Gaji permulaan doktor baru di SG dinaikkan hingga 13%

(Gambar fail: Calvin Oh/CNA)
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menaikkan gaji permulaan bagi doktor baru dalam sektor awam dan akan memperkenalkan elaun baru untuk kerja hujung minggu di hospital.
Mulai 1 Januari, gaji permulaan doktor pelatih dan pegawai perubatan (MO) tahun pertama akan dinaikkan tujuh hingga 13 peratus, umum MOH pada Khamis (12 Jan).
MO yang berkhidmat dalam sektor awam hingga possiswazah tahun enam dan doktor gigi hingga possiswazah tahun 4 boleh menjangkakan penyesuaian gaji berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bon mereka, tambah MOH.
Menurut wadah pekerjaan Indeed, doktor pelatih dan MO yang diambil kerja oleh MOH Holdings (MOHH) - syarikat induk bagi kelompok jagaan kesihatan awam Singapura - membawa pulang purata gaji bulanan sekitar S$5,000 hingga S$6,000.
Mulai 1 Feb, semua doktor dan doktor gigi juga akan menerima elaun untuk kerja hujung minggu di hospital, dari S$160 hingga S$275, bergantung kepada pangkat mereka.
Kadar elaun bagi jabatan kecemasan dan syif malam atau 'night float' bagi semua doktor MOHH juga akan disemak mulai 1 Februari.
Jumlahnya antara S$150 hingga S$940, bergantung kepada syif dan pangkat doktor berkenaan, menurut MOH semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.
Ia menyusuli semakan pada 2022 di mana kadar elaun bagi doktor yang bekerja lebih 24 jam sehari dan doktor yang syif mereka dilanjutkan sehingga lima hingga enam jam disemak semula dan dikemas kini, menurut MOH.
Gaji bagi beberapa kumpulan doktor dan doktor gigi tertentu akhir sekali dinaikkan pada 2019.
"MOH, bersama MOHH dan kelompok jagaan kesihatan awam, kerap mengkaji semula dan memastikan gaji doktor dan doktor gigi dalam sistem jagaan kesihatan awam berdaya saing," menurut MOH pada Khamis.
Bagi jururawat jagaan kesihatan awam pula, gaji asas mereka dinaikkan antara lima hingga 14 peratus pada Julai 2022 menyusuli semakan semula gaji mereka pada 2021.
Lebih 25,000 jururawat turut menerima bayaran khas antara 1.7 hingga 2.1 bulan gaji asas mereka, sebagai sebahagian usaha untuk menarik dan mengekalkan jururawat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.