Skip to main content

Singapura

Gaji rendah, jangkaan meleset: Pelajar SG jauhi bidang kejuruteraan

Anggaran Waktu Membaca:
Gaji rendah, jangkaan meleset: Pelajar SG jauhi bidang kejuruteraan

Lebih ramai lulusan kejuruteraan memilih untuk menceburi kerjaya berbeza. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Semasa kecil, Mark membina model kapal terbang menggunakan gulungan kadbod daripada tisu dapur. Dia membaca buku tentang pesawat dan bercita-cita untuk menjadi juruterbang. Jadi, apabila tiba masanya untuk memilih ijazah, kejuruteraan aeroangkasa adalah pilihan yang jelas.

Kini berusia 24 tahun dan di tahun akhir di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Mark – yang meminta untuk tidak didedahkan identitinya – sedang mencari jalan keluar.

"Bagi saya, secara terus terang, perkara nombor satu, dan sebenarnya satu-satunya perkara yang terlintas di fikiran adalah gaji permulaan," katanya.

Mark bukan satu-satunya yang mempertimbangkan untuk meninggalkan bidang kejuruteraan tradisional demi prospek laluan kerjaya dengan bayaran yang lebih baik.

Pakar industri memberitahu Mediacorp bahawa bidang kejuruteraan tradisional – yang merangkumi kejuruteraan aeroangkasa, awam, mekanikal, elektrik dan kimia – bergelut untuk menarik dan mengekalkan bakat.

Ini amat ketara sepanjang dekad yang lalu apabila industri seperti kewangan dan teknologi menjadi lebih popular.

"Mereka sebenarnya mengambil pelajar terbaik kami untuk menyertai mereka... Jadi itu sudah menjadi kebiasaan hari ini," kata Encik Chuck Kho, presiden Persatuan Jurutera Perunding Singapura (ACES).

Beliau menarik perhatian kepada corak jurutera awal kerjaya yang beralih ke industri lain selepas beberapa tahun bekerja.

Bakat yang meninggalkan industri itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin kejuruteraan, yang memberi amaran bahawa kekurangan jurutera tempatan boleh menjejaskan keupayaan Singapura untuk membangunkan dan menyenggara prasarana.

"Akibat daripada kekurangan jurutera akan menjadi malapetaka untuk generasi akan datang," kata Encik Chew Tai Chong, pengarah urusan Asia-Pasifik di perundingan persekitaran binaan Arup, yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman kejuruteraan.

"Siapa yang akan menjaga aset anda yang semakin menua, siapa yang sebenarnya akan membantu anda untuk memperbaharui dan menambah baik dalam 50 tahun akan datang, jika anda tidak mempunyai jurutera untuk melakukannya?"

MINAT BERKURANGAN

Angka dari Kementerian Pendidikan menunjukkan minat yang berkurangan selama dua dekad. Pada tahun 2003, 42.9 peratus pelajar universiti mendaftar dalam sains kejuruteraan. Menjelang 2023, ia merosot kepada 22.2 peratus.

Pendaftaran politeknik mengikut trend yang sama, jatuh dari 43.3 peratus pada 2003 kepada 27.9 peratus pada 2023.

Di Politeknik Temasek, sementara minat dalam bidang seperti aeroangkasa dan kejuruteraan bioperubatan kekal stabil, kursus seperti kejuruteraan mekanikal dan elektrik menyaksikan pengambilan yang lebih perlahan, kata Encik Chang Hark Loong, timbalan pengarah program akademik dan jangkauan Sekolah Kejuruteraannya.

Pada masa yang sama, kemasukan ke kursus sedemikian menjadi kurang berdaya saing. Pada tahun 2010, peratusan ke-10 pelajar peringkat peperiksaan A yang diterima masuk ke kursus kejuruteraan aeroangkasa NTU mempunyai sekurang-kurangnya tiga A dan satu B.

Gred indikatif terkini menunjukkan empat C pada peratusan yang sama, walaupun perlu diberi perhatian bahawa universiti kini mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam mempertimbangkan kemasukan berdasarkan bakat.

Ramai graduan kejuruteraan juga akhirnya memilih laluan kerjaya yang berbeza.

Encik Chan Ewe Jin, presiden Institusi Jurutera Singapura, berkata faktor seperti waktu kerja yang panjang dan kurangnya penghargaan orang ramai terhadap kerumitan kerja kejuruteraan membuat karyawan muda menjauhi industri.

Di samping itu, katanya, imbuhan (gaji) selalunya tidak setanding dengan masa dan usaha yang diperlukan untuk maju dalam profesion itu.

"Tidak seperti beberapa kerjaya lain, kerjaya kejuruteraan berkembang melalui tunjuk ajar, latihan berstruktur dan pengalaman praktikal yang luas, yang secara semula jadi mengambil masa untuk diperoleh," katanya.

Bagi Mark, mengetahui bahawa syarikat tempat dia menjalani latihan industri membayar gaji permulaan di bawah purata kepada jurutera peringkat permulaan adalah titik perubahan.

"Keseluruhan aspek kewangan menjadi jurutera di Singapura tidak menarik sama sekali," katanya.

Berdasarkan tinjauan pekerjaan graduan terkini, graduan baru dalam bidang kejuruteraan tradisional di NUS, NTU dan SIT memperoleh gaji bulanan kasar median S$4,000 hingga S$5,500. Data tersebut mengambil kira graduan yang sudah meninggalkan industri.

Yang lain pula dihalang oleh jurang antara apa yang mereka pelajari di sekolah dan realiti pekerjaan.

John, graduan kejuruteraan mekanikal berusia 24 tahun yang kini bekerja dalam perundingan, berkata beliau hilang minat hanya selepas setahun mengikuti kursus itu.

"Saya menjangkakan ia akan menjadi lebih praktikal, lebih banyak pengalaman di lapangan, dan saya juga berharap untuk mempelajari perkara yang lebih berada di barisan hadapan industri," katanya.

Banyak bahan yang diajar, tambahnya, kelihatan seperti "dikitar semula" dari tahun-tahun lalu dan tidak sesuai digunakan dalam dunia sebenar.

Kevin, seorang pelajar kejuruteraan aeroangkasa, sedang mempertimbangkan untuk beralih ke bidang kewangan.

"Bukannya tidak ada peranan. Cuma peranan itu... lebih kepada MRO (penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih)," katanya.

USAHA UNTUK PERBAIKI PROSPEK

Pihak berkuasa menyedari perlunya untuk menarik dan mengekalkan bakat.

Bagi sektor kejuruteraan awam, sebuah pasukan petugas untuk perunding seni bina dan kejuruteraan membuat 11 cadangan, termasuk latihan industri dengan gaji permulaan yang lebih tinggi dan mentor yang berdedikasi.

Ia juga mencadangkan perubahan kepada amalan perolehan untuk membantu firma melabur lebih banyak dalam bakat.

Pakar industri dan pelajar mengalu-alukan cadangan tersebut dan menyatakan harapan bahawa langkah serupa akan digunakan di seluruh bidang kejuruteraan.

Pelajar tahun keempat NTU, Rohan Govindharajalu, berkata kira-kira 40 peratus rakan kejuruteraan mekanikalnya tidak pasti sama ada untuk menceburi bidang itu selepas tamat pengajian.

"Bayangkan jika syarikat hanya menawarkan S$200 atau S$300 lebih, maka perbezaan gaji mungkin sangat kecil... Dan jika minat mereka terhadap kejuruteraan cukup baik, mereka mungkin memilih untuk menceburi kejuruteraan dan bukannya pergi ke bank," kata Encik Govindharajalu, yang merupakan antara mereka yang berharap untuk meneruskan kejuruteraan selepas tamat pengajian.

Encik Kho dari ACES berkata pelaksanaan akan mengambil masa. "Tentunya ini tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata, bukan? Ia memerlukan banyak usaha berterusan, usaha berterusan selama sekurang-kurangnya beberapa tahun, untuk melihat perubahan."

PENJENAMAAN SEMULA KEJURUTERAAN

Lebih banyak perlu dilakukan untuk mengubah cara pelajar melihat kejuruteraan pada peringkat awal, kata presiden Persatuan Jurutera Wanita, Cik Ng Pei Fern.

Walaupun program jangkauan mendedahkan minat pelajar, ramai yang teragak-agak untuk mengikuti kursus kejuruteraan kerana "sukar untuk mendapat markah tinggi", katanya.

"Kami kehilangan beberapa bakat walaupun pada peringkat awal itu, yang saya rasa amat dikesali," katanya.

Dia juga kata, tanggapan salah mengenai kerja itu masih ada.

"Ramai orang entah bagaimana berpendapat bahawa kejuruteraan adalah untuk 'nerd' (orang yang terlalu obses dengan pelajaran/komputer), seolah-olah anda duduk di hadapan PC bersendirian hari demi hari, cuba melakukan sesuatu bersendirian," katanya. "Ia tidak seperti itu."

Encik Kho berkata sektor persekitaran binaan mengalami persepsi orang ramai yang menyamakannya dengan kerja yang boleh dilihat seperti tapak pembinaan.

"Tetapi sudah tentu, kerja kejuruteraan adalah lebih daripada itu. Jadi kerana kerja senyap kami di sebalik tabir, orang ramai tidak benar-benar menyedari kami," katanya, sambil menambah bahawa ACES sedang meningkatkan usaha untuk menjenamakan semula kerjaya itu.

Encik Chan dari IES berkata bahawa pelibatan yang lebih besar oleh pengamal boleh membantu mencetuskan minat.

"Apabila jurutera menerangkan impak kehidupan sebenar dan keseronokan kerja mereka, ia membantu pelajar melihat kejuruteraan melangkaui buku teks," katanya.

Sementara minat dalam kursus kejuruteraan tradisional mungkin sudah berkurangan, politeknik melihat peningkatan permintaan untuk bidang hibrid seperti AI dan kejuruteraan data, robotik dan mekatronik.

Dr Graham Ng, pengarah Sekolah Kejuruteraan Politeknik Nanyang, berkata pelajar semakin tertarik kepada kursus kejuruteraan hibrid yang menyepadukan kemahiran digital dan antara bidang berlainan.

"Ini mencerminkan peralihan yang lebih luas dalam pilihan pelajar dan jangkaan industri, dengan kurikulum kursus kini menerapkan kelestarian, pendigitalan dan teknologi baru muncul," katanya.

PERLU PEMBAHARUAN BAKAT

Untuk menampung kekurangan jurutera tempatan, Singapura terus bergantung kepada karyawan asing.

Menurut laporan MOM 2024 mengenai kekosongan jawatan, peranan seperti jurutera awam, industri dan pengeluaran adalah antara 10 kekosongan PMET teratas.

Namun, pakar mengatakan bahawa Singapura mesti membina semula pangkalan tempatan yang kukuh.

Pada akhir 1900-an, terdapat desakan untuk merekrut jurutera – "yang terbaik daripada yang terbaik", kata Encik Kho. Kini, dengan ramai daripada jurutera tersebut bersara, keperluan untuk pembaharuan bakat adalah mendesak.

"Siapa yang mengambil alih? Siapa yang mahu berada di kedudukan itu untuk mencipta generasi baharu perkara baharu?" kata Encik Chew dari Arup.

Perlu ada peralihan minda yang lebih luas, tambahnya.

"Ia bukan hanya tentang mencari wang. Ia adalah tentang sumbangan kita kepada kemanusiaan dan kepada generasi masa depan kita."
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita