Skip to main content

Singapura

Gangguan MRT Laluan Timur-Barat: 160 kapten bas, 80 bas ulang-alik percuma dikerah setiap hari

Sekitar 160 kapten bas dan sehingga 80 khidmat bas ulang-alik percuma dikerahkan setiap hari, sepanjang tempoh berlaku gangguan khidmat MRT di Laluan Timur-Barat.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 160 kapten bas dan sehingga 80 khidmat bas ulang-alik percuma dikerahkan setiap hari, sepanjang tempoh berlaku gangguan khidmat MRT di Laluan Timur-Barat.

Ia merupakan tempoh berterusan paling lama di mana khidmat tersebut dikerahkan.

Setakat sehingga Selasa lalu (1 Okt), khidmat MRT di Laluan Timur-Barat telah pulih sepenuhnya.

Pada hari biasa, ratusan ribu penumpang terjejas oleh gangguan khidmat MRT itu setiap hari.

Semasa waktu sibuk, terdapat sehingga 500 orang beratur di satu tempat perhentian bas.

Malah pada satu-satu masa semasa waktu sibuk, terdapat sehingga enam bas dua tingkat yang tiba di perhentian bas untuk membawa penumpang.

Setiap bas boleh membawa sehingga 120 penumpang.

Di tengah-tengah keadaan huru hara itu, para kakitangan perlu menangani keprihatinan oleh para penumpang yang keliru.

"Setiap hari, kami akan mengadakan sesi taklimat bersama kedua-dua pengendali bas dan kereta api mengenai pengajaran yang diperolehi setiap hari, dan kami juga akan melakarkan langkah-langkah pembaikan untuk keesokan hari.

"Contohnya, pada hari kedua, kami meminta pengendali bas supaya meletakkan penghadang dan tiang bagi memudahkan penumpang beratur untuk khidmat bas masing-masing," kata Pengarah Peraturan Bas di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Amos Ang.

Sementara itu, terdapat dua syif setiap hari bagi para kapten bas.

Malah ada yang dipanggil untuk kembali bertugas pada hari rehat mereka.

Kakitangan lain termasuk para pengurus pula turun padang dan menggalas peranan lain demi bantu meringankan beban.

"Ketika berlaku gangguan khidmat itu, saya sebenarnya memandu bas-bas khidmat ulang-alik itu, jadi saya dapat menggantikan kapten-kapten bas supaya mereka dapat pergi berehat di waktu sibuk," kata Pengurus Operasi Depot di Tower Transit, Jack Ng.

Selain daripada pemandu, lebih 600 kakitangan dari LTA, pengendali perkhidmatan pengangkutan awam dan polis dikerahkan setiap hari.

Pengendali kereta api SMRT menyatakan ia akan menanggung kos penyediaan khidmat bas biasa dan ulang-alik yang ditawarkan secara percuma.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita