Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gangguan khidmat MRT: Pemulihan rel kuasa 'selesai sepenuhnya'; ujian keselamatan dijalankan pada Ahad

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kerja-kerja pemulihan di Laluan Timur-Barat (EWL) mencapai kemajuan menyusuli gangguan khidmat selama beberapa hari yang menjejas laluan kereta api yang kedua tertua di Singapura.

Dalam satu catatan di Facebook, pengendali kereta api SMRT menyatakan "setakat Sabtu (28 Sep), kami telah berjaya memulihkan dan selesai menjalani ujian kefungsian pada tiga mesin titik landasan dan peralatan tepi trek yang berkaitan".

"Rel tenaga juga telah digantikan, dan kerja-kerja pemulihan telah selesai sepenuhnya. Sebaik sahaja kerja pembaikan selesai dijalankan, SMRT akan menjalankan ujian fungsi dan keselamatan sistem yang komprehensif, termasuk pemeriksaan pada landasan, bekalan kuasa dan isyarat kereta api. Kami juga akan menjalankan operasi bagi kereta api pada kelajuan yang berbeza untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

"Proses ini akan mengambil masa sepanjang hari esok."

Dalam satu catatan Facebook sebelum ini pada Sabtu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan bahawa pasukannya telah mencapai "kemajuan yang ketara" dalam kerja pemulihan tersebut.
Lebih 300 jurutera dan teknisyen telah berusaha untuk membaiki kerosakan pada landasan dan peralatan di Laluan Timur-Barat, menurut Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat.

Pihak berkuasa pada Khamis mendedahkan bahawa SMRT akan menyasar untuk memulihkan sepenuhnya khidmat pada Isnin.

Gangguan khidmat tersebut berlaku pada Rabu, dengan pihak berkuasa pengangkutan menentukan sehari kemudian bahawa kereta api yang rosak, yang sedang dalam perjalanan pulang ke depoh Ulu Pandan, telah menyebabkan "kerosakan besar" pada landasan kereta api dan peralatan antara stesen Clementi dengan Dover.

Para jurutera menemui 34 keretakan pada rel, sebahagian daripada kerosakan pada landasan sejauh 1.6 kilometer antara kedua-dua stesen berkenaan. Tiga mesin yang digunakan untuk mengalihkan kereta api ke landasan berbeza, rel ketiga yang membekalkan tenaga, serta kabel tenaga dan klip rel turut didapati rosak.

Pada Khamis malam, LTA dan SMRT membatalkan rancangan untuk menyambung semula sebahagian daripada khidmat antara stesen Jurong East dengan Buona Vista. Pihak berkuasa sebelum ini berharap untuk
mengendalikan khidmat ulang-alik selama 20 minit antara dua stesen itu.

KESILAPAN PERTAMA SEUMPAMANYA

Namun, rancangan itu dibatalkan kerana mengendalikan perkhidmatan ulang-alik akan melambatkan kerja pembaikan dan menimbulkan risiko menangguhkan pemulihan sepenuhnya sekurang-kurangnya untuk beberapa hari, jelas LTA dan SMRT.

Komponen rosak yang dikenali sebagai kotak gandar telah jatuh ke landasan kereta api, menyebabkan satu bogie - atau bahagian bawah gerabak kereta api dengan roda - terkeluar dari rel yang beroperasi antara stesen Dover dengan Clementi.

Kerosakan itu - yang pertama seumpamanya berlaku pada kereta api SMRT - mengakibatkan kerosakan selanjutnya, termasuk pada rel ketiga yang membekalkan kuasa, serta kabel kuasa dan klip rel.

Inilah yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik pada kira-kira 9.25 pagi pada Rabu, sekali gus mengganggu khidmat kereta api antara stesen MRT Boon Lay dengan Queenstown.

Ini juga mencetus gangguan bekalan kuasa itu berlaku pada kira-kira 9.25 pagi pada Rabu, yang menyebabkan kereta api lain berhampiran stesen Clementi terhenti.

Kereta api yang rosak, yang dibuat oleh Kawasaki Heavy Industries, telah beroperasi selama 35 tahun. Pihak berkuasa menyatakan bahawa semua kereta api Kawasaki Heavy Industries yang beroperasi pada Khamis sudah lulus pemeriksaan fungsi kotak gandar.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan