Gaji sebahagian pegawai awam disesuaikan supaya 'sejajar dengan pasaran': PSD
Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) mengumumkan pada Ahad (5 Jun) ia akan menyesuaikan gaji para pegawai dalam pelbagai skim Perkhidmatan Awam dan skim-skim berkaitan berkuat kuasa 1 Ogos ini.
SINGAPURA: Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) mengumumkan pada Ahad (5 Jun) ia akan menyesuaikan gaji para pegawai dalam pelbagai skim Perkhidmatan Awam dan skim-skim berkaitan berkuat kuasa 1 Ogos ini.
"Penyesuaian ini membolehkan Perkhidmatan Awam untuk terus memikat dan mengekalkan bakat-bakat yang ada," menurut PSD.
Sekitar 23,000 pegawai daripada pelbagai skim akan meraih manfaat daripada penyesuaian gaji itu.
Para pegawai dalam Skim Eksekutif Pengurusan (MXS), Skim Sokongan Pengurusan (MSS) dan Skim Sokongan Korporat (CSS) akan mendapat penyesuaian gaji antara lima peratus dengan 10 peratus, menurut PSD, dengan penyesuaian lebih tinggi diberikan bagi gred dengan jurang lebih besar dengan penanda aras pasaran.
Mereka yang berada di bawah Skim Sokongan Operasi (OSS) akan menerima penyesuaian lebih tinggi antara enam hingga 14 peratus.
"Ini sejajar dengan seruan oleh Kumpulan Kerja Perikatan Tiga Pihak bagi Pekerja Bergaji Rendah untuk menaikkan gaji pekerja-pekerja bergaji rendah," menurut PSD.
Dalam menjelaskan penyesuaian itu, PSD menyatakan perkhidmatan awam secara berkala menyemak gaji para pekerja dan membuat penyesuaian "apabila perlu untuk memastikan ia sejajar, namun tidak menentukan pasaran".
Kali terakhir semakan ke atas pelbagai skim Perkhidmatan Awam dibuat adalah pada 2014, dan sejak itu, paras gaji dalam pasaran sudah meningkat, menurut PSD.
"Pandemik menggariskan pentingnya sebuah Perkhidmatan Awam yang kukuh. Perkhidmatan Awam komited untuk memikat, membangunkan dan mengekalkan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan yang dapat terus melakukan yang terbaik untuk Singapura dan rakyat Singapura," menurut PSD.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.