Gangguan khidmat DBS pada 19 Mac disebabkan oleh 'langkah salah' semasa perubahan sistem: Gan Kim Yong
Siasatan terhadap gangguan khidmat DBS pada 19 Mac lalu mendapati satu langkah salah sewaktu perubahan sistem dilaksanakan merupakan punca ia berlaku, kata Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.
Beberapa pelanggan DBS mengalami isu membuat pembayaran dan melog masuk ke dalam aplikasi mereka pada 19 Mac 2026.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan berurusan lanjut dengan DBS untuk "mengukuhkan proses pengurusan perubahannya", kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Beliau menjawab soalan dari Alex Yeo (SMC Potong Pasir) mengenai gangguan khidmat perbankan digital bank tersebut pada 19 Mac.
Encik Yeo bertanya sama ada punca utama gangguan itu sudah dikenal pasti, sama ada ia serupa dengan kejadian sebelumnya dan bagaimana ia ditangani.
Beliau juga menanyakan bagaimana MAS akan mengambil tindakan untuk memastikan pihak bank mengukuhkan daya ketahanan dan keandalan khidmat perbankan digital mereka.
Dalam jawapan bertulisnya, Encik Gan yang juga menjawab pertanyaan tersebut bagi pihak Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong, berkata MAS menetapkan jangkaan yang jelas bagi bank untuk mengehadkan masa henti tidak berjadual untuk sistem kritikal kepada empat jam bagi sebarang tempoh bergulir selama 12 bulan.
"Jangkaan ini memastikan bank mempunyai standard ketahanan sistem yang tinggi sambil menyedari gangguan operasi kadangkala berlaku disebabkan oleh kerumitan sistem.
"Apabila berlaku gangguan sistem, pihak bank perlu memulihkan perkhidmatan dengan pantas dan selamat," kata Encik Gan.
DBS berdepan isu sistem dan mengalami gangguan khidmat selama sekitar sejam - mulai pukul 12.03 tengah hari hingga 1.19 tengah hari, kata Encik Gan.
"Gangguan itu menghalang pelanggan daripada menyemak baki deposit dan sesetengah pelanggan daripada membuat bayaran melalui wadah digital.
"ATM, kad kredit dan kad debit NETS masih boleh diakses," kata Encik Gan.
DBS menyatakan dalam satu catatan Facebook pada 19 Mac bahawa para pelanggannya "menghadapi kesukaran" mengakses beberapa khidmat digitalnya.
Ia menambah pada ketika itu bahawa walaupun ia "sedang berusaha memulihkan khidmat yang terjejas", para pelanggan masih boleh membuat bayaran menggunakan kad DBS/POSB mereka.
Ia juga memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa wang dan deposit mereka "tetap selamat".
Ia kemudian memberi kemas kini di Facebook pada hampir pukul 2.00 petang selepas perkhidmatannya pulih sedia kala.
Mediacorp sudah pun menghubungi DBS bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.