Gara-gara curi barang kemas bapa mertua bernilai S$12,000, menantu didenda S$8,000
Seorang lelaki yang mencuri barang kemas bernilai lebih S$12,000 daripada bapa mertuanya dikenakan denda atas perbuatannya itu. Isterinya juga sudah meminta diceraikan.
SINGAPURA: Seorang lelaki yang mencuri barang kemas bernilai lebih S$12,000 daripada bapa mertuanya dikenakan denda atas perbuatannya itu. Isterinya juga sudah meminta diceraikan.
Sylvester See Sheng Sen, 27 tahun, dikenakan denda S$8,000 pada Khamis (7 Nov) atas tuduhan mencuri, dengan tuduhan kedua turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan ke atasnya.
Mahkamah diberitahu bahawa jurujual bersekutu itu berada di flat bapa mertuanya di Serangoon pada 10 April tahun lalu semasa dia memutuskan untuk mencuri beberapa barang kemas.
Dia pernah melihat bapa mertuanya, 61 tahun, menyimpan kunci lacinya dalam sebuah beg di ruang tamu.
Dia menggeledah beg itu dan mengambil kunci tersebut, kemudian ke bilik tidur bapa mertuanya. Dia membuka laci tersebut dengan kunci itu, di mana dia terjumpa satu lagi kunci yang mempunyai tulisan Cina bermaksud "peti".
See kemudian membuka peti itu menggunakan kunci tersebut, dan menemui pelbagai barang kemas di dalamnya.
Dia mengambil barang kemas termasuk rantai emas dan gelang yang bernilai S$12,000 dan juga wang tunai sebanyak S$2,000.
See diberkas pada 2 Mei dan siasatan mendapati bahawa dia sudah menebuskan beberapa barang kemas di sebuah kedai pajak di Bedok pada harga separuh daripada nilai sebenar.
Dia kemudian berpatah balik dan membeli semula barang kemas itu kerana dia berasa bersalah. Kesemua barang kemas itu ditemui di flatnya di Woodlands.
Peguam bela See memberitahu mahkamah bahawa isterinya sudah meminta cerai disebabkan oleh kesalahan-kesalahan itu.
Atas kesalahan mencuri, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.