Gara-gara petik daun Kebun Bunga S'pura, warga Bangladesh didenda S$2,000
Lembaga Taman Negara (NParks) sedang menghubungi seorang warga Bangladesh yang menerima notis selepas memetik daun sebuah pokok di Kebun Bunga Singapura pada awal bulan ini.
(Gambar: Calvin Oh).
SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) sedang menghubungi seorang warga Bangladesh yang menerima notis selepas memetik daun sebuah pokok di Kebun Bunga Singapura pada awal bulan ini.
NParks memberitahu Mediacorp semalam (28 Jan) bahawa ia "akan menimbangkan rayuan" terhadap kes ini.
Gambar-gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan notis kesalahan yang dikeluarkan NParks terhadap seorang warga Bangaldesh atas kesalahan memetik daun. Antaranya termasuk petikan skrin mesin AXS yang menunjukkan denda sebanyak S$2,000 dikenakan ke atas kesalahan yang dilakukan.
Dalam kenyataannya, NParks mengesahkan bahawa ia mengeluarkan notis terhadap seorang pengunjung di Kebun Bunga Singapura kerana dia memetik daun daripada pokok Syzygium myrtifolium.
Menurut kenyataannya, "NParks akan membuat pertimbangan ke atas rayuan terhadap kes ini selepas notis kesalahan dikeluarkan" dan ia "akan mempertimbangkan beberapa perkara sebelum memutuskan jumlah denda yang dikenakan, serta akan menghubungi pengunjung berkenaan untuk melanjutkan siasatan ke atas kes ini".
Di bawah Akta Taman dan Pokok, ia adalah satu kesalahan untuk memotong, mengumpul atau memindahkan sebarang pokok dalam kawasan taman-taman awam. Menurut NParks lagi, pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 atas kesalahan di bawah akta tersebut.
Mediacorp difahamkan notis kesalahan yang dikeluarkan menyatakan bahawa pesalah tidak perlu mengambil tindakan sehingga notis dengan jumlah denda yang perlu dibayar dikeluarkan.
Jika seseorang cuba membuat bayaran di mesin AXS menggunakan notis kesalahan, jumlah denda yang dikenakan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan, akan tertera di skrin sistem itu.
Bagi kes warga Bangladesh ini, mesin itu secara automatik menunjukkan bahawa dia perlu membayar S$2,000.
Pokok Syzygium myrtifolium tersenarai sebagai pokok yang dianggap sudah pupus di Singapura di laman Flora dan Fauna NParks.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.