Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji sebenar di SG naik 0.4% pada 2022; inflasi 'jejas ketara' rentak pertumbuhan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 May 2023 01:50PM Dikemas Kini : 29 May 2023 10:05PM
SINGAPURA: Gaji sebenar di Singapura tumbuh 0.4 peratus pada 2022, lebih rendah berbanding kenaikan 1.6 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (29 Mei).

Rentak pertumbuhan gaji sebenar tahun lalu "terjejas dengan ketara" oleh inflasi. Kadar inflasi pada 2022 adalah 6.6 peratus, lebih tinggi berbanding 2.3 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Jumlah gaji nominal - termasuk caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) oleh majikan - bagi rakyat dan penduduk tetap Singapura yang bekerja sepenuh masa bersama majikan yang sama untuk sekurang-kurangnya satu tahun, naik 6.5 peratus tahun lalu.

Jumlah gaji nominal tidak mengambil kira inflasi. Kenaikan 6.5 peratus pada 2022 "ketara lebih tinggi" daripada 3.9 peratus yang dicatatkan pada 2021 dan ia merupakan yang tertinggi dalam sedekad.

"Ini mencerminkan usaha syarikat-syarikat untuk memulihkan pendapatan sebilangan pekerja yang mengalami potongan gaji ketika tempoh pandemik serta memberikan kenaikan gaji lebih tinggi kepada pekerja lain untuk mengekalkan kakitangan di tengah-tengah persaingan bagi pengambilan pekerja," menurut MOM.

LEBIH BANYAK SYARIKAT MERAIH UNTUNG

Hampir 75 peratus syarikat di Singapura menaikkan gaji pekerja sedang kegiatan perniagaan kembali rancak tahun lalu.

Jumlah syarikat yang meraih keuntungan meningkat buat tahun kedua berturut-turut kepada 83.9 peratus pada 2022. Jumlah syarikat yang memberikan kenaikan gaji meningkat dari 60 peratus pada 2021 kepada 72.2 peratus pada 2022.

Bilangan tersebut lebih tinggi sedikit berbanding tahap sebelum pandemik pada 2019, iaitu pada 69.2 peratus, menurut MOM.

Dalam kalangan syarikat yang memberikan kenaikan gaji, jumlah kenaikan pada 2022 lebih besar daripada 2021.

Syarikat yang memotong gaji pekerja kekal sebagai minoriti pada 5.2 peratus, menurut MOM. Dalam kalangan syarikat itu, jumlah potongan gaji juga lebih kecil pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.

Baki 22.6 peratus syarikat tidak menaikkan atau memotong gaji pekerja mereka.

PERTUMBUHAN GAJI LEBIH TINGGI DI SEMUA INDUSTRI

Tahun lalu, semua industri menyaksikan pertumbuhan gaji lebih tinggi berbanding pada 2021, namun jumlah kenaikan itu berbeza-beza.

Sektor-sektor penginapan dan perdagangan runcit masing-masing mencatat kenaikan gaji mengatasi purata pada 9.7 peratus dan 6.7 peratus.

Sektor-sektor khidmat kewangan, maklumat dan penerangan serta perkhidmatan profesional kekal mencatatkan kenaikan gaji yang kukuh pada 2022, di samping permintaan tenaga kerja yang berterusan dalam industri tersebut.

Menurut MOM, syarikat-syariakt dalan sektor-sektor pengilangan dan perdagangan borong juga menaikkan gaji para pekerja, namun pada kadar lebih rendah akibat gangguan rantaian bekalan sejagat serta kegiatan terkait perdagangan yang hambar.

PERTUMBUHAN GAJI KESELURUHAN MENYEDERHANA PADA 2023

"Memandangkan kelembapan ekonomi sedunia dan persekitaran perniagaan yang semakin tidak menentu, syarikat-syarikat berkemungkinan mengambil pendekatan lebih berjaga-jaga berhubung kenaikan gaji," nyata MOM.

"Oleh itu, pertumbuhan gaji keseluruhan dijangkakan menyederhana pada 2023. "

Namun, lebih banyak syarikat menyatakan hasrat untuk menaikkan gaji pekerja masing-masing pada Mac 2023 berbanding Disember 2022, tambah MOM.

Dapatan itu berdasarkan tinjauan terkini mengenai jangkaan terhadap gaji yang dijalankan pada suku pertama tahun ini.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan