Skip to main content

Singapura

Galeri Warisan Muzium Melayu di Balai Rakyat Kampong Ubi dibuka semula

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 11 May 2026 05:59PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 02:06PM
SINGAPURA: Galeri Warisan Muzium Melayu di Balai Rakyat Kampong Ubi dibuka semula pada Sabtu (9 Mei) selepas menjalani kerja-kerja pembaharuan selama tiga bulan.

Ia dirasmikan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, yang juga merupakan Penasihat Akar Umbi GRC Marine Parade–Braddell Heights, Dr Faishal Ibrahim.

Galeri Warisan Muzium Melayu itu rasmi dibuka semula kurang sebulan daripada pembukaan Taman Warisan Melayu (TWM) pada 25 April.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, yang juga merupakan Penasihat Akar Umbi GRC Marine Parade–Braddell Heights, Dr Faishal Ibrahim merasmikan pembukaan semula Galeri Warisan Muzium Melayu di Balai Rakyat Kampong Ubi pada Sabtu (8 Mei). (Gambar: Balai Rakyat Kampong Ubi)
Ditanya bagaimana peranan Galeri Warisan Muzium Melayu lantas melengkapi TWM, Dr Faishal berkata: "Usaha ini selaras dengan apa yang kita nak lakarkan di Singapura, di mana membangunkan warisan Melayu, Cina, India di mana di beberapa peringkat. Kalau kita lihat TWM itu, (ia) di peringkat nasional dan (Galeri Warisan Muzium Melayu ini) di peringkat akar umbi dan juga di tempat yang bersejarah di Singapura. Saya gembira kerana dengan kepelbagaian ini ia memberikan ruang pendekatan yang holistik kepada masyarakat Singapura."
30 SUKARELAWAN BERGOTONG-ROYONG LESTARIKAN WARISAN MELAYU SINGAPURA

Menariknya, usaha pemeliharaan semula galeri warisan itu yang bertapak di situ sejak 1993, digerakkan sepenuhnya melalui inisiatif akar umbi.

Sekitar 30 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang — termasuk bukan Melayu — berganding bahu menyuntik nafas baharu dalam ruang galeri yang sarat dengan nilai sejarah itu.

Usaha tersebut dipimpin oleh Muhd Nazree Nasrul, seorang pemimpin belia yang mewakili Sanggar Seni Muda, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan seni tradisional Melayu termasuk muzik dan tarian.
Related article image
Usaha pemeliharaan semula galeri warisan itu dipimpin oleh Muhd Nazree Nazrul, seorang pemimpin belia yang mewakili Sanggar Seni Muda, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan seni tradisional Melayu termasuk muzik dan tarian. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ia adalah sebahagian daripada inisiatif akar umbi “Project Gotong Royong: Reviving Our Museum”, yang mengajak masyarakat untuk memulihkan muzium melalui kerja-kerja pembersihan, penyusunan dan penyediaan ruang pameran yang menempatkan pelbagai artifak warisan.

Usaha tersebut turut mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kampong Kembangan.

"Harapan saya terutama kepada masyarakat Melayu adalah supaya dapat melihat budaya Melayu itu masih terus kekal di Singapura ini dan sama sama kita menyemarakkan lagi melestarikan budaya Melayu kita," kata Encik Nazree.

Dr Faishal bahkan, turut menyambut baik penglibatan golongan belia dalam usaha tersebut dan menekankan peri pentingnya untuk menyokong peranan mereka dalam melestarikan warisan Melayu.

"Ini amat penting dan bermakna kerana ia juga dilakarkan oleh golongan belia kita dan saya rasa gembira kerana mereka minat dan juga mahu mendukung tanggungjawab ini dan memberikan satu ruang bagi semua rakyat kita untuk menikmati warisan Melayu di daerah Kampung Ubi, Geylang Serai dan juga lebih-lebih lagi ia adalah tempat yang bersejarah," tekan Dr Faishal.

"DULU, KINI & SELAMANYA": GALERI WARISAN MUZIUM MELAYU RAIKAN BARANGAN SEHARIAN MASYARAKAT MELAYU DULU & SEKARANG

Keunikan Galeri Warisan Muzium Melayu itu, menurut Encik Nazree, terletak pada pameran artifak masyarakat Melayu setempat dahulu dan kini, yang merangkumi barangan kegunaan harian.

Antara yang dipamerkan termasuk lampu karbida yang pernah digunakan oleh masyarakat Melayu dahulu sebagai sumber cahaya, serta pelbagai senjata tradisional Melayu seperti keris.

"Moto kita bagi galeri ini ialah "Dulu, kini dan selamanya". Maksudnya, artifak yang kita gunakan ialah artifak-artifak yang kita gunakan seharian dari sejak zaman datuk nenek kita sehingga sekarang," jelas Encik Nazree kepada wartawan Syazwani Sanep.
Related article image
Para pengunjung Galeri Warisan Muzium Melayu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Medicorp)

Encik Nazree turut menekankan kepentingan memelihara dan menghargai artifak tersebut sebagai lambang budaya dan kesenian Melayu.

"Barang-barang artifak yang kita tunjukkan tak seharusnya kita tolak tepi sebab barang-barang ini ialah budaya kita, kesenian kita ... (Ia) menunjukkan kecerdasan orang kita, nenek moyang kita," katanya.

Galeri itu pernah menjadi tumpuan masyarakat setempat pada awal 1990-an, sekali gus menjadikan usaha menghidupkannya semula sebagai satu tanggungjawab besar.

Ruang tersebut bahkan, pernah menerima sumbangan daripada beberapa mantan pemimpin masyarakat, termasuk mantan Anggota Parlimen GRC Aljunied Wan Hussin Zoohri, dan mantan AP GRC Marina Parade, Mohamd Maidin Packer Mohamad.

Dalam pada itu, Encik Nazree berharap galeri berkenaan dapat terus mengajak pengunjung menghayati serta menyemarakkan warisan budaya Melayu.

Malah, terdapat perancangan untuk menganjurkan program kebudayaan, khususnya bagi pelajar tempatan, agar mereka dapat mendekati dan menghargai pameran warisan tersebut.

Orang ramai boleh mengunjungi Galeri Warisan Muzium Melayu secara percuma.

Ia dibuka setiap hari dari 11.00 pagi hingga 9.00 malam.

Para pengunjung perlu membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi Balai Rakyat Kampong Ubi atau melalui laman Instagram rasmi galeri itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita