Galeri Sejarah Singapura di Muzium Negara dibuka semula pada 10 Okt
Galeri Sejarah Singapura di Muzium Negara Singapura akan dibuka semula pada 10 Oktober selepas menjalani kerja-kerja naik taraf menyeluruh, yang pertama sejak ia dibuka pada 2006.
Galeri Sejarah Singapura di Muzium Negara yang dinaik taraf akan dibuka semula pada 10 Oktober 2026. (Gambar: Muzium Negara Singapura)
Galeri itu membawa pengunjung menyusuri lebih 700 tahun sejarah Singapura, bermula daripada kedudukannya dalam Alam Melayu pada abad ke-14 hingga zaman penjajahan British, Pendudukan Jepun, kemerdekaan dan masa kini.
Penyelidikan baharu, artifak, kisah peribadi serta elemen-elemen interaktif turut diperkenalkan, dengan tumpuan lebih besar terhadap perkembangan identiti berbilang budaya Singapura.
Bahagian mengenai tempoh selepas perang turut diperluaskan, termasuk kandungan baharu mengenai perkembangan sejak 1980-an dan bagaimana ia membentuk Singapura serta identitinya hari ini.
PIANO ZUBIR SAID, HIKAYAT ABDULLAH ANTARA ARTIFAK
Antara artifak yang dipamerkan ialah piano yang digunakan Zubir Said untuk menggubah lagu kebangsaan 'Majulah Singapura'.
Sebuah lif HDB dari tahun 1970-an yang dibaik pulih turut digunakan untuk mengetengahkan peralihan kehidupan masyarakat daripada kampung kepada perumahan awam.
Pengunjung juga dapat melihat mesin tradisional bagi memanggang kopi Nanyang serta rakaman selang masa oleh jurugambar Keith Loutit yang merakam perubahan landskap Singapura selama hampir 15 tahun.
Lawatan ke galeri bermula dengan Singapore Odyssea: A Journey Through Time, pengalaman berbilang media yang dibuka pada 2025 dan memperkenalkan detik-detik penting serta mitos dalam sejarah Singapura.
MASUK PERCUMA DARI 10 HINGGA 12 OKT
Pembukaan semula galeri itu bertepatan dengan ulang tahun ke-139 Muzium Negara Singapura.
Sempena sambutan itu, muzium akan mengadakan kegiatan-kegiatan bertajuk Stories of Everyday dari 10 hingga 18 Oktober, termasuk instalasi seni, persembahan secara langsung dan bengkel.
Tiada bayaran masuk bagi semua pengunjung Galeri Sejarah Singapura dari 10 hingga 12 Oktober.
Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) dibenarkan masuk secara percuma selepas tempoh tersebut.
Galeri-galeri di Aras 2 pula dijadualkan dibuka semula pada awal 2027, sekali gus melengkapkan kerja-kerja naik taraf secara bertahap-tahap menjelang ulang tahun ke-140 muzium itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.