan keselamatan, kerana penumpang masih dikeluarkan dari kereta api terjejas.

8.17 malam

Gerakan mengeluarkan penumpang di Circle Line selesai.

8.42 malam

Gerakan memindahkan penumpang di NSL dan EWL selesai, kecuali satu kereta api dekat dengan stesen Bukit Batok. Ia ditangguhkan kerana cuaca buruk dan risiko disambar kilat.

8.43 malam

Perkhidmatan kereta api di sepanjang Circle Line disambung secara bertahap-tahap setelah pemeriksaan keselamatan selesai, kira-kira sejam setelah gangguan tersebut dilaporkan. Kira-kira 13,000 penumpang terjejas, termasuk 275 yang berada di dalam kereta api.

9.32 malam

SMRT mengumumkan di Twitter bahawa perkhidmatan bas percuma bagi stesen Circle Line yang terjejas telah dihentikan.

9.43 malam

Operasi mengeluarkan penumpang bagi kereta api yang terhenti berhampiran stesen Bukit Batok selesai. Lebih daripada 70 penumpang yang masih berada di dalam kereta api sehingga bekalan elektrik dipulihkan turun langsung di platform stesen.

10.34 malam

Perkhidmatan kereta api di NSL dan EWL dipulihkan secara beransur-ansur berikutan pemeriksaan keselamatan, lebih dari tiga setengah jam setelah gangguan itu dilaporkan.

Gangguan pada kedua-dua talian ini menjejas kira-kira 110,000 penumpang, termasuk sekitar 6,500 yang berada di dalam kereta api.

Siasatan di lokasi yang dilakukan pada waktu kejuruteraan, mendapati bahawa seksyen kabel 22kV yang terletak kira-kira 400m dari stesen Tuas Link hangus terbakar.

Gegelung yang rosak dan kabel yang terjejas diganti sejak itu, kata LTA.

Pada hari yang sama, pasukan penyenggaraan memeriksa semua stesen di Tuas West Extension untuk memastikan bahawa gegelung pemutus litar berfungsi.

Dua didapati menunjukkan prestasi yang tidak konsisten dan diganti. Gegelung yang rosak kemudian dihantar untuk siasatan forensik lebih lanjut.

Sumber : CNA/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan