Skip to main content

Singapura

Gangguan NEL: LTA, SBS Transit semak langkah perkukuh daya tahan sistem bekalan elektrik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Aug 2025 07:51PM Dikemas Kini : 13 Aug 2025 11:14PM
SINGAPORE: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SBS Transit sedang menyemak semula langkah-langkah untuk mengukuhkan daya tahan sistem bekalan elektrik selepas gangguan selama beberapa jam menjejas khidmat MRT di Laluan Timur Laut (NEL) dan LRT Sengkang-Punggol pada Selasa (12 Ogos).

Khidmat MRT antara 11 stesen di NEL terjejas pada Selasa selepas bekalan elektrik terputus di sebuah 'substation' depot.

Khidmat LRT Sengkang-Punggol juga terjejas.

"Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bersama SBS Transit, kerosakan berlaku pada papan suis yang membekalkan bekalan elektrik kepada sistem," kata pihak berkuasa pengangkutan dalam catatan di Facebook pada Rabu (13 Ogos).

"Terdapat dua papan suis yang bertindak sebagai sandaran antara satu sama lain. Biasanya, jika satu terputus, yang satu lagi boleh terus membekalkan elektrik dari sumber utama."
Stesen MRT Serangoon semasa gangguan perkhidmatan kereta api di Laluan Timur Laut pada 12 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Koh Wan Ting)
Bagaimanapun, semasa gangguan pada Selasa, papan suis pertama rosak dan ia menghidupkan ciri keselamatan yang mematikan papan suis kedua untuk melindunginya daripada kerosakan, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Ini turut menyebabkan bekalan elektrik utama terputus dari Depot Sengkang.

Akibatnya, SBS Transit terpaksa menyambung sumber bekalan elektrik sandaran secara manual dari Dhoby Ghaut ke papan suis kedua untuk memulihkan khidmat secara berperingkat.

"Sebagai sebahagian daripada tindakan susulan selepas insiden tersebut, LTA dan SBS Transit juga sedang menyemak langkah-langkah untuk mengukuhkan daya tahan sistem bekalan elektrik kami," kata pihak berkuasa pengangkutan.
Stesen MRT Sengkang dengan lampu dimatikan dan semua gantri tidak membenarkan penumpang masuk pada 12 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
GANGGUAN KHIDMAT

Gangguan pada Selasa diumumkan oleh SBS Transit sekitar pukul 11.30 pagi, menyatakan bahawa khidmat antara stesen MRT Farrer Park dan Punggol Coast di Laluan Timur Laut (NEL) dan keseluruhan LRT Sengkang-Punggol terjejas.

Bekalan elektrik secara beransur-ansur dipulihkan ke stesen-stesen yang terjejas, dan khidmat NEL disambung semula sepenuhnya pada pukul 2.10 petang.

Walau bagaimanapun, khidmat LRT Sengkang-Punggol tergendala selama sekitar lima jam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SBS Transit Jeffrey Sim berkata bahawa kerja-kerja pemulihan untuk khidmat LRT terpaksa dijalankan secara berperingkat untuk memastikan peningkatan beban elektrik yang stabil dan mencegah bekalan elektrik terputus sekali lagi.

Ini memandangkan kedua-dua NEL dan LRT Sengkang Punggol kini bergantung pada satu 'substation' yang dikongsi.

Bekalan elektrik di LRT Sengkang dipulihkan pada pukul 3.34 petang, manakala khidmat LRT Punggol mula disambung semula secara beransur-ansur dari pukul 4.15 petang.

Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan tekanan pada bekalan elektrik dari 'substation' tunggal, khidmat LRT Sengkang-Punggol beroperasi di atas satu landasan untuk kedua-dua gelung timur dan barat semasa waktu sibuk petang.

Khidmat LRT disambung semula sepenuhnya pada pukul 9.20 malam.

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow menyatakan kekecewaan minggu lalu terhadap gangguan MRT dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada Julai dan Ogos, gangguan khidmat berlaku di Laluan Timur-Barat (EWL), Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan LRT Bukit Panjang.

EWL, TEL dan LRT Bukit Panjang dikendalikan oleh SMRT.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita