Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ganti plastik dengan kertas tidak semestinya lebih mesra alam, kata pakar

Plastik sudah mendapat reputasi yang buruk kerana kesan yang dibawanya terhadap alam sekitar. Namun sesetengah pakar berkata bahawa produk bungkusan yang dibuat daripada kertas tidak semestinya lebih mesra alam. Malah, bungkusan sebegini sebenarnya memerlukan lebih banyak sumber untuk dihasilkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ganti plastik dengan kertas tidak semestinya lebih mesra alam, kata pakar

Gambar hiasan beg kertas (Gambar: Fast Retailing)

Diterbitkan : 03 Jan 2020 11:11AM Dikemas Kini : 03 Jan 2020 11:14AM

SINGAPURA: Plastik sudah mendapat reputasi yang buruk kerana kesan yang dibawanya terhadap alam sekitar.

Oleh kerana itu, beberapa perniagaan di Singapura mengambil keputusan untuk beralih kepada penggunaan bahan alternatif seperti kertas untuk pembungkusan mereka kerana percaya bahawa bahan sebegini lebih baik untuk alam sekitar.

Namun sesetengah pakar berkata bahawa produk bungkusan yang dibuat daripada kertas tidak semestinya lebih mesra alam. Malah, bungkusan sebegini sebenarnya memerlukan lebih banyak sumber untuk dihasilkan.

BEG KERTAS MUDAH TERCEMAR

Pakar alam sekitar dan pengasas kumpulan bukan meraih keuntungan Plastic-Lite Singapore, Cik Aarti Giri berkata, beg kertas besar berkemungkinan akan memenuhkan tapak pelupusan dengan lebih cepat kerana mengambil ruang lebih besar.

Penggunaan kertas juga membawa kepada penebangan hutan, salah satu punca utama perubahan iklim, kata Cik Giri.

Encik Liow Chean Siang, ketua pensijilan sekitaran di Majlis Sekitaran Singapura berkata walaupun produk kertas seperti beg adalah "100 peratus boleh dikitar semula", sebaik sahaja ia tercemar oleh barangan seperti makanan, produk kertas perlu dibuang seperti sampah biasa.

"Beg kertas biasanya lebih berat daripada beg plastik. Ini meningkatkan jejak karbon dalam pengangkutan. Beg kertas perlu digunakan sekurang-kurangnya beberapa kali agar lebih mesra alam daripada beg plastik. Oleh itu, jika beg kertas hanya digunakan sekali, kesan ke atas alam sekitar mungkin lebih besar," tambah Encik Liow.

Jejak karbon merujuk kepada jumlah gas karbon dioksida yang dihasilkan akibat sesuatu kegiatan atau penghasilan sesuatu produk.

Malah menurut satu laporan "penilaian kitar hayat beg runcit" yang diterbitkan oleh Agensi Perlindungan Sekitaran Denmark tahun lalu, beg plastik pasar raya biasa "adalah beg yang menghasilkan impak alam sekitar terendah secara keseluruhannya" walaupun jika tidak digunakan semula.

Beg kertas perlu digunakan hingga 43 kali sebelum menjana manfaat sekitaran bersih, berbanding dengan beg plastik biasa yang perlu digunakan semula sekali saja untuk meraih manfaat yang sama.

Namun begitu, menggunakan beg kertas adalah lebih sukar kerana ia mudah koyak, kata para pakar.

TIADA KEMUDAHAN BAGI PRODUK BOLEH LUPUS

Sesetengah syarikat menguar-uarkan langkah mereka untuk menggunakan produk kertas mudah lupus (biodegradable), yang boleh dilupuskan oleh bakteria atau organisme hidup lain. Mereka melihat langkah ini sebagai satu huraian mesra alam. Namun hakikatnya produk sebegitu tiada manfaat kepada alam sekitar dalam konteks Singapura, kata para pakar.

"Tidak banyak perbezaan di Singapura jika sesuatu produk kertas boleh dilupuskan kerana kebanyakan sisa buangan dibakar," kata pengasas bersama kedai sifar-sisa Florence Tay.

Beliau menjelaskan bahawa kertas boleh lupus terurai dalam keadaan sangat khusus apabila dicampur dengan bahan lain. Ini bermakna apabila dibiarkan di tapak pembuangan, kertas sedemikian tidak akan terurai.

Bahan sebegini perlu dilupuskan dalam kemudahan tertentu, yang tidak didapati di Singapura, tambahnya. Sebaliknya, cawan dan kotak kertas yang lazim digunakan biasanya diselaputi plastik lantas tidak boleh dikitar semula atau dijadikan kompos.

PRODUK DISALUT PLA JUGA BAWA MASALAH TERSENDIRI

Meskipun produk-produk yang disalut asit polylactic (PLA) mungkin kelihatan sebagai huraian yang lebih baik, Cik Giri berkata produk sedemikian membawa masalah tersendiri.

PLA berasal dari sumber yang boleh diperbaharui seperti jagung, ubi kayu dan tebu.

"Jagung biasanya digunakan, dan kerana ia diubah suai menjadi kuat, jumlah baja dan kimia racun perosak yang lebih banyak selalunya digunakan digunakan semasa ia ditanam, yang menyebabkan pencemaran air dan tanah," jelas beliau lagi.

Cik Giri berkata industri PLA boleh memburukkan satu lagi masalah yang mendesak - kekurangan makanan, kerana PLA biasanya ditanam di tanah yang lebih baik digunakan untuk menghasilkan makanan.

APA JALAN PENYELESAIANNYA?

Meskipun para peniaga mahu menunjukkan bahawa mereka sedang melakukan sesuatu yang baik untuk alam sekitar, penyelesaian itu tidak terletak pada pemilihan satu bahan berbanding bahan yang lain, kata para pakar.

Mereka harus sebaik mungkin menghindari barang-barang pakai buang sama sekali, tambah para pakar.

Perniagaan boleh mula menggalak pelanggan mereka memikirkan semula keperluan menggunakan beg tidak kira bahan yang digunakan untuk membuatnya, cadang Cik Tay.

"Daripada bertanya jika pelanggan memerlukan beg, peniaga boleh menyarankan mereka memasukkan barang yang dibeli ke dalam beg mereka sendiri."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan