Skip to main content

Singapura

Gangguan MRT Timur-Barat: Denda SMRT kini S$2.4 juta, disalurkan ke Dana Awam

Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan MRT Timur-Barat: Denda SMRT kini S$2.4 juta, disalurkan ke Dana Awam

Kakitangan pembaikan dilihat pada 26 Sep 2024, membaiki kereta api yang rosak di Commonwealth Ave West. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 25 Jul 2025 07:49PM Dikemas Kini : 25 Jul 2025 09:00PM
SINGAPURA: Denda S$3 juta yang dikenakan terhadap pengendali pengangkutan awam SMRT menyusuli gangguan ke atas perkhidmatan kereta api laluan Timur-Barat tahun lalu, kini dikurangkan kepada S$2.4 juta, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (25 Jul).

Pihak berkuasa juga mengarahkan SMRT untuk melabur sekurang-kurangnya S$600,000 untuk memperkukuh keupayaannya dan menangani bidang-bidang yang perlu diperbaiki berikutan insiden tersebut untuk meningkatkan keandalan perkhidmatannya.

Denda S$2.4 juta itu akan disalurkan ke Dana Pengangkutan Awam untuk membiayai tambang pengangkutan awam keluarga berpendapatan rendah.

Bulan lalu, LTA mengumumkan ia akan mengenakan denda sebanyak S$3 juta terhadap SMRT selepas siasatan berkaitan gangguan kereta api selama enam hari September lalu mendedahkan beberapa kelemahan. Ini termasuk kerja-kerja penyelenggaraan yang ditangguhkan lebih lama daripada sepatutnya. Kelewatan penghantaran kereta api baharu akibat pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada keadaan itu.

Kereta api dalam insiden tersebut adalah antara 66 unit kereta api SMRT generasi pertama keluaran Kawasaki Heavy Industries (KHI), yang mula digunakan pada akhir 1980-an.

Ia sepatutnya digantikan secara beransur-ansur oleh kereta api Movia baharu bermula dari 2021, tetapi disebabkan pandemik, ia tertangguh selama 1.5 tahun. Kereta api Movia pertama hanya diserahkan pada 2023.

SMRT dikehendaki terus menjalankan penyelenggaraan berkala untuk kereta api KHI yang masih berkhidmat, tetapi semasa insiden September lalu, hanya 18 kereta api KHI dibaik pulih, dan kereta api dalam insiden tersebut tidak termasuk dalam senarai itu.

"Dalam membuat keputusan ini, LTA mengambil kira cabaran ketara yang dihadapi SMRT dalam merancang dan melaksanakan rejim baik pulih mereka untuk kereta api KHI, terutamanya kesukaran mendapatkan alat ganti yang diperlukan untuk kerja-kerja baik pulih disebabkan gangguan rantaian bekalan global akibat pandemik COVID-19," menurut LTA pada Jumaat.

"Sistem rel Singapura terus kekal sebagai salah satu sistem rel paling boleh dipercayai di dunia. Sejak 2019, purata kilometer antara gangguan (MKBF) rangkaian MRT kami melebihi sasaran satu juta kilometer perjalanan kereta api."

Pihak berkuasa menambah bahawa ia akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tiga pihak untuk mengekalkan keandalan sistem rel Singapura dan menyediakan perjalanan yang lancar dan selesa untuk penumpang.

SMRT boleh membuat rayuan terhadap keputusan yang dikeluarkan itu kepada Menteri Pengangkutan, yang boleh menolak rayuran tersebut dan mengesahkan keputusan LTA, atau menerima rayuan itu dan menggantikan atau mengubah keputusan LTA.

Keputusan Menteri berkaitan rayuan itu adalah muktamad.

Pada Jumaat, Presiden SMRT Lam Sheau Kai akur dengan arahan LTA agar syarikat itu membuat pelaburan untuk meningkatkan keupayaannya.

"Pembangunan tenaga kerja dan peningkatan kemahiran sudah lama menjadi keutamaan teras kami di SMRT, dan arahan ini sejajar dengan komitmen berterusan kami untuk melabur dalam kakitangan kami," tulisnya dalam satu catatan di Facebook.

Mengenai cabaran yang dihadapi SMRT dalam membaik pulih kereta api KHI yang usang, Encik Lam menambah: "Jika pandemik tidak berlaku, semua kereta api KHI sepatutnya digantikan oleh kereta api R151 (Movia) baharu seperti yang dirancangkan, dan insiden itu mungkin dapat dielakkan."

Beliau menambah bahawa SMRT akan memperkukuh libat urus dengan pengeluar asal peralatan kereta api dan sistemnya, dan memperdalam kepakaran teknikal dan kejuruteraan melalui kerjasama yang lebih rapat dengan rakan kongsi berkenaan.

Ia juga akan bekerjasama rapat dengan LTA dan pengeluar kereta api Alstom untuk melancarkan secara beransur-ansur kumpulan baharu kereta api Movia dan menghentikan khidmat kereta api KHI secara menyeluruh menjelang September ini, kata Encik Lam.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada syarikatnya akan membuat rayuan terhadap keputusan LTA itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita