Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji pemegang jawatan politik bakal disemak tahun ini; bagaimanakah ia dihitung?

Anggaran Waktu Membaca:
Gaji pemegang jawatan politik bakal disemak tahun ini; bagaimanakah ia dihitung?

(Gambar: Wikimedia Commons)

Diterbitkan : 13 Jan 2023 12:03AM Dikemas Kini : 13 Jan 2023 01:20AM

SINGAPURA: Semakan gaji pemegang jawatan politik dijangka dilakukan pada  2023, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.

Ketika rangka kerja gaji sedia ada diperkenalkan pada 2012, Parlimen meluluskan Kertas Putih mengenai "Gaji bagi  Pemerintah yang Cekap dan Komited", yang menyarankan sebuah jawatankuasa bebas dilantik setiap lima tahun untuk menyemak rangka kerja gaji bagi pemegang  politik.

Kali terakhir semakan dijalankan adalah pada 2017, tanpa membawa sebarang perubahan terhadap rangka kerja gaji itu. 

Bagaimanakah gaji pemegang jawatan politik dihitung, sama ada terdapat perubahan yang disarankan sebelum ini dan sebab ia tidak dilaksanakan. 

BAGAIMANA GAJI POLITIK DITETAPKAN?

Gaji sektor swasta dijadikan tanda aras bagi menetapkan gaji pemegang jawatan politik. 

Menurut Bahagian Perkhidmatan Awam (PSD), penanda aras bagi seorang menteri yang berada di peringkat permulaan, yang disandarkan pada gred MR4, iaitu berdasarkan pendapatan median 1,000 rakyat Singapura kumpulan pendapatan teratas, dengan potongan 40 peratus dikenakan "untuk mencerminkan etos khidmat awam".

Gaji pemegang jawatan politik yang lain ditentukan berdasarkan nisbah gaji mereka kepada MR4. Nisbah gaji mereka mencerminkan peranan serta tanggungjawab pelbagai pemegang jawatan politik. 

Misalnya, Perdana Menteri mendapat dua kali ganda gaji seorang menteri MR4, menurut PSD. 

Pemegang jawatan politik menerima hanya satu pakej gaji, tidak kira bilangan jawatan yang disandangnya. 

SEBAB TANDA ARAS GAJI DIBUAT SEBEGITU RUPA? 

PSD menyatakan meskipun ciri utama yang dicari Pemerintah dalam diri seorang pemegang jawatan politik adalah semangat untuk berkhidmat kepada negara,  ia "tidak mencukupi untuk mentadbir negara dengan baik".

Pemerintah juga mencari ciri-ciri lain, termasuk "kebolehan mengurus dan kepimpinan, keupayaan untuk mengendalikan pelbagai tanggungjawab, kemampuan untuk menghuraikan masalah dan krisis, serta mampu berdiri bersama pemimpin dunia dan memperjuangkan kepentingan Singapura". 

Termasuk dalam senarai 1,000 warga Singapura daripada golongan berpendapatan paling tinggi itu adalah mereka yang memegang jawatan pengurusan kanan, dari CEO hingga kepada pengurus besar dalam pelbagai industri; wakil  perkhidmatan kewangan, termasuk tokoh bank, pengurus aset dan pedagang saham; serta profesional, termasuk peguam, akauntan, doktor dan jurutera.

"Merujuk kepada tanggungjawab pekerjaan  1,000 individu tersebut, ia merupakan tahap yang boleh diterima dan mencerminkan mutu serta keupayaan individu yang boleh dijadikan menteri bagi  sebuah pemerintah yang terus cekap," tambah PSD. 

JADI, BERAPAKAH GAJI SEORANG MENTERI? 

Gaji seorang menteri dalam lingkungan MR4 boleh bermula dari S$46,750 setiap bulan, menurut PSD, bermakna 
S$935,000, setahun. Ia termasuk komponen tetap S$607,750 manakala selebihnya komponen berubah-ubah.

Penanda aras gaji bulanan yang digunakan ialah S$55,000 atau S$1.1 juta setiap tahun dengan komponen tetap S$715,000.

BERAPAKAH GAJI PERDANA MENTERI? 

Perdana Menteri menerima pakej gaji tahunan sebanyak dua kali ganda daripada paras penanda aras seorang menteri MR4, atau S$2.2 juta.

Tiada sesiapa yang boleh memutuskan bonus prestasi bagi Perdana Menteri, maka itu bonus beliau adalah berdasarkan bonus negara sahaja, menurut PSD. 

BAGAIMANA PULA GAJI PRESIDEN? 

Presiden menerima gaji bulanan serupa dengan Perdana Menteri, termasuk bulan ke-13, serta komponen  berubah-ubah tahunan tetapi tanpa bonus prestasi dan bonus negara. 

Ini sekali gus menjadikan gaji yang diterima Presiden berjumlah S$1.54 juta. 

APAKAH DAPATAN SEMAKAN RANGKA KERJA GAJI 2011, DAN BAGAIMANA RESPONS PEMERINTAH? 

Sebelum semakan dijalankan pada 2011, kumpulan penanda aras adalah lebih kecil, iaitu terdiri daripada 48 individu, terdiri daripada warga Singapura, penduduk tetap dan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Parlimen kemudiannya meluluskan saranan jawatankuasa untuk memperluaskan kumpulan penanda aras kepada bilangan yang sedia ada iaitu 1,000 individu. Di samping itu, ia juga membataskannya kepada warga Singapura sahaja yang bekerja di Singapura.

Penanda aras baru itu bermakna ciri pencen ditiadakan dan gaji tahunan menteri merosot sebanyak 37 peratus kepada S$1.1 juta manakala gaji tahunan Perdana Menteri berkurangan sebanyak 36 peratus.

Sumber : CNA/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan