Skip to main content

Singapura

Gaji median bulanan, kadar pengambilan pekerja lebih tinggi bagi lulusan 2018

 Para lulusan yang menamatkan pengajian pada 2018 dan mendapatkan pekerjaan sepenuh masa melaporkan gaji median permulaan lebih tinggi berbanding mereka yang menamatkan pengajian pada tahun sebelumnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Gaji median bulanan, kadar pengambilan pekerja lebih tinggi bagi lulusan 2018

Para lulusan NUS. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 26 Feb 2019 04:08PM Dikemas Kini : 26 Feb 2019 04:43PM

SINGAPURA: Para lulusan yang menamatkan pengajian pada 2018 dan mendapatkan pekerjaan sepenuh masa melaporkan gaji median permulaan lebih tinggi berbanding mereka yang menamatkan pengajian pada tahun sebelumnya. Ini menurut hasil Tinjauan Pengambilan Pekerja Graduan Bersama hari ini (26 Feb).

Kadar pengambilan pekerja dan pekerjaan sepenuh masa bagi para lulusan secara keseluruhannya juga lebih tinggi berbanding kohort sebelumnya.

Tinjauan itu, yang melibatkan 11,200 graduan baru daripada program sepenuh masa, dijalankan oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

GAJI PERMULAAN MEDIAN LEBIH TINGGI

Secara purata, gaji bulanan dalam kalangan para lulusan baru yang bekerja sepenuh masa adalah S$3,733 pada 2018 - iaitu lebih tinggi berbanding S$3,613 pada 2017. Gaji median bulanan pula adalah S$3,500 berbanding S$3,400 pada 2017.

Daripada 10,100 lulusan baru dalam tenaga buruh, 90.2 peratus berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan setelah menduduki peperiksaan akhir, iaitu lebih tinggi berbanding 88.9 peratus lulusan pada 2017.

Peratusan mereka yang mendapatkan pekerjaan sepenuh masa juga meningkat kepada 81.2 peratus, berbanding 78.4 peratus pada 2017.

Bilangan lulusan yang masih menganggur dan mencari pekerjaan pula jatuh 2.1 peratus, manakala jumlah mereka yang bekerja bebas atau melakukan pekerjaan sambilan dan kerja sementara juga merosot.

fddjdj

(Gambar: Tinjauan Pengambilan Pekerja Graduan Bersama 2018) 

Para lulusan jurusan Maklumat dan Teknologi Digital serta Perniagaan dan Persekitaran Terbina juga mencatat kadar pengambilan pekerja sepenuh masa tertinggi.

Secara keseluruhannya para lulusan kejuruteraan juga menunjukkan prestasi baik dari segi kadar pengambilan pekerja sepenuh masa berbanding 2017. Gaji median bulanan juga meningkat bagi semua jurusan pada 2018.

(Gambar: Tinjauan Pengambilan Pekerja Graduan Bersama 2018) 

Tinjauan susulan yang dijalankan pada 2018 pula melibatkan 700 lulusan dari NTU, NUS dan SMU. Para lulusan itu adalah daripada jurusan Seni Bina, yang memulakan pengajian pada 2015, serta dari Sains Bioperubatan dan Perubatan Cina, Undang-Undang, Perubatan dan jurusan Farmasi.

Daripada bilangan itu, 96.9 peratus mendapat pekerjaan selepas menjalani latihan amali, perkhidmatan di hospital atau latihan tahun pertama - sama seperti 2017.

Mereka yang berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa meningkat kepada 93.9 peratus, lebih tinggi berbanding 93.6 peratus pada 2017. Lagi 0.4 peratus bekerja secara bebas, iaitu lebih rendah berbanding 1 peratus pada 2017.

Mereka yang bekerja sambilan atau kerja sementara pula adalah 2.6 peratus pada 2018, berbanding 2.2 peratus pada 2017.

Secara purata, gaji bulanan mereka yang bekerja sepenuh masa adalah S$4,583 berbanding S$4,565 pada 2017. Gaji median bulanan pula kekal pada S$4,500 sepanjang tiga tahun lalu. 

KOHORT SULUNG LULUSAN SUSS

Tinjauan itu juga merangkumi keputusan pengambilan pekerja bagi kohort pertama lulusan SUSS, melibatkan para lulusan sarjana muda sepenuh masa yang menamatkan pengajian mereka pada 2018.

Kadar pengambilan pekerja bagi para lulusan SUSS adalah serupa dengan para lulusan universiti-unversiti awam, menurut tinjauan berkenaan. 

Kadar pengambil pekerja secara keseluruhan dan sepenuh masa bagi para lulusan SUSS masing-masing adalah 95.5 peratus dan 90.9 peratus pada 2018.

Gaji median bulanan bagi mereka yang bekerja sepenuh masa adalah S$3,000. Ini bagi mereka daripada jurusan Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Sains Kewangan dan Sarjana Muda Sains Pemasaran.  

Sumber : CNA/AI/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita