Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji permulaan median pekerja sosial 'setaraf gaji semua siswazah baru', kata Masagos

Gaji permulaan median bagi pekerja sosial  meningkat daripada S$3,400 setiap bulan pada 2015 dan 2017 kepada S$3,600 pada 2019, iaitu "setanding dengan gaji semua siswazah baru", kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Aug 2021 05:24PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 11:47PM

SINGAPORE: Gaji permulaan median bagi pekerja sosial meningkat daripada S$3,400 setiap bulan pada 2015 dan 2017 kepada S$3,600 pada 2019, iaitu "setanding dengan gaji semua siswazah baru", kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli.

Gaji purata bulanan para pekerja itu meningkat daripada S$3,500 pada 2015 dan 2017 kepada S$3,600 pada 2019, tambah beliau.

Perangkaan itu berdasarkan tinjauan tenaga kerja dan gaji oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) yang mengumpulkan data gaji pekerja dalam agensi perkhidmatan sosial pada 2015, 2017 serta 2019.

Bercakap di Parlimen pada Isnin (2 Ogos), Encik Masagos menjawab satu soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Louis Ng (PAP-Nee Soon) tentang gaji permulaan bagi pekerja sosial dan sama ada MSF berhasrat untuk mengesyorkan gaji lebih tinggi buat mereka.

“MSF dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) komited dalam memberi panduan kepada sektor itu agar membayar gaji yang berdaya saing bagi semua karyawan perkhidmatan sosial termasuk pekerja sosial," tambah Encik Masagos.

NCSS menerbitkan garis panduan gaji sektor bagi pelbagai pekerjaan dalam sektor perkhidmatan sosial, ujar Encik Masagos.

“Garis panduan ini dikemas kini setiap tahun untuk mengikuti pasaran yang berdaya saing dan pergerakan gaji secara am," tambah beliau sambil menarik perhatian bahawa kebanyakan agensi perkhidmatan sosial menggunakan garis panduan berkenaan.

Dalam satu soalan tambahan, Encik Ng juga bertanya sama ada MSF akan mengusulkan kenaikan gaji bagi pekerja sosial pada tahun kewangan berikutnya.

“Saya pasti mereka menceburinya bukan kerana wang tetapi saya rasa satu gaji yang baik akan membantu dari segi mengekalkan pekerja sosial di mana saya rasa terdapat masalah dalam hal itu. Boleh saya tanya, apa lagi yang sedang MSF lakukan untuk mengekalkan pekerja sosial," soal Encik Ng.

Menjawab, Encik Masagos menekankan bahawa garis panduan gaji bukan sahaja mengambil kira persaingan antara agensi perkhidmatan sosial berbeza tetapi juga persaingan untuk kakitangan yang layak yang akan beralih ke sektor-sektor lain.

“Maka itu, kami mahu memastikan bahawa ia berada pada satu tahap yang setaraf dengan kemahiran dan persaingan pasaran yang boleh diperolehi oleh siswazah atau pekerja sosial ini," ungkapnya.

"Kita tidak seharusnya melakukan sesuatu terlalu awal,
kita tidak boleh campur tangan (dengan) kuasa pasaran kecuali jika hal itu sangat buruk bagi pekerja sosial kami. Itupun, apabila kami melakukannya, kita harus tahu bila untuk bertahan dan tidak campur tangan sepanjang masa." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan