Skip to main content

Singapura

Gangguan Laluan Circle: Sukarelawan bantu urus aliran orang ramai

Apabila sukarelawan kakitangan SMRT Saroja Sadasivan Pillay membantu seorang wanita pada hari-hari awal gangguan terancang selama tiga bulan di Laluan Circle (CCL), beliau tidak menyangka pertemuan itu akan menyentuh perasaannya dengan mendalam.
Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan Laluan Circle: Sukarelawan bantu urus aliran orang ramai
Pakar operasi SMRT Trains Saroja Sadasivan Pillay (kiri) dan pengurus stesen Muhammad Syawal Mustafa (kanan). (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
SINGAPURA: Apabila sukarelawan kakitangan SMRT Saroja Sadasivan Pillay membantu seorang wanita pada hari-hari awal gangguan terancang selama tiga bulan di Laluan Circle (CCL), beliau tidak menyangka pertemuan itu akan menyentuh perasaannya dengan mendalam.

Wanita warga emas berkerusi roda itu menghulurkan tangan dan menggenggam tangan Cik Saroja ketika mereka bergerak bersama-sama melalui stesen Serangoon yang sesak.

“Tuhan memberkati kamu, kamu sangat membantu,” kata wanita itu kepadanya.

Perbuatan yang ringkas itu mencetuskan kenangan bagi wanita berusia 58 tahun itu. “Saya teringat ibu saya (yang sudah meninggal dunia), kerana pada usia tuanya, dia juga seperti ini.”

Itu hanyalah satu daripada ribuan interaksi yang berlaku setiap hari di seluruh rangkaian rel Singapura semasa gangguan terancang selama tiga bulan di Laluan Circle – antara yang terpanjang dalam sejarah sistem tersebut.

Gangguan yang berlangsung dari 17 Januari hingga 19 April itu menjejaskan laluan antara stesen Mountbatten, Dakota dan Paya Lebar, di mana kerja-kerja pengukuhan terowong sedang dijalankan. Perjalanan mungkin tertangguh sehingga 30 minit apabila para penumpang menggunakan bas ulang-alik dan laluan alternatif.

Sehingga 500 orang sukarelawan, kakitangan stesen dan pekerja sementara dikerahkan pada hari-hari awal untuk membantu menguruskan orang ramai dan mengarahkan para penumpang. Tenaga kerja itu sudah dikurangkan kerana para penumpang kini semakin biasa dengan perubahan tersebut.

MENGAPA MEREKA MENJADI SUKARELAWAN?

Bagi Cik Saroja, seorang pakar operasi SMRT Trains, gangguan itu merupakan peluang baginya untuk berinteraksi dengan penumpang – sesuatu yang tidak diperlukan dalam tugas hariannya.

Beliau kerap menjadi sukarelawan yang mengawal orang ramai, dan bagi gangguan tersebut, ditempatkan di stesen Serangoon selama empat hari.

Pegawai kejuruteraan kanan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Lim Teck Heng, 64 tahun, mendaftar untuk 17 syif di stesen Serangoon, Paya Lebar, Tai Seng dan Mountbatten. Tugas hariannya tertumpu pada kerja-kerja jalan raya dengan sedikit interaksi awam.

“Saya hanya mahu membantu, dan berinteraksi, kerana pasti ada orang yang keliru di stesen,” kata beliau.
Related article image
Pegawai kejuruteraan kanan LTA Lim Teck Heng memberi arah kepada seorang penumpang semasa gangguan Laluan Circle. (Gambar: LTA)
BUKAN SEMUANYA BERJALAN DENGAN LANCAR

Hari-hari awal menyaksikan kekecewaan daripada beberapa penumpang. Seorang lelaki warga emas bertanya kepada Cik Saroja mengapa sebuah eskalator dimatikan untuk mengarahkan aliran penumpang.

Dia bertanya: “Kenapa kamu semua matikan eskalator? Setiap hari saya turun eskalator ini. Kenapa saya mesti berjalan sampai ke sana?”

Beliau menjelaskan perubahan tersebut kepada warga emas berkenaan dan meminta maaf. Keesokan hari, beliau bertemu dengan lelaki itu lagi – tetapi kali ini beliau tersenyum ketika berjalan melepasi Cik Saroja.

Encik Lim pula berdepan dengan seorang wanita yang menjadi gelisah akibat gangguan tersebut dan mula meninggikan suara semasa meminta arah.

“Saya minta dia untuk bertenang, dan bercakap dengannya dengan lembut, lalu dia kembali tenang,” kata beliau. “Saya bertanya dia sebenarnya mahu ke mana.”

Rain Yong, seorang jurutera terowong LTA yang menjadi sukarelawan bagi empat syif di stesen Paya Lebar dan Buona Vista, berkata kebanyakan penumpang memahami keadaan tersebut, walaupun ada yang menyatakan kekecewaan.

“Mereka tidak dapat menggunakan laluan biasa dan menjadi sangat keliru,” kata Cik Yong, yang berusia dalam lingkungan 30an. “Walaupun ada berita (tentang gangguan), mereka masih sangat keliru tentang apa yang berlaku di stesen.”
Related article image
Jurutera terowong LTA Rain Yong membantu seorang penumpang pada waktu sibuk. (Gambar: LTA)
Beliau juga memerhatikan betapa sukarnya untuk mengubah tingkah laku penumpang, dengan ramai yang masih menuju ke arah MRT walaupun diarahkan ke bas ulang-alik.

MENANGANI KRITIKAN

Beberapa maklum balas online mempersoalkan jumlah besar sukarelawan dan kakitangan yang dikerahkan, dengan aduan bahawa arahan yang disampaikan melalui pembesar suara menambahkan kesesakan dan kekeliruan.

Cik Yong berkata perkara itu tidak adil, sambil menyatakan kesesakan pada waktu sibuk memerlukan pengurusan yang betul, terutamanya bagi para penumpang berkerusi roda atau kurang upaya dari segi pergerakan.

“Apabila anda bergerak melawan arus orang ramai, ia sebenarnya sangat berbahaya bagi mereka. Peranan kami adalah untuk membantu mengarahkan mereka,” kata beliau.

Encik Lim menambah bahawa walaupun pengumuman menerusi pembesar suara diperlukan pada hari-hari awal, ia menjadi kurang penting apabila para penumpang sudah menyesuaikan diri.

“Kami juga memberi maklum balas supaya pembesar suara diperlahankan atau agar pengumuman automatik tidak dimainkan dengan terlalu kerap,” kata beliau.

PERANCANGAN SELAMA BERBULAN-BULAN

Usaha pengurusan orang ramai itu dirancang selama berbulan-bulan, kata pengurus stesen Laluan Circle Paya Lebar Muhammad Syawal Mustafa.

Lelaki berusia 38 tahun itu berkata beliau terlibat secara aktif dalam perancangan kawalan orang ramai jauh sebelum gangguan tersebut bermula.

“Kami akan meneliti statistik tahap orang ramai dan merancang lebih awal serta berhubung dengan Laluan Timur-Barat untuk memastikan (pergerakan) orang ramai lancar dengan mengarahkan mereka untuk berjalan melakukan satu pusingan besar,” kata beliau.

Walaupun ada penumpang yang kecewa dengan lencongan itu, Encik Syawal berkata ia penting kerana para penumpang dari Laluan Timur-Barat turun daripada enam gerabak MRT, manakala MRT Laluan Circle hanya mempunyai tiga gerabak. Tanpa laluan yang betul, platform Laluan Circle boleh menjadi terlalu sesak dan berbahaya.

Selain perancangan, Encik Syawal juga mengetuai pasukan sukarelawan dan kakitangan di Paya Lebar bagi memastikan pergerakan penumpang kekal lancar.

“Saya perlu memastikan mereka dilengkapi dengan semua maklumat dan peralatan, dan saya juga akan menempatkan mereka di pelbagai lokasi selain stesen saya,” kata beliau.

Walaupun mempunyai bayi yang baru lahir di rumah, Encik Syawal kembali ke stesen pada hari cutinya untuk menyokong rakan sekerja beliau.

“Apabila saya datang, saya akan mengambil alih kawalan orang ramai,” kata Encik Syawal. “Ia memang meletihkan, tetapi kerana kerja berpasukan, kami laluinya bersama-sama.”

Bagi Cik Yong, menjadi sukarelawan membolehkan beliau membentuk hubungan dengan orang ramai yang meraih manfaat daripada kerjaya profesionalnya.

“Ia menyelaraskan semula dan mengukuhkan tujuan tugas yang kami lakukan sebagai sebuah pertubuhan,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita