Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji tertunggak 5 pekerja tunjuk perasaan di Ang Mo Kio sudah dilunaskan, jelas MOM

Anggaran Waktu Membaca:
Gaji tertunggak 5 pekerja tunjuk perasaan di Ang Mo Kio sudah dilunaskan, jelas MOM

Lima pekerja yang mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan di 5 Ang Mo Kio Street 62 pada 18 Okt 2022. (Gambar: singapore_incidents/Instagram)

SINGAPURA: Lima pekerja yang mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan di Ang Mo Kio minggu ini, menuntut agar gaji mereka dibayar.

Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (21 Okt).

Bayaran gaji mereka sudah dilunaskan dengan penuh oleh majikan para pekerja itu, Zhengda Corporation, lapor MOM dalam satu catatan di Facebook.

MOM dan Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) sudahpun membantu 10 pekerja hijrahan dari Zhengda Corporation, yang terlibat dalam insiden itu pada 18 Oktober. Laporan sebelum ini menyatakan sembilan pekerja terlibat, tetapi sebaliknya, angka itu sudah disemak semula.

"Kami mendapati bahawa lima daripada 10 pekerja tidak dibayar gaji. Kami sudah memberi bantuan kepada kesemua lima pekerja dengan tuntutan gaji mereka, dan Zhengda Corporation sudahpun melunaskan bayaran tersebut dengan penuh," jelas MOM.

"Kami juga sudah mengesahkan bahawa lima pekerja yang lain serta tenaga kerja Zhengda Corporation selebihnya, tidak dihutang sebarang pembayaran gaji dan tidak melaporkan sebarang kebimbangan kesejahteraan setakat ini."

Sementara itu, MOM turut mendapati Shanghai Chong Kee masih belum membayar gaji para pekerja hijrahan, sambil menambah bahawa kementerian itu dan TADM sedang memberi bantuan kepada para pekerja itu.

Kedua-dua syarikat Shanghai Chong Kee dan Zhengda Corporation sedang disiasat bagi sebarang kesalahan di bawah Akta Pekerjaan.

Pada Selasa (18 Okt), pekerja-pekerja itu menyekat laluan keluar masuk bangunan di 5 Ang Mo Kio Street 62, sambil memegang sepanduk dengan nama syarikat Shanghai Chong Kee dalam bahasa Mandarin dan menuntut agar gaji mereka dibayar.

Pada Rabu (19 Okt), pengarah keselamatan syarikat itu berkata tunjuk perasaan itu adalah pertikaian bayaran antara syarikatnya dengan subkontraktor Zhengda Corporation.

Enam daripada pekerja-pekerja itu, diambil untuk berkhidmat oleh Shanghai Chong Kee bagi projek ubah elok di tapak Ang Mo Kio itu.

Menurut Zhengda Corportion, Shanghai Chong Kee tidak membayar gaji berminggu-minggu lamanya. Shanghai Chong Kee bagaimanapun sudah menghulurkan dua cek, jelas pengarah projek Zhengda Corportaion pada Rabu.

MOM menekankan bahawa kesejahteraan tenaga kerja Singapura, termasuk pekerja hijrahan, sentiasa menjadi keutamaan kementerian itu.

"MOM dan TADM akan terus membantu para pekerja yang berdepan dengan isu gaji dan memberi bantuan untuk mendapatkan gaji mereka," jelas kementerian itu.

Dalam perkembangan yang sama, MOM sedang bekerjasama dengan Pusat Pekerja Hijrahan dan Kesatuan Pekerja Pembinaan Bangunan dan Industri Pembalakan untuk membantu berhubung kesejahteraan pekerja.

Para pekerja hijrahan yang memerlukan bantuan berhubung isu gaji boleh menghubungi MOM di talian 6438 5122 atau TADM menerusi laman ini.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan