Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Galeri Warisan Masjid Angullia papar sumbangan wakif perintis

Anggaran Waktu Membaca:
Galeri Warisan Masjid Angullia papar sumbangan wakif perintis
Masjid Angullia. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)
SINGAPURA: Sebuah galeri yang berkongsi kisah di sebalik pembinaan dan sumbangan Masjid Angullia dibuka hari ini (24 Ogos).

Galeri Warisan masjid berusia 134 tahun itu dirasmikan Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Encik Alvin Tan.

Penubuhan galeri warisan di Masjid Angullia penting, dalam melestarikan sumbangan wakif perintis demi memberi inspirasi kepada generasi masa depan agar turut menyumbang kepada masyarakat.

Dalam ucapannya, Encik Tan mengingatkan bagaimana peranan masjid yang banyak menyumbang dan bekerjasama dengan masyarakat sekeliling, kekal relevan,

Beliau juga berkata masjid seperti Masjid Angullia yang dikunjungi ramai pekerja hijrahan dapat sama-sama memainkan peranan menentang pengaruh dan fahaman pelampau yang dibawa para pendakwah luar yang boleh menggugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

RAKAM SEJARAH MASJID YANG BERUSIA 134 TAHUN

Masjid Angullia dibina di atas tanah yang diwakafkan peniaga yang dermawan, Allahyarham Mohammed Salleh Eusoof Angullia atau lebih dikenali sebagai MSE Angullia.

Masjid itu dibangunkan antara 1890 dengan 1898.

MSE Angullia mewasiatkan sebahagian hartanya bagi tujuan amal dengan penubuhan Wakaf MSE Angullia pada 1898, sebelum beliau meninggal dunia pada 1904.

Ia kini menjadi mercu tanda ikonik Serangoon Road.

Galeri warisan itu yang dibahagikan kepada lima bahagian.

"Kebanyakan orang ramai mengetahui Masjid Anguilla di Serangoon Road ini sebagai satu masjid wakaf. Tetapi di sebalik masjid ni ada sejarah dia. Siapa yang menubuhkan dia? Siapa yang mewakafkan tanah ini untuk masjid. Dan sejarahnya juga berkaitan dengan Jalan Anguilla Park Road di Orchard Road. Sebenarnya dulu memang ada wujud Masjid Angullia Park di situ. Jadi kalau orang ramai kunjung di galeri ni mereka boleh lebih tahulah tentang sejarah masjid ini dan keluarga Angullia," jelas Haji Gamal S Angullia, Pengerusi Lembaga Pengarah Masjid Angullia.

Ia juga merakamkan sumbangan masyarakat Islam Singapura dalam menjayakan projek naik taraf masjid itu.

"Kenangan yang istimewa sekali bila kita buat pengumuman yang kita hendak bina balik masjid ini, masyarakat datang tolong kita. Pasukan saya dengan saya dapat kumpulkan S$1.5 juta dalam setahun. Begitu hebat sekali! Kita teruskan perjuangan kita untuk bina masjid yang ternama, yang terlawa sekali, yang terunggul sekali. Kerana cabaran besar di Serangoon Road - sebelah kita ada kuil-kuil. Macam mana kita mahu bezakan masjid dengan kuil?," kongsi peniaga pelancongan yang pernah menjadi pengerusi masjid itu sejak tahun 1992, dan kini menjadi Anggota Lembaga Pengarahnya, Haji Ayoob Angullia.

Antara yang hadir di acara perasmian itu ialah bekas penduduk Kampung Rotan yang terletak bersebelahan Masjid Angullia, Encik Kassim Mohd Razak, 70 tahun.

"Saya ingat dahulu pada tahun 1970-an, di sebelah masjid ada sebuah rumah pak awang, rumah yang dihuni ramai. Rumah itu terbakar! Saya pun membawa hos air dari masjid dan siram! Jadi selamat semua orang. Api tidak merebak sangat," kenang Encik Kassim.

Hingga ke hari ini, Wakaf MSE Angullia terus menyumbangkan kepada perubahan positif lanskap masyarakat Singapura seperti geran pendidikan dan kebajikan masyarakat, termasuk para pekerja hijrahan.

"Kami harap dengan kewujudan galeri warisan ini, lebih ramai orang akan lebih tahu tentang sejarah masjid ini, sejarah keluarga Angullia yang banyak mewakafkan harta terhadap pembangunan masjid, masjid-masjid wakaf dan sebagainya. Dan kami harap lebih ramai orang akan menyumbang kepada dana wakaf seperti yang diwujudkan oleh MUIS," ujar pengerusi masjid, Haji Gamal.

Galeri Warisan Masjid Angullia terletak di lantai satu, bersebelahan dewan solat utama.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan