Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gambar Lee Kuan Yew pada kotak minuman peringatan Yeo's 'dilakukan penuh hormat': Alvin Tan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penggunaan gambar Perdana Menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew pada kotak minuman dilakukan penuh hormat, kata Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Alvin Tan pada Selasa (3 Okt).

Encik Tan menjawab soalan parlimen yang difailkan AP Poh Li San (PAP-Sembawang), yang bertanya sama ada penggunaan gambar Encik Lee pada kotak minuman keluaran sebuah syarikat tempatan, sempena memperingati Perdana Menteri pengasas Singapura itu, melanggar garis panduan yang ditetapkan berkait penggunaan nama dan gambar beliau.

Jika ia melanggar garis panduan tersebut, Cik Poh ingin tahu sama ada pihak berkuasa boleh mengarahkan agar pengedaran kotak minuman itu ditarik balik.

Pada Ogos, jenama makanan dan minuman tempatan Yeo's mengumumkan bahawa ia akan mengagihkan kotak minuman teh bunga kekwa edisi khas yang tertera gambar Encik Lee, sempena memperingati ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Teh Bunga Kekwa Yeo's LKY100 itu bertujuan memberi penghormatan kepada sumbangan Encik Lee yang merubah Singapura kepada sebuah bandar dalam taman, menurut Yeo's.

Di parlimen, Encik Tan berkata bahawa Yeo's sudah berunding dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) untuk memastikan kotak-kotak minuman itu selaras dengan garis panduan yang ditetapkan untuk menggunakan nama atau gambar Encik Lee.

Menurut garis panduan MCCY, nama, gambar atau sesuatu yang ada persamaan dengan mendiang Encik Lee tidak boleh digunakan oleh individu atau pertubuhan privet bagi tujuan komersial atau publisiti, atau untuk menunjukkan sebarang sokongan terhadap mana-mana produk atau perkhidmatan.

Kementerian tersebut juga menyatakan di lamannya, bahawa individu atau pertubuhan privet yang menggunakan nama atau gambar Encik Lee untuk mengaitkan dirinya dengan negara, tidak perlu meminta kelulusan "selagi mana ia selaras dengan undang-undang dan garis panduan".

"MCCY menilai bahawa penggunaan gambar Encik Lee pada kotak minuman tersebut adalah satu penghormatan kerana tujuannya adalah untuk menarik perhatian kepada sumbangan Encik Lee terhadap transformasi Singapura kepada sebuah bandar menghijau," kata Encik Tan.

"Yeo's juga menjelaskan bahawa kotak-kotak minuman peringatan itu tidak dijual, namun diagihkan secara percuma."

Ketua pengarah Yeo's Ong Yuh Hwang sebelum ini memaklumkan kepada The Straits Times bahawa syarikat itu sudah berunding dengan MCCY, untuk memastikan inisiatifnya selaras dengan garis panduan penggunaan nama dan gambar Encik Lee.

Dalam satu lagi soalan, Cik Poh menarik perhatian bahawa kotak minuman tersebut akan dibuang ke dalam tong sampah atau dibuang merata. Beliau bertanya bagaimana MCCY dapat memastikan "tiada perbuatan tidak hormat" berlaku terhadap Encik Lee jika kotak minuman atau produk komersial serupa dibenarkan.

Menjawab soalan itu, Encik Tan berkata orang awam dinasihatkan supaya membuang minuman tersebut dengan "cara yang sesuai dan bertanggungjawab".

Beliau menambah bahawa MCCY akan mempertimbangkan maklum balas orang awam pada masa akan datang.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan