Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Garis masa: Bagaimana Lapangan Terbang Changi jadi kelompok aktif terbesar S'pura?

Berikut garis masa yang menunjukkan bagaimana kelompok ini 'membesar'.

Anggaran Waktu Membaca:
Garis masa: Bagaimana Lapangan Terbang Changi jadi kelompok aktif terbesar S'pura?

Gambar fail Lapangan Terbang Changi. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 22 May 2021 12:16AM Dikemas Kini : 22 May 2021 12:20AM

SINGAPURA: Dalam tempoh kurang tiga minggu, jumlah kes jangkitan COVID-19 yang berkait dengan Lapangan Terbang Changi meningkat, menjadikannya kelompok aktif terbesar Singapura, dengan sebanyak 100 kes dilaporkan setakat Khamis (20 Mei).

Pada 5 Mei, Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan bahawa seorang pekerja pembersihan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi yang berusia 88 tahun diuji positif COVID-19.

Lelaki itu, yang digajikan oleh syarikat Ramky Cleantech Services, mengalami selesema dan batuk sehari sebelum itu dan berjumpa doktor. Menurut MOH, beliau sudah menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19, dengan dos kedua pada 15 Februari.

Pada Jumaat (21 Mei) Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Changi Airport Group (CAG) dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa "siasatan awal menunjukkan penularan awal mungkin bermula daripada seorang pekerja lapangan terbang yang membantu sebuah keluarga dari Asia Selatan".

Keluarga itu tiba di Singapura pada 29 April dan kemudian diuji positif COVID-19 semasa menjalani ujian sebaik tiba di sini, menurut CAAS dan CAG.

Siasatan lanjut oleh MOH dan CAAS masih dijalankan.

Menurut pemerhatian Mediacorp ke atas data yang dimuat naik ke laman MOH, 43 daripada 100 kes yang dikaitkan dengan kelompok itu sejauh ini sudah menerima satu atau dua dos vaksin COVID-19.

Satu perbandingan antara mereka yang sudah menerima vaksin dan mereka yang belum lagi menerima vaksin, mendedahkan bahawa terdapat 12 lagi kes bergejala lebih banyak dalam kalangan mereka yang belum diberikan vaksin. Simptom-simptom biasa termasuk demam, batuk dan selesema.

Seramai 24 pesakit dikaitkan dengan kelompok itu diuji awal positif bagi varian B1617, yang pertama kali dikesan di India. Separuh daripada mereka belum menerima vaksin.

Sejak kelompok itu muncul pada awal bulan Mei, pihak berkuasa sudah melaksanakan beberapa langkah, termasuk operasi ujian khas dan menutup terminal penumpang di lapangan terbang kepada orang ramai.

Berikut garis masa yang menunjukkan bagaimana kelompok ini 'membesar':

8 MEI: LAGI 3 PEKERJA DI UJI POSITIF, KESEMUANYA 4 KES

MOH melaporkan bahawa tiga lagi pekerja di Lapangan Terbang Changi diuji positif bagi COVID-19 - iaitu seorang pekerja pembersihan dari syarikat Ramky Cleantech services, seorang pegawai penerbangan dan penyelaras keselamatan.

Hanya pekerja pembersihan dan pegawai penerbangan itu sudah lengkap menerima vaksin.

Menyusuli bertambahnya jumlah kes, MOH memulakan operasi ujian khas ke atas semua kakitangan yang bekerja di Terminal 1 dan 3 Lapangan Terbang Changi, serta Jewel.

9 MEI: LAGI 4 PEKERJA POSITIF; KESEMUANYA 8 KES

Pada waktu itu, MOH mengumumkan sebuah kelompok baru di Lapangan Terbang Changi selepas lagi empat pekerja diuji positif, menjadikan jumlah kes kepada lapan kesemuanya.

Ini termasuk dua pekerja pembersihan yang digajikan Ramky Cleantech Services, seorang pegawai Certis Cisco dan seorang pengiring penumpang SATS.

Dua daripada mereka - pekerja pembersihan berusia 51 tahun dan pegawai Certis Cisco - diuji awal positif varian B1617.

MOH menambah Besmen 2 Terminal 3 Lapangan Terbang Changi akan ditutup kepada orang ramai mulai 10 Mei.

10 MEI: LAGI PEGAWAI CERTIS CISCO POSITIF, 10 KES KESEMUANYA

Lagi dua pekerja Lapangan Terbang Changi diuji positif COVID-19. Ini termasuk seorang pekerja Raffles Medical dan seorang pegawai keselamatan penerbangan Certis Cisco - kedua-duanya mengalami simptom.

Hanya pekerja Raffles Medical itu sudah menerima vaksin.

Kontraktor utama pembersihan bagi Terminal 3 Lapangan Terbang Changi diletakkan di bawah "tempoh rehat" 14 hari, manakala penyedia utama khidmat keselamatan di sana mempertingkat langkah-langkah pengurusan selamat, menurut MOH.

Semua petugas barisan hadapan lapangan terbang kini diuji setiap 14 hari dan bukan lagi setiap 28 hari.

11 MEI: ANGGOTA KELUARGA, KONTAK SERUMAH POSITIF; JADI 18 KES

Jumlah kes dikaitkan dengan kelompok itu bertambah kepada 18, sedang kontak-kontak serumah dan anggota keluarga kes sebelum ini pula diuji positif COVID-19.

Tujuh kes baru, empat daripadanya diuji awal positif varian B1617, adalah kontak rapat kes-kes sebelum ini.

MOH melaporkan bahawa seorang pelajar perempuan di Maktab Rendah Victoria, berusia 18 tahun, yang pertama kali diuji positif pada 7 Mei, kini berkait kelompok itu.

12 MEI: KELOMPOK BERTAMBAH KEPADA 26 KES; JEWEL, T1, T3 DITUTUP

Pihak berkuasa menutup Jewel, Terminal 1 dan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, selama dua minggu mulai 13 Mei, setelah lebih banyak kes dikaitkan dengan lapangan terbang dikesan.

Tujuh jangkitan baru dilaporkan, menjadikan kesemuanya 26 kes.

Dua pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan seorang pekerja landskap adalah antara kes baru.

Tiga daripada tujuh kes jangkitan itu diuji awal positif bagi varian B1617.

Operasi ujian khas bagi pekerja lapangan terbang sedang dijalankan dan ujian percuma bagi COVID-19 ditawarkan kepada sesiapa yang mengunjungi Terminal 3 sejak 3 Mei.

13 MEI: REKOD HARIAN KES MELONJAK; 46 KES SEMUANYA

Kelompok Lapangan Terbang Changi menyaksikan kenaikan tertinggi kes sejauh ini, dengan 19 kes baru.

MOH meletakkan seorang penolong ganti bagi perpustakaan sekolah, yang sebelum ini dilaporkan pada 11 Mei, ke dalam kelompok tersebut.

Lapan daripada kes baru itu, diuji awal positif bagi varian B1617.

Lapan kes sudah menerima vaksin lengkap. 16 bergejala, dengan baki tiga dikesan menerusi pemantauan atau ujian rutin.

MOH menawarkan ujian percuma bagi COVID-19 kepada mereka yang mengunjungi Terminal 3 sejak 1 Mei.

Sebelum itu, MOH menyatakan hanya mereka yang mengunjungi Terminal 3 sejak 3 Mei ditawarkan ujian percuma tersebut.

14 MEI: 13 KES BARU, 59 KES KESEMUANYA

Sebanyak 13 kes ditambah yang berkait kelompok Lapangan Terbang Changi, menjadikan jumlahnya 59 kes.

Bercakap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, Encik Ong Ye Kung yang pada waktu itu Menteri Pengangkutan berkata sekitar 20 kes jangkitan pertama di lapangan terbang kebanyakannya dikesan daripada satu zon.

"Ini adalah zon yang menerima pengunjung daripada negara-negara berisiko lebih tinggi, termasuk (dari) Asia Selatan dan kemudian tempat pengambilan bagasi dan imigresen. Jadi ia melibatkan keseluruhan zon itu dan kes jangkitan berlaku di kawasan itu," kata Encik Ong.

"Zon itu adalah seperti Wad 9D, Hospital Tan Tock Seng (TTSH)," kata beliau, merujuk kepada kelompok pertama di hospital Singapura.

"Dan daripada zon itu, para pekerja keluar makan tengah hari, makan di kawasan komersil dan pusat makanan di Besmen 2 Terminal 3 dan kami mengesyaki dari sana, ia menular kepada orang awam yang mengunjungi tempat itu."

Singapura "berharap dengan penuh berhati-hati" agar kelompok jangkitan di lapangan terbang dapat dibendung menerusi kuarantin dan ujian, kata Encik Ong lagi.

"Kebimbangan utama sekarang adalah penularan dalam masyarakat yang berpunca dari kawasan komersil di B2 T3."

15 MEI: KES BARU TERMASUK TUKANG MASAK T3, 68 KES KESEMUANYA

MOH melaporkan lapan kes baru berkait kelompok itu, yang masih menjadi kelompok aktif terbesar Singapura.

Di lapangan terbang, langkah berjaga-jaga diperhebat setelah kelompok itu dijejaki ke kawasan yang menerima ketibaan pengunjung dari rantau-rantau berisiko tinggi, termasuk Asia Selatan.

Penumpang yang tiba dari negara-negara atau rantau berisiko lebih tinggi kini diasingkan daripada mereka yang tiba dari negara yang berisiko rendah.

Pesawat yang mereka naiki juga diberikan laluan berbeza dan mereka menjalani ujian dan melalui proses imigresen di tempat berasingan.

Para pekerja lapangan terbang yang memainkan peranan berisiko tinggi akan diuji setiap tujuh hari, berbanding setiap 14 hari sebelum ini, menurut CAAS.

Sejauh ini, hampir 10,000 pekerja diuji negatif COVID-19. Kebanyakannya negatif, tambah CAAS.

20 MEI: JUMLAH KES CECAH 100

Jumlah kes dikaitkan dengan kelompok Lapangan Terbang Changi mencecah 100, selepas lebih banyak kes dikaitkan dengannya.

Kelompok Lapangan Terbang Changi sejauh ini adalah kelompok aktif paling besar, dengan kesnya lebih daripada seganda berbanding kelompok kedua terbesar, iaitu Hospital Tan Tock Seng, yang mempunyai 46 kes setakat ini.

21 MEI: TERMINAL LAPANGAN TERBANG CHANGI, JEWEL TERUS TUTUP

Bangunan-bangunan terminal penumpang Lapangan Terbang Changi akan terus ditutup kepada umum sehingga tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) berakhir, sebagai "langkah berjaga-jaga", menurut CAAS dan CAG.

Lapangan Terbang Changi bagaimanapun masih dibuka bagi perjalanan udara, menurut CAAS dan CAG lagi.

Protokol-protokol baru termasuk memerlukan pengunjung yang tiba dari negara-negara atau rantau berisiko tinggi menjalani ujian pantas antigen (ART), selain ujian reaksi rantaian polimerase (PCR).

Mulai 23 Mei, para pekerja Lapangan Terbang Changi yang memainkan peranan berisiko lebih tinggi juga perlu menjalani ujian ART tambahan dalam tempoh tujuh hari ujian rutin berjadual sedia ada.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan