Skip to main content

Singapura

Gangguan khidmat MRT baru-baru ini adalah kes terpencil, bukan isu sistemik: SMRT

SMRT menyatakan gangguan khidmat kereta api yang berlaku baru-baru ini adalah insiden yang tidak berkaitan dan tidak merujuk kepada isu lebih meluas dengan rangkaian rel Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Sep 2025 06:08PM Dikemas Kini : 18 Sep 2025 10:17AM
SINGAPURA: SMRT menyatakan gangguan khidmat kereta api yang berlaku baru-baru ini adalah insiden yang tidak berkaitan dan tidak merujuk kepada isu lebih meluas dengan rangkaian rel Singapura.

"Ia adalah kes terpencil, bukan isu sistemik," kata Encik Lam Sheau Kai, presiden pengendali SMRT Trains kepada media pada Rabu (17 Sep).

"Dalam setiap situasi, kakitangan kami bertindak pantas untuk mengutamakan keselamatan penumpang, melaksanakan langkah-langkah pemulihan dan menyediakan khidmat bas sambungan secara percuma."

SMRT akan bekerjasama dengan LTA dalam beberapa aspek bagi mengukuhkan keandalan kereta api, kata Encik Lam.

Ini termasuk penilaian terperinci aset kereta apinya sebagai sebahagian daripada apa yang beliau sifatkan sebagai komitmen kepada keandalan jangka panjang.

"Kami akan mengukuhkan pengurusan kitaran hayat sistem kereta api kami, mempercepatkan pembaharuan aset dan naik taraf di mana yang perlu," katanya.

SMRT juga akan menjalankan audit teknikal sistem kritikal - termasuk sistem kuasa, isyarat, kereta ap dan landasan - bagi mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki prosedur respons.

Satu lagi tumpuan adalah untuk memendekkan masa pemulihan insiden.

"Tanpa menjejas keselamatan, kami akan lakukan yang terbaik untuk memendekkan masa pemulihan untuk terus menyokong penumpang," kata Encik Lam.

"Langkah berjaga-jaga keselamatan, yang lazimnya mengambil dua hingga tiga jam, adalah penting untuk memastikan perlindungan bagi semua. Kami sedia maklum tentang kesulitan yang disebabkan oleh insiden-insiden itu, dan dengan penuh tulus ikhlas memohon maaf kepada para penumpang yang terjejas."

Encik Lam juga mengakui perlunya komunikasi lebih baik apabila berlaku gangguan.

"Kami menyedari terdapat ruang untuk diperbaiki bagi komunikasi lapangan bagi setiap insiden.

"Kesan terhadap setiap penumpang berbeza bergantung kepada di mana seseorang itu berada dalam rangkaian kereta api. Ini adalah satu aspek yang kami harap dapat tangani dengan LTA."

Sejak permulaan September, SMRT memperkenalkan langkah-langkah pengurusan orang ramai yang dipertingkatkan di pusat pertukaran kereta api utama pada waktu sibuk, dengan para kakitangan menggunakan alat-alat yang dipertingkat untuk membimbing para penumpang, kata Encik Lam.

Beliau tidak menjawab sebarang soalan dari wartawan.

Sekurang-kurangnya empat gangguan khidmat MRT berlaku sepanjang tempoh lima hari lalu, menjejas beberapa laluan.

Pada pagi Rabu, khidmat MRT di Laluan Thomson-East Coast (TEL) tergendala selama kira-kira dua jam selepas berlaku kerosakan pada sistem isyarat.

Sehari sebelumnya, kerosakan pada sistem isyarat di Laluan Timur-Barat (EWL) menyebabkan khidmat kereta api tergendala antara stesen Aljunied dengan Tanah Merah kira-kira pukul 11.00 malam.

Pada Ahad, kerosakan kereta api yang berlaku di Laluan Utara-Selatan (NSL) menyebabkan khidmat MRT tergendala selama 40 minit, menyusuli gangguan serupa di NSL pada 2 September.

Insiden-insiden lain termasuk kerosakan sistem di stesen LRT Punggol pada Sabtu, yang menjejas khidmat di kesemua 15 stesen dan kerosakan kereta api di Laluan Circle pada 1 September yang menyebabkan khidmat tertangguh antara Promenade dengan Marina Bay.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita