Skip to main content

Singapura

Galeri Warisan Masjid Omar Kampong Melaka dijangka siap Oktober 2027

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar $200,000 diperlukan bagi membiayai projek baharu Masjid Omar Kampong Melaka untuk membina sebuah Galeri Warisan.

$30,000 daripadanya disasarkan untuk dikumpul menerusi majlis Makan Malam meraikan ulang tahun Masjid Omar Kampong Melaka yang ke-205 pada Sabtu (25 Okt).

Galeri Warisan masjid itu akan memaparkan sejarah kayanya dan boleh dimanfaatkan generasi akan datang.

Dalam ucapan tetamu kehormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim turut meluahkan rasa kagum beliau terhadap usaha masjid itu.

"Saya amat berbesar hati dan kagum melihat usaha gigih Masjid Omar
Kampong Melaka untuk menjayakan Galeri Warisan, satu usaha yang sangat
bermakna dan berwawasan," kata beliau.
Dr Faishal Ibrahim meluahkan rasa kagum beliau terhadap usaha Masjid Omar Kampong Melaka. (Gambar: Masjid Omar Kampong Melaka)
"Projek ini bukan sekadar mengekalkan dan memelihara artifak bersejarah tetapi juga memperkenalkan jati diri masyarakat Islam Singapura yang unik kepada generasi akan datang dengan cara yang menarik dan berkesan. Saya yakin galeri yang istimewa ini akan menjadi sebuah institusi untuk golongan muda mengenal warisan kita, menyumbang tenaga dan idea baharu serta meneruskan perjuangan mulia generasi lama," tambahnya lagi.

Masjid yang terletak di sekitar kawasan Havelock Road itu merupakan antara masjid tertua di Singapura dan dibina pada 1820 oleh keluarga Syed Omar Ali Aljunied.

Ahli Parlimen bagi kawasan itu iaitu GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah turut menekankan pentingnya usaha itu untuk menghargai sejarah itu.

"Dengan adanya sejarah yang penting ini, kita dapat memberi anak muda kita sedikit cerminan tentang budaya kita, tentang bagaimana adat kita yang berterusan dengan adanya nilai yang kita ada," kata Dr Wan Rizal.

Galeri Warisan dijangka akan mula dibina pada Ogos 2026.

Ia akan mengambil masa kira-kira setahun dan dijangka siap pada Oktober 2027.

Pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka, Ustaz Dr Muhammad Yusri Yubhi juga memberi jaminan bahawa struktur asal masjid itu akan dipelihara dan tidak terjejas dengan projek pembangunan galeri tersebut.
Ustaz Dr Muhammad Yusri Yubhi memberi jaminan bahawa struktur asal masjid itu akan dipelihara. (Gambar: Masjid Omar Kampong Melaka)
"Pemuliharaan masjid memerlukan keseimbangan antara pembaharuan dan penjagaan seni bina asalnya. Segala kerja dilakukan dengan penuh teliti agar tidak menjejaskan semangat dan struktur asal masjid," kata Ustaz Yusri.

Beliau turut menghargai sumbangan masyarakat setakat ini dan berharap lebih ramai lagi boleh tampil untuk menyumbang bagi mencapai jumlah yang diperlukan.

"Kita amat hargai sokongan masyarakat, namun masih perlukan bantuan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.

"Majlis makan malam ini bukan hanya untuk meraikan ulang tahun ke-205 tetapi juga menggalakkan kesedaran dan penglibatan dalam usaha memelihara serta memakmurkan masjid ini," tambahnya lagi.

PENGHARGAAN UNTUK BEKAS PENGERUSI MASJID

Acara yang berlangsung di Hotel Furama Riverfront pada Sabtu (25 Okt) turut menyaksikan penerimaan Anugerah Jasa Abadi oleh bekas Pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka, Abu Bakar Abdul Rahman.
Bekas Pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka, Abu Bakar Abdul Rahman (tengah), dianugerahkan Anugerah Jasa Abadi bagi sumbangannya kepada Masjid Omar Kampong Melaka. (Gambar: Masjid Omar Kampong Melaka)
"Sesiapa sahaja yang ingin berkhidmat di masjid, hati dan sanubari mereka mesti berada di masjid. Setiap kerja yang kita lakukan, kita tidak perlu berkira," kata Encik Abu Bakar.

Sumbangan dan legasi pelopor masjid itu turut dirakam dan dipaparkan dalam 'Papan Maklumat Maqam Keluarga Aljunied' yang dilancarkan masjid itu pada Mac lalu.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita