Gala MESRA Berzapin pikat minat generasi masa kini
Keunikan dan keindahan tarian tradisional Melayu zapin ditampilkan kepada orang ramai dalam satu persembahan budaya di pentas Hab Tampines Kita (OTH) pada Sabtu (15 Feb).
(Gambar: PA MESRA)
SINGAPURA: Keunikan dan keindahan tarian tradisional Melayu zapin ditampilkan kepada orang ramai dalam satu persembahan budaya di pentas Hab Tampines Kita (OTH) pada Sabtu (15 Feb).
Persembahan gala MESRA Berzapin anjuran Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Tampines Central bertujuan mengajak orang ramai menghayati keindahan tarian zapin serta meningkatkan penghargaan terhadap seni tarian itu dalam kalangan golongan muda.
Ia juga merupakan acara kemuncak Siri Budaya MESRA Berzapin yang dilancarkan pada 2 Nov lalu. Ia termasuk sebuah bengkel tarian dan pertandingan joget zapin yang berjaya menarik lebih 600 peserta, sebilangan besarnya golongan belia.
Buat julung-julung kalinya, acara kemuncak itu turut menampilkan jalinan kerjasama antara PA MESRA dengan barisan pakar seni tarian zapin dari Yayasan Warisan Johor.
Acara diserikan dengan kehadiran Setiausaha Parlimen Kanan dan penasihat PA MESRA, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim serta Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Baey Yam Keng.
Selama 90 minit, para hadirin dihiburkan dengan gerak tari yang lembut lagi mengasyikkan melalui persembahan daripada lapan kumpulan tarian tempatan termasuk Sriwana dan kumpulan-kumpulan tarian kelab masyarakat selain daripada Yayasan Warisan Johor.
Sejarah dan asal usul tarian zapin termasuk pengaruh budaya dan kawasan geografi digambarkan menerusi gerak tari dan irama yang berbeza.
Setiap persembahan diiringi irama muzik secara langsung daripada alat-alat muzik tradisional seperti gambus, akordion, rebana dan marwas oleh kugiran SG Oudist dan Yayasan Warisan Johor.
Sebagai penutup acara, sebuah lagu berjudul 'MESRA Bersamamu' diperdengarkan kepada orang ramai dan dipersembahkan oleh sekumpulan sukarelawan PA MESRA.
Seni kata lagu digubah Naib Pengerusi PA MESRA, Cik Rizayati Begai Malawad dan lagunya dikarang oleh anggota PA MESRA, Encik Hanafi Idrus bersama Encik Megat Firdaus daripada Orkestra Sri Temasek.
Satu inisiatif menghasilkan bunga reben juga dilancarkan bagi menunjukkan penghargaan kepada kakitangan perubatan dan para pegawai yang bertugas di barisan hadapan di tengah-tengah situasi virus COVID-19.
Sebanyak 1,000 bunga reben disasarkan siap menjelang 21 hari bulan ini untuk diagihkan kepada para pegawai barisan hadapan dan kakitangan perubatan di merata Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.