Skip to main content

Singapura

Gara-gara belai tangan pegawai di pusat mengundi, lelaki SG didenda S$500

Seorang lelaki didenda S$500 oleh mahkamah pada Rabu (30 Okt) kerana membelai tangan seorang pegawai di pusat mengundi ketika menunggu gilirannya untuk mengundi di Pilihan Raya Presiden 2023.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki didenda S$500 oleh mahkamah pada Rabu (30 Okt) kerana membelai tangan seorang pegawai di pusat mengundi ketika menunggu gilirannya untuk mengundi di Pilihan Raya Presiden 2023.

Rakyat Singapura, Wickramasinghe Ashley Anura yang berusia 51 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan kekerasan terhadap wanita berusia 31 tahun itu.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa adalah seorang guru sekolah rendah yang dilantik untuk mengendalikan sebuah pusat mengundi di Geylang pada 1 September 2023.

Rakyat Singapura keluar mengundi pada hari itu untuk memilih presiden kesembilan negara daripada tiga calon iaitu Encik Tharman Shanmugaratnam, yang akhirnya menang dengan 70.4 peratus undi; Encik Ng Kok Song, seorang mantan ketua pegawai pelaburan di dana pelaburan milik negara GIC; dan Encik Tan Kin Lian, seorang mantan ketua eksekutif NTUC Income.

Wickramasinghe pergi ke pusat mengundi tersebut pada kira-kira pukul 9.30 pagi pada 1 September 2023, bersama teman wanitanya untuk mengundi.

Dia dibawa ke sebuah kaunter yang dikendalikan oleh mangsa, di mana dia diberikan kertas undi.

Mangsa yang identitinya dilindungi atas perintah mahkamah, terhidu bau alkohol pada Wickramasinghe.

Setelah mangsa membacakan nama penuhnya, Wickramasinghe tiba-tiba menyanyi sambil matanya merenung tepat pada mangsa.

Hal itu membuat mangsa berasa kurang selesa.

Wickramasinghe kemudian membelai tangan wanita itu.

Namun, mangsa dengan pantas menarik balik tangannya dan perbuatannya itu dilihat oleh seorang pegawai kanan di pusat mengundi itu yang mengarahkan Wickramasinghe supaya hentikan perbuatannya itu.

Dia kemudian melepaskan tangan mangsa lalu berkata: "Wow, security."

Polis dikerahkan ke tempat kejadian lalu mereka memberkas Wickramasinghe, yang mengaku bahawa dia dalam keadaan mabuk apabila dia membelai tangan mangsa.

Wickramasinghe tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan sebelum ini.

HUJAHAN DALAM PENENTUAN HUKUMAN

Pihak pendakwa mohon denda S$500, di mana beliau berhujah ia selaras dengan kes-kes lain.

Walaupun dia membelai wanita itu secara pintas berbanding satu kes sebelum ini, disebabkan dia melakukan perbuatan itu terhadap seorang pegawai perkhidmatan awam yang sedang menjalankan tugasnya, iaitu menjadi kesalahan itu lebih serius, kata pihak pendakwa.

Peguam Wickramasinghe, Encik Jared Lee dari Regent Law pula memohon denda tidak lebih daripada S$500.

Menurutnya, anak guamnya sangat menyesali tindakannya itu dan telah memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dan ia merupakan kali pertama dia melakukan kesalahan yang menyalahi undang-undang.

Hakim Mahkamah berkata kejadian itu berlaku di sebuah pusat mengundi dan melibatkan seorang pegawai di pusat mengundi tersebut.

Beliau juga menarik perhatian kepada tingkah laku Wickramasinghe - bagaimana dia menyanyi dan 'mengajuk pegawai berkenaan' apabila disuruh supaya berhenti, selain daripada berada dalam keadaan mabuk.

Namun, beliau turut menarik perhatian kepada rayuan mengaku bersalah yang dibuat lebih awal dan beberapa langkah-langkah mitigasi.

Beliau mengarahkan denda S$500 dikenakan ke atas Wickramasinghe, dan hukuman penjara dua hari jika dia gagal membayar denda.

Wickramasinghe sudah pun membayar denda itu sepenuhnya.

Hukuman bagi kesalahan menggunakan kekerasan adalah hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita