Galeri Warisan Geylang Serai lancar program rintis inkubator, galak orang ramai teroka warisan kejiranan
Galeri Warisan Geylang Serai (GSHG) melancarkan sebuah program rintis inkubator bagi membolehkan para penggiat warisan memperkukuh amalan mereka dan mendekati khalayak ramai menerusi kisah, masyarakat dan warisan yang membentuk Geylang Serai.
Galeri Warisan Geylang Serai (GSHG) akan mengetengahkan pelbagai acara bagi membolehkan orang ramai mendalami warisan yang membentuk Geylang Serai. (Gambar: GSHG)
Diterajui inisiatif akar umbi warisan makanan Melayu, Sendok Rakyat, dengan sokongan Wisma Geylang Serai (WGS), program tersebut menghimpunkan para penggiat daripada pelbagai bidang warisan budaya, termasuk makanan dan pertukangan tradisional.
Inisiatif tersebut bertujuan mencetuskan minat serta hubungan baharu dengan kawasan kejiranan itu, di samping menyediakan platform baharu kepada orang ramai untuk meneroka dan mendokumentasikan warisan Geylang Serai.
SENARAI PROGRAM
Program rintis itu akan bermula pada 18 Julai ini menerusi 'Geylang Serai Cooking Club with Sendok Rakyat', di mana peserta akan menyediakan hidangan Asam Pedas sambil meneroka tradisi memasak secara bergotong-royong.
Pada masa yang sama, peserta juga akan dapat menelusuri kenangan berkaitan hidangan tersebut sepanjang proses memasak.
Lebih banyak program akan turut dianjurkan sepanjang enam bulan akan datang, dengan setiap satu menampilkan pendekatan berbeza dalam meneroka warisan Geylang Serai.
Antaranya termasuk 'Rakyat Archive: Scent Storytelling with Aroma Nostalgia', yang mengajak peserta meneroka bagaimana aroma yang terdapat di Pasar Geylang Serai menghubungkan masyarakat dengan kawasan kejiranan tersebut.
Satu lagi program, yang dianjurkan bersama SayurStory, akan menyaksikan peserta mengumpulkan bahan-bahan bermusim dari Pasar Geylang Serai sebelum menyediakan juadah secara 'potluck' untuk dikongsi bersama.
Barisan program yang diaturkan turut merangkumi bengkel ilustrasi bersama artis HAFI, di mana peserta akan mentafsir semula gambar-gambar lama keluarga sambil meneliti bagaimana kenangan dan emosi saling berkait.
Seorang lagi artis, Bani Haykal, pula akan memimpin sesi 'soundwalk' di sekitar Geylang Serai bagi membolehkan peserta memahami bagaimana bunyi boleh dimuatkan ke dalam arkib, selain mengajar mereka merakam landskap bunyi unik kawasan kejiranan tersebut.
Program-program lain termasuk sesi mengenai kuih-muih serta cemil-cemilan Melayu yang digoreng dan tradisi makanan harian, bengkel memasak secara bergotong-royong yang meneroka aspek jaminan bekalan makanan serta sokongan kepada keluarga yang mempunyai sumber terhad, selain perbincangan mengenai sejarah perabot Melayu bersama Studio Kallang.
Senarai program akan diumumkan secara berperingkat. Pas Budaya SG juga boleh digunakan bagi semua program tersebut.
Butiran pendaftaran dan penebusan akan disediakan menerusi senarai program masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.