Skip to main content

Singapura

Gangguan khidmat LRT Bukit Panjang berkait sistem kuasa baharu

Gangguan khidmat yang menjejas rangkaian LRT Bukit Panjang baru-baru ini ada kaitan dengan sebuah sistem yang baru dipasang, yang memantau dan mengawal pengagihan kuasa, menurut syarikat SMRT pada Ahad (20 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan khidmat LRT Bukit Panjang berkait sistem kuasa baharu

Siasatan dijalankan oleh SMRT, pasukan projek pembaharuan kuasa LTA dan Schneider Electric - iaitu pengeluar peralatan sistem tersebut (OEM). (Gambar: Facebook/SMRT)

Diterbitkan : 21 Jul 2025 06:56PM Dikemas Kini : 21 Jul 2025 06:57PM
SINGAPURA: Gangguan khidmat yang menjejas rangkaian LRT Bukit Panjang baru-baru ini ada kaitan dengan sebuah sistem yang baru dipasang, yang memantau dan mengawal pengagihan kuasa, menurut syarikat SMRT pada Ahad (20 Jul).

Sistem 'Power SCADA' (kawalan penyeliaan dan pemerolehan data) adalah sebahagian daripada projek pembaharuan kuasa berterusan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kata Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai.

Sistem itu direka untuk "meningkatkan tahap keselamatan dan keandalan dengan memantau dan mengawal pengagihan bekalan kuasa dari jauh" di laluan LRT Bukit Panjang, kata Encik Lam pada Ahad malam (20 Jul).

Dalam catatannya di Facebook, Encik Lam berkata berdasarkan siasatan awal di tapak pada lewat petang Ahad, gangguan bekalan tenaga yang menjejas khidmat laluan LRT Bukit Panjang pada Sabtu lalu (19 Jul) berkongsi 'mod kegagalan serupa' dengan kejadian yang berlaku pada 3 Julai.

Gangguan terhadap sistem Power SCADA pada Sabtu menjejas sistem ETS, di mana ia "menyebabkan bekalan elektrik terputus di sepanjang laluan itu".

Siasatan dijalankan oleh SMRT, pasukan projek pembaharuan kuasa LTA dan Schneider Electric - iaitu pengeluar peralatan sistem tersebut (OEM).

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.45 petang pada Sabtu, yang menyebabkan khidmat kereta api tergendala di semua stesen sepanjang laluan LRT Bukit Panjang.

Empat LRT terkandas antara dua stesen kerana terputus bekalan elektrik.

"Bagi memudahkan penyambungan semula khidmat kereta api dengan selamat, ETS dipintas, sekali gus membolehkan kuasa tarikan dikembalikan ke laluan itu," kata Encik Lam.

"Pasukan projek LTA sedang menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk semakan reka bentuk sepenuhnya oleh kontraktor OEM bagi mengukuhkan kestabilan rangkaian dan mengelak kejadian serupa daripada berulang," katanya.

"Tumpuan utama adalah untuk memastikan bekalan kuasa tarikan kekal stabil, terutama sekali sementara sistem itu masih ditauliahkan."

Encik Lam berkata projek pembaharuan kuasa LRT Bukit Panjang dijangka selesai selewat-lewatnya akhir 2026, dan pihaknya akan terus memantau sistem itu dengan teliti sedang kerja-kerja dijalankan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada para penumpang yang terjejas atas kesabaran dan pemahaman mereka ketika berlaku gangguan itu."

Encik Lam menambah SMRT terus komited untuk memastikan khidmat LRT Bukit Panjang terus beroperasi dengan selamat, sedang kerja-kerja pembaharuan dijalankan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita