Gara-gara bagi jawapan salah, guru tuisyen tumbuk murid 8 tahun

(Gambar fail: iStock)
SINGAPURA: Seorang guru tuisyen yang menumbuk dan menjentik lengan seorang pelajar berusia lapan tahun kerana memberikan jawapan salah sewaktu kelas Matematik, dikenakan hukuman penjara empat hari pada Rabu (2 Nov).
Lelaki berusia 57 tahun itu, yang namanya dipadamkan daripada dokumen mahkamah, sebelum ini mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja mencederakan seorang kanak-kanak bawah umur 14 tahun.
Satu lagi tuduhan diambil kira.
Mahkamah mengeluarkan perintah agar tidak menerbitkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan identiti mangsa, yang ketika itu merupakan murid Darjah 2, dikenal pasti.
Bapa mangsa menemui nama pesalah di laman yang dimiliki sebuah pusat tuisyen, di mana pesalah pernah mengajar sebelum itu. Pesalah mengadakan dua kelas seminggu di rumah mangsa.
Pada pagi 18 Mac, pesalah berada bersendirian di dalam bilik dengan mangsa dan pintunya ditutup. Apabila mangsa memberi jawapan yang salah untuk beberapa soalan matematik, guru tuisyen itu naik berang.
Dia mula memarahi pelajar berkenaan dan menjentiknya pada bahagian lengan tiga kali. Dia juga menumbuk lengan kiri pelajar itu dua kali.
Mangsa kemudian menangis kesakitan. Guru tuisyen itu menolak kepalanya ke bawah.
Beberapa aksi itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bilik tersebut.
Pada 22 Mac, guru tuisyen itu mengadakan satu lagi kelas matematik dengan mangsa di bilik tersebut.
Dia sekali lagi naik berang apabila mangsa memberinya jawapan yang salah. Dia memarahi mangsa sebelum menjentik lengannya, memukul kepalanya empat kali menggunakan buku jari dan menampar tangannya.
Dia juga menumbuk lengan mangsa dua kali, menolak kepalanya sehinggakan mangsa berasa sakit dan menangis. Mangsa kemudian mengalami lebam pada bahagian tangannya.
Bapa mangsa berada di rumah pada waktu itu dan mendengar guru tuisyen itu meninggikan suara kepada anak perempuannya. Beliau memeriksa kamera CCTV dan melihat aksi guru tuisyen itu.
Beliau bersemuka dengan guru tuisyen itu dan menyuruhnya meninggalkan rumah mereka, sambil berkata dia tidak boleh lagi mengajar mangsa.
Bapa mangsa membuat aduan polis lewat hari itu.
Guru tuisyen berkenaan dibenarkan menangguhkan hukumannya kepada 7 November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.