Skip to main content

Singapura

Gan Kim Yong 'berterima kasih dan rasa rendah diri' dilantik DPM, meskipun bukan sebahagian kepimpinan 4G

Anggaran Waktu Membaca:
Gan Kim Yong 'berterima kasih dan rasa rendah diri' dilantik DPM, meskipun bukan sebahagian  kepimpinan 4G

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 13 May 2024 07:27PM Dikemas Kini : 14 May 2024 12:02AM
SINGAPURA: Meskipun Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong "bukan sebahagian" daripada kepimpinan 4G Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau akan cuba yang terbaik sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM), katanya pada Isnin (13 Mei).

Encik Gan akan menjadi Timbalan Perdana Menteri apabila Kabinet baharu mengangkat sumpah jawatan pada Rabu (15 Mei), umum bakal Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin.

Heng Swee Keat akan kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, mereka akan membantu Encik Wong untuk menyatukan Singapura, mengatasi isu kritikal dan bekerja sama dengan rakan sekerja lebih muda untuk membangunkan generasi kepimpinan baharu, kata Encik Heng.

Encik Gan berkata beliau "berterima kasih dan berasa rendah diri" dengan keputusan Encik Wong yang memintanya untuk terus berkhidmat sebagai anggota Kabinet baharunya.

"Meskipun saya bukan sebahagian daripada kepimpinan 4G, ia adalah satu penghormatan untuk diberikan peluang ini dan saya akan lakukan yang terbaik untuk membantu Perdana Menteri baharu dan pasukannya," kata Encik Gan.

Encik Wong dan Encik Gan juga mempengerusikan bersama pasukan pasukan bertindak berbilang kementerian ketika pandemik COVID-19.

"Saya menyaksikan kepimpinannya yang luar biasa terutama ketika krisis," tambah Encik Gan.

Sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan, beliau akan terus menumpukan kepada isu ekonomi dan bekerja dengan pelbagai agensi dan kementerian untuk berdepan "cabaran yang semakin sukar" di Singapura pada masa depan.

Sebagai DPM, beliau akan membantu Encik Wong dan bekerja sama dengan Encik Heng, untuk menyelaraskan pendekatan pemerintah yang menyeluruh, untuk merangka dan melaksanakan dasar-dasar utama, kata Encik Gan.

Bercakap di sidang media pada Isnin, Encik Heng berkata beliau "sangat gembira" bahawa Encik Wong melantik Encik Gan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menjawab soalan mengenai pertimbangan utama beliau untuk melantik Encik Gan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Encik Wong mengakui bahawa Menteri Perdagangan dan Industri itu "bukan sebahagian daripada kepimpinan 4G".

"Tidak mengapa, kerana ... saya ingin memastikan kesinambungan dan kestabilan ketika memperbaharui pasukan ini," tambah Encik Wong.

"Dan saya fikir, bagi saya, dalam tempoh peralihan awal ini, ia lebih baik untuk mempunyai dua menteri yang lebih berpengalaman sebagai timbalan saya."

Pengalaman Encik Gan dalam ekonomi antarabangsa akan membantu Singapura berdepan keadaan global yang lebih sengit, tambahnya.

Encik Heng dan Encik Wong menyertai politik pada 2011 dan bekerja sama di Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Sebagai menteri berpengalaman, kedua-dua Encik Gan dan Encik Heng akan "menyediakan sokongan yang stabil" dalam tempoh peralihan awal ini, dan akan menjadi mentor kepada rakan sekerja pemegang jawatan politik lebih muda.

Terdapat sejumlah menteri 4G yang "menjalankan tugas dengan baik", namun sesetengah daripada mereka mempunyai lebih banyak pengalaman dalam pemerintah, manakala yang lain "masih baru", kata Encik Wong ketika memberi menjawab mengenai anggapan orang ramai yang menjangkakan DPM daripada kepimpinan 4G.

"Saya fikir ia adalah persoalan mengimbangi antara kesinambungan, kestabilan dan pembaharuan," katanya.

Beliau menambah bahawa keutamaan Kabinet tersebut adalah untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membimbangkan rakyat Singapura, termasuk kos sara hidup dan pekerjaan.

“Kami sudah melancarkan beberapa inisiatif dalam belanjawan tahun ini. Kami akan terus melihat apa lagi yang boleh kami lakukan sepanjang baki penggal pemerintahan ini.”
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita