Gangguan pelepasan imigresen disebabkan 'kesilapan teknikal' semasa sistem dipertingkat: ICA
Kesilapan pada sistem pelepasan imigresen automatik adalah punca di sebalik orang ramai terpaksa perlu menunggu lebih lama dan beratur panjang selama berjam-jam di pusat-pusat pemeriksaan Singapura, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (31 Mac).
(Gambar: Facebook/Phuong Hua)
"Siasatan awal mendapati terdapat kesilapan teknikal semasa sistem dipertingkat seperti dijadualkan terlebih awal, dan ini menyebabkan beban tidak diduga pada sistem tersebut," kata seorang jurucakap.
Menurut ICA, pada sekitar 10.40 pagi, semua lorong keberangkatan automatik bagi pemeriksaan imigresen "gagal berfungsi".
Laluan pelepasan automatik di kesemua terminal di Lapangan Terbang Changi terjejas, berserta terminal ketibaan di Terminal 2 dan 4.
Di pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas pula, semua laluan automatik motosikal dan sesetengah laluan automatik bagi penumpang bas juga terjejas, menurut ICA.
Agensi itu berkata sebagai sebahagian daripada "pelan kesinambungan perniagaan", ia mengarahkan penumpang ke kaunter yang dikendali pegawai bagi pelepasan imigresen.
"Kami memanggil balik pegawai yang tidak bertugas dan sumber tambahan ini membantu mengendalikan semua kaunter imigresen dan kerja-kerja mengawal orang ramai," kata jurucakap ICA.
ICA juga menggunakan siaran radio dan media sosial untuk menasihatkan pelawat supaya mengambil kira masa tambahan bagi pelepasan imigresen.
Pada sekitar tengah hari, ICA menulis di Facebook menasihatkan pelawat supaya "menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting, jika perlu".
Dalam satu kenyataan pada Jumaat malam, ICA menarik perhatian bahawa sistem pelepasan imigresen secara automatik pulih secara bertahap-tahap dan "keadaan kembali sedia kali" pada sekitar pukul 4.00 petang.
"ICA memohon maaf bagi sebarang kesulitan yang berlaku dan ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana memahami, bersabar dan kerjasama mereka bersama pegawai kami di pusat-pusat imigresen," kata jurucakap berkenaan.
"Kami sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan akan meletakkan langkah-langkah tambahan bagi mengelakkan kejadian ini daripada berulang."
Lapangan Terbang Changi dalam catatan di Facebook pada pukul 5.00 petang menyatakan "sejumlah kecil" penumpang terlepas penerbangan mereka disebabkan oleh gangguan itu, meskipun keutamaan diberikan kepada mereka yang perlu menaiki penerbangan dengan segera.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.