Skip to main content

Singapura

Gara-gara biarkan kekasih sebat anak berkeperluan khas dengan tali pinggang, ibu dipenjara

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki dan wanita dijatuhi hukuman penjara pada Selasa (17 Sep) kerana memukul seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang mempunyai keperluan khas, sehingga menyebabkan dia dipenuhi dengan lebam.

Kesemua pihak tidak boleh dinamakan untuk melindungi identiti mangsa terbabit, yang kini berusia 15 tahun dan mengalami autism berfungsi tinggi serta didiagnosis dengan gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD).

Wanita terbabit - ibu kepada mangsa tersebut - dikenakan hukuman penjara selama 10 bulan, sementara lelaki itu - kekasih wanita tersebut - dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan.

Kedua-dua rakyat Singapura berusia 36 tahun itu mengaku bersalah atas satu tuduhan setiap seorang di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (CPYA) kerana sengaja membiarkan seorang kanak-kanak diperlakukan dengan zalim dan menganiaya seorang kanak-kanak.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan mengatakan beliau mengambil kira gangguan kemurungan utama lelaki itu, yang menjejas keupayaannya untuk mengawal diri.

LATAR BELAKANG KES

Ibu mangsa mempunyai "rumah tangga yang sangat rumit", menurut peguamnya Encik Kalidass Murugaiyan.

Dia berkenalan dengan individu yang merupakan tertuduh bersama pada 2019 dan kekasihnya itu pada awalnya mempunyai hubungan yang baik dengan anak perempuannya, yang juga mempunyai gangguan ringan kefasihan dan disleksia.

Sejak Februari 2020, pasangan tersebut mula memukul budak perempuan terbabit dengan penyangkut baju kerana tidak berkelakuan baik, sebelum menggunakan rotan.

Lelaki itu memikul peranan untuk mendisiplinkan budak tersebut, menurut pihak pembela, dan menghukumnya dalam pelbagai cara kerana dia tidak mahu bangun atau membuat kerja rumahnya antara lain.

Lelaki tersebut menyebabkan wujudkan kesan rotan pada budak perempuan itu, yang dikesan oleh gurunya. Satu pertemuan kemudian dijadualkan pada 26 Ogos 2020.

Sekalipun demikian, sebelum pertemuan tersebut berlaku, lelaki itu memukul budak perempuan terbabit dengan tali pinggang sehingga meninggalkan kesan pada muka, lengan dan kakinya.

Dia memukulnya kira-kira 20 kali dengan tali pinggang tersebut, dengan menggunakan bahagian hujung tali pinggang itu, yang tidak mempunyai kancing.

Guru mangsa itu kemudian menyedari ada lebam yang besar padanya, bercakap dengannya lalu memaklumkan kejadian itu kepada sekolahnya.

Kes itu dibangkitkan kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan pihak polis telah dipanggil.

Pasangan tersebut mengaku bahawa kelakukan mereka keterlaluan dan menghukum budak perempuan tersebut dengan sangat zalim, semasa siasatan itu dijalankan.

Pihak Mediacorp difahamkan bahawa kanak-kanak tersebut diletakkan bersama anggota keluarganya yang lain dan tidak lagi di bawah jagaan pasangan itu.

Hukuman bagi kesalahan memperlakukan seorang kanak-kanak dengan zalim di bawah CPYA, atau membenarkan kanak-kanak diperlakukan sedemikian, adalah penjara sehingga lapan tahun, denda sehingga S$8,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita