Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gangguan seksual: MUIS terima 2 aduan asatizah jadi mangsa dan 12 lagi dakwa asatizah sebagai pelaku

Skandal tinjauan lucah melibatkan 17 asatizah tempatan yang dilaporkan pada Mei lalu ternyata bukan kes pertama seumpamanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan seksual: MUIS terima 2 aduan asatizah jadi mangsa dan 12 lagi dakwa asatizah sebagai pelaku

(Gambar fail: Nuria Ling/TODAY)

SINGAPURA: Skandal tinjauan lucah melibatkan 17 asatizah tempatan yang dilaporkan pada Mei lalu ternyata bukan kes pertama seumpamanya.

Menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerima dua laporan antara Januari 2019 hingga Jun 2021, yang mana asatizah menjadi mangsa gangguan seksual.

MUIS turut menerima 12 aduan yang mendakwa golongan asatizah melakukan gangguan seksual sepanjang tiga tahun itu. Aduan-aduan berkenaan tidak ada kaitan antara satu sama lain dan difailkan terhadap 12 individu berbeza.

Semua ini didedahkan Encik Masagos menerusi jawapan bertulisnya kepada pertanyaan parlimen yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen Dilantik Dr Shahira Abdullah dan Anggota Parlimen Parti Pekerja Faisal Manap.

Mereka antara lain turut bertanya bagaimana MUIS menangani kes-kes gangguan seksual.

Gambar fail.

Encik Masagos menjelaskan bahawa MUIS mempunyai prosedur terdahulu yang sudah ditetapkan.

"Pertama sekali, anggota kakitangan yang rasa mereka diganggu atau terlihat sebarang bentuk gangguan melibatkan rakan kerja mereka, boleh membuat laporan atau mengadu kepada Ketua Eksekutif MUIS," kata Encik Masagos.

Sebaik sahaja aduan diterima, badan berkanun itu akan segera menghubungi pihak terjejas lalu menghulurkan sokongan, seperti menugaskan seorang Pegawai Jagaan yang akan menyediakan kaunseling.

Seandainya dakwaan-dakwaan yang dikemukakan terbukti benar, sebuah jawatankuasa akan dibentuk. Jawatankuasa yang dianggotai para pegawai pengurusan kanan MUIS itu akan menentukan tindakan sewajarnya terhadap pelaku, terang Encik Masagos lagi.

"Jika perlu, semakan proses di tempat kerja atau aturan lain akan dijalankan bagi mencegah salah laku seperti itu daripada berulang," tambahnya.

Sepanjang siasatan dijalankan, MUIS juga tidak akan teragak-agak untuk membuat aduan polis sekiranya ada bukti bahawa perbuatan jenayah sudah berlaku.

KEMAS KINI TENTANG SKANDAL TINJAUAN LUCAH

Dr Shahira turut bertanya sekiranya dalang di sebalik tinjauan lucah yang menarik perhatian ramai pada Mei lalu, sudah dikenal pasti.

Untuk ini, Encik Masagos berkata pihak polis masih menjalankan siasatan dan MUIS tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut sehingga siasatan selesai dijalankan.

Bagi soalan Encik Faisal mengenai bila MUIS mula-mula menerima aduan berkenaan, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, mengesahkan bahawa MUIS hanya mendapat tahu tentang kejadian tersebut pada 26 Mei, iaitu pada hari yang sama ia mula digembar-gemburkan di media sosial.

"MUIS segera menghubungi para mangsa untuk menghulurkan sokongan seperti kaunseling serta sokongan psikologi, emosi dan rohani. MUIS turut membuat aduan polis bagi menyiasat tinjauan tersebut," kata Encik Masagos.

Pada 25 Mei, satu tinjauan dengan gambar 12 ustazah tempatan dimuat naik ke wadah media sosial MeWe oleh pengguna 'M A' yang mengajukan soalan: "Ustazah mana patut kena 'gangbang'?" atau dirogol secara beramai-ramai.

Namun turut terbongkar adalah satu lagi tinjauan lucah yang dimuat naik pada April. Lagi lima ustazah disenaraikan dan soalan yang diajukan juga hampir sama, iaitu: "Gangbang Ustazah mana?" 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan