Skip to main content

Singapura

Galeri Warisan dirasmikan esok sempena bulan Raikan Ilmu buat pertama kali

Bulan Raikan Ilmu pertama anjuran Yayasan MENDAKI akan dirasmikan Presiden Halimah Yacob esok (5 Okt) dan menjanjikan pelbagai acara bagi segenap lapisan usia dengan tujuan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Oct 2019 08:48PM Dikemas Kini : 04 Oct 2019 10:22PM

SINGAPURA: Bulan Raikan Ilmu pertama anjuran Yayasan MENDAKI akan dirasmikan Presiden Halimah Yacob esok (5 Okt) dan menjanjikan pelbagai acara bagi segenap lapisan usia dengan tujuan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Presiden Halimah juga bakal melancarkan Galeri Warisan esok, yang merakam perjalanan masyarakat Melayu/Islam dalam mengejar ilmu.

GALERI WARISAN SUSURI PERJALANAN ILMU

Galeri Warisan Yayasan MENDAKI menyusuri susur galur perjalanan masyarakat Melayu/Islam menimba ilmu sejak zaman penjajahan hingga ke hari ini.

Perjalanan ilmu itu juga bermula dari sekolah pondok hingga pelbagai trend format baru kini bagi menimba ilmu sains, teknologi dan lain-lain lagi.

Related article image

Galeri warisan itu juga mempamerkan kegigihan dan ikhtiar masyarakat Melayu/Islam untuk mengejar kemajuan dan bagaimana ia menyesuaikan diri dengan landskap pendidikan yang berubah-ubah bagi mengecap kecemerlangan dalam membina masyarakat Melayu/Islam progresif.

Related article image

CEO MENDAKI, Cik Rahayu Buang berkata: "Ini juga menunjukkan bahawa masyarakat Melayu/Islam kita memang inginkan kemajuan dan menunjukkan kemajuan. Dengan mengenali perjalanan menimba ilmu dari zaman di kampung dulu hingga sekarang, menunjukkan berterusan perjalanannya ke menara gading, ke peringkat yang lebih tinggi lagi."

DAPAT DIJADIKAN INSPIRASI

Sekumpulan pelajar yang dilantik sebagai Rakan Bahasa juga bakal memainkan peranan sebagai docent sempena perasmian Galeri Warisan.

Salah seorang daripada mereka ialah pelajar menengah dua di Sekolah Perempuan Raffles, Iman Nabilah Yasmeen Yunus.

"Ini merupakan cara untuk kita meraih ilmu bagaimana ada orang-orang Melayu kita yang sebenarnya amat berjaya dan ini memberikan kita inspirasi untuk berjaya juga kerana ia merupakan sesuatu yang dapat dilakukan," ujar Nabilah.

KEGIATAN MEMBACA & PESTA PEMBELAJARAN

Seramai 1,000 peserta juga dijangka menyertai acara 'Reading @ the Gardens' atau Membaca di Taman serta pelbagai kegiatan menarik di Taman di Pesisiran Ahad ini.

Related article image

(Gambar: MENDAKI Singapore/ Facebook)

Cik Rahayu berkongsi: "Kita adakan sesi fotografi, peraduan fotografi di mana kita boleh melihat bunga-bunga dan pokok-pokok yang ada di sana. Kedua juga ada kelas-kelas menunjukkan bagaimana kita boleh menggunakan ulam-ulam atau tumbuhan untuk menjadikan dapur kita satu farmasi."

Bulan Raikan Ilmu dijayakan, buat pertama kali, dengan kerjasama lebih 50 rakan kerja di serata Singapura. Kemuncaknya Pesta Pembelajaran pada 2 dan 3 November di Hab Tampines Kita.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita