Gaji lebih tinggi mungkin pikat kapten bas baharu; tuntutan kerja jadi cabaran kekalkan pemandu
Gaji permulaan yang lebih tinggi mungkin dapat memikat lebih ramai orang untuk menyertai industri bas awam, namun mengekalkan mereka kekal sebagai satu cabaran besar, menurut beberapa kapten bas kepada Mediacorp.
Seorang kapten bas di Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)
Ini kerana gaji dan bonus yang lebih baik tidak semestinya dapat meyakinkan pekerja baharu untuk terus kekal bekerja melebihi setahun dan membina kerjaya jangka panjang dalam industri tersebut.
Menurut mereka, pekerjaan itu melibatkan waktu mula kerja yang sangat awal, tempoh memandu yang panjang, aturan syif dipecahkan (split-shift arrangement) yang mencabar serta risiko berlaku kemalangan.
Pada Rabu (3 Jun), pemerintah mengumumkan bahawa ia akan membiayai kenaikan gaji sebanyak S$450 sebulan bagi kapten bas baharu yang merupakan rakyat tempatan dan Penduduk Tetap (PR) Singapura mulai tahun depan.
Bersama peningkatan bonus pendaftaran sebanyak S$2,000, pemandu bas tempatan yang baharu boleh memperoleh lagi S$600 sebulan pada tahun pertama mereka. Ini akan meningkatkan purata gaji bulanan mereka kepada lebih S$4,000, termasuk bayaran kerja lebih masa, bonus dan elaun.
Sebagai perbandingan, gaji median permulaan bagi graduan universiti pada 2025 adalah sekitar S$4,500 sebulan, menurut satu tinjauan pekerjaan graduan yang dijalankan tahun ini.
Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata pada Rabu (3 Jun) bahawa bekalan kapten bas yang lebih besar juga akan membolehkan penambahbaikan keadaan kerja, termasuk aturan syif, serta "menjadikan tugas memandu bas satu kerjaya yang lebih mampan".
Para pakar dan individu dalam industri berkata pekerjaan itu sememangnya mencabar. Mereka menambah bahawa gaji yang lebih tinggi akan membantu menjadikan pekerjaan tersebut lebih menarik dan pada masa yang sama meningkatkan usaha mengekalkan pekerja.
GAJI BUKAN SATU-SATUNYA FAKTOR
Meskipun gaji permulaan yang lebih tinggi dijangka boleh menarik lebih ramai orang untuk menyertai industri tersebut, beberapa kapten bas yang ditemui Mediacorp berkata mereka telah melihat ramai rakan sekerja yang lebih muda menyertai dan meninggalkan industri itu tidak lama kemudian, walaupun selepas beberapa pusingan kenaikan gaji dan peningkatan bonus pendaftaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seorang kapten bas warga Singapura, yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata: "Saya rasa kebanyakan pendatang baharu akan menyertai industri ini tanpa benar-benar memahami apa yang perlu diharungi oleh para kapten bas."
Selain memandu dengan selamat, kapten bas juga perlu menguruskan khidmat pelanggan, mengharungi tempoh yang panjang di jalan raya dan bekerja mengikut aturan syif, kata pemandu berusia 30-an tahun itu.
Bagi tugas sedemikian, para pemandu akan memulakan syif mereka pada waktu sibuk sebelah pagi sebelum berehat. Mereka kemudian perlu kembali bertugas semasa tempoh sibuk sebelah petang. Kapten bas tidak dibayar bagi tempoh rehat antara kedua-dua syif tersebut.
Ramai pemandu baharu mungkin tidak bersedia untuk menghadapi tuntutan kerja tersebut, tambah beliau.
"Saya tidak fikir usaha mengekalkan pekerja akan bertambah baik dalam jangka pendek," kata beliau.
Seorang lagi kapten bas yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Chong berkata prospek bangun seawal pukul 3.00 pagi untuk memandu bas pertama, yang keluar dari depoh sebelum pukul 5.00 pagi, mungkin menjadi satu kejutan kepada sesetengah pekerja baharu.
"Mampukah mereka bertahan, bangun pada pukul 3.00 pagi secara tetap? Pekerjaan ini juga tidak mempunyai waktu makan atau waktu kerja yang tetap," kata Encik Chong, seorang PR Singapura. "Ada yang mampu melakukannya selama beberapa bulan, tetapi ramai yang tidak dapat bertahan selama bertahun-tahun."
Kapten bas berusia 40-an tahun itu, yang telah berkhidmat dalam industri tersebut selama 10 tahun, berkata beliau pernah melihat kapten bas tempatan yang menyertai industri itu berhenti selepas antara enam bulan hingga setahun.
PENGENDALI BAS JANJI LEBIH DARIPADA SEKADAR KENAIKAN GAJI
Selain kenaikan gaji bagi kapten bas baharu, para pengendali bas awam turut bersetuju untuk melaksanakan pelarasan gaji "sekali sahaja" bagi kapten bas yang masih bekerja dalam industri tersebut.
Mediacorp difahamkan, bagi 2,200 kapten bas SMRT yang masih bertugas, gaji kasar bulanan mereka akan dinaikkan antara S$150 hingga S$250 mulai tahun depan. Seramai 5,400 kapten bas SBS Transit yang masih bertugas pula boleh menjangkakan kenaikan gaji kasar bulanan sehingga S$250.
Mediacorp telah menghubungi Go-Ahead Singapore dan Tower Transit Singapore bagi mendapatkan maklumat mengenai kenaikan gaji untuk kapten bas masing-masing.
Selain menaikkan gaji, keempat-empat pengendali bas awam pada Rabu (3 Jun) turut menyatakan bahawa mereka akan mengambil langkah tambahan untuk meningkatkan usaha mengekalkan pekerja.
Langkah tersebut termasuk menyingkatkan tempoh memandu secara berterusan bagi laluan bas yang lebih panjang serta membahagikan syif kepada dua sesi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBS Transit Jeffrey Sim berkata syarikat itu kekal komited untuk menyediakan aturan kerja fleksibel, sokongan penjagaan kanak-kanak bagi pekerja yang layak, insentif dan bonus yang berdaya saing, serta kestabilan pekerjaan "sebagai sebahagian daripada persekitaran kerja yang kondusif".
Para pengendali bas juga menyatakan terdapat laluan kerjaya yang jelas dalam sektor tersebut.
"Ramai yang berjaya melangkah ke jawatan operasi kanan, memikul tanggungjawab sebagai pembimbing dan jurulatih, atau membina kerjaya dalam bidang pengurusan dan operasi menerusi anugerah pengajian serta tajaan," kata Encik Sim.
Pengarah Urusan SMRT Buses Tan Peng Kuan berkata selain gaji, pengendali bas itu juga "memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan peluang bagi pertumbuhan dan kemajuan".
Bekas kapten bas awam Muhammad Naz Farihin berkata aturan syif yang lebih fleksibel mungkin lebih berkesan dalam mengekalkan kapten bas kerana beliau sendiri mendapati syif sedemikian sangat "mencabar".
"Kadangkala, tempoh rehat antara dua sesi kerja boleh mencecah antara dua hingga enam jam, tetapi dari sudut pandangan kapten bas, ia seolah-olah membazirkan masa mereka," kata Encik Naz, yang kini bekerja di sebuah syarikat bas swasta.
Profesor Madya Ekonomi Walter Theseira dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berkata terdapat had kepada apa yang boleh dilakukan oleh pengendali bas untuk menjadikan pekerjaan itu lebih menarik.
"Hakikatnya, kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa ini adalah pekerjaan yang mempunyai keperluan masa dan disiplin yang sangat khusus, yang tidak terdapat pada banyak pekerjaan lain," kata pakar ekonomi pengangkutan itu.
Sebagai contoh, kapten bas tidak boleh sesuka hati memilih untuk tidak bertugas kerana keadaan itu boleh menyebabkan sesuatu perkhidmatan bas tidak dapat beroperasi.
"Perkara-perkara seperti ini mempunyai ruang yang terhad untuk diubah," tambah beliau.
TUNTUTAN KERJA WAJARKAN GAJI YANG LEBIH TINGGI
Prof Madya Theseira berkata gaji pemandu bas sememangnya perlu disemak semula.
Menurut beliau, profesion itu bukan sahaja perlu menarik warga tempatan yang mempunyai tahap pendidikan formal yang lebih tinggi, malah individu yang memiliki kemahiran dalam bidang operasi manual seumpamanya.
Gaji pemandu bas juga perlu lebih tinggi berbanding pekerja gig atau pekerja platform, tambah beliau.
"Ia perlu menjadi lebih baik kerana sebenarnya ini pekerjaan yang memerlukan kemahiran yang lebih tinggi. Ramai rakyat Singapura boleh menjadi pemandu kereta sewa privet, tetapi tidak ramai yang boleh menjadi pemandu bas," kata beliau.
Jumlah kapten bas yang terdiri daripada warga Singapura atau PR merosot daripada 54 peratus pada 2021 kepada 41 peratus pada 2025.
Beliau menambah bahawa tugas kapten bas kurang dihargai pada masa lalu dan kenaikan gaji itu bertujuan untuk memperbetulkan ketidakseimbangan tersebut.
LTA pada Rabu (3 Jun) menyatakan bahawa pelarasan gaji itu ditetapkan berdasarkan data gaji nasional dan jawatan yang setara dalam industri lain di Singapura.
"Berdasarkan penanda aras yang relevan, kami menilai tahap pampasan yang diperlukan untuk memikat dan mengekalkan tenaga warga tempatan, termasuk mereka yang memasuki industri ini pada pertengahan kerjaya dan mungkin sedang menerima gaji yang lebih tinggi," kata seorang jurucakap LTA.
Kenaikan gaji bagi kapten bas awam turut mendapat perhatian pengarah syarikat bas privet Westpoint Transit Lionel Lee, yang berkata gaji lebih tinggi amat penting khususnya bagi pekerjaan yang mencabar.
Pada 2023, Westpoint menyatakan bahawa ia menaikkan gaji permulaan bagi pemandu bas warga Singapura dan PR sebanyak 30 peratus, atau sehingga S$5,000 sebulan, bagi menangani kekurangan tenaga kerja.
Encik Lee berkata beliau hanya boleh mengulas mengenai industri bas privet, namun mengakui terdapat persamaan antara industri tersebut dengan sektor bas awam.
Selepas lebih dua tahun, beliau berkata kebanyakan pemandu tempatan yang diambil bekerja dengan gaji permulaan yang lebih tinggi masih kekal dalam syarikat tersebut.
"Ganjaran sememangnya faktor penting apabila cuba menjadikan sekurang-kurangnya beberapa aspek daripada pekerjaan yang sangat mencabar ini lebih diterima," kata Encik Lee.
"Untuk terus kekal dalam peranan tersebut dan cuba mengatasi sebahagian daripada cabarannya, tidak dapat dinafikan bahawa gaji juga memainkan peranan penting," tambah beliau.
Bagi sektor bas privet, gaji permulaan yang ditawarkan Westpoint "bukan sahaja wajar, malah merupakan satu keperluan", kata beliau.
"Jika anda mahu menarik bakat tempatan, anda perlu bersaing dengan peluang pekerjaan lain yang tersedia kepada bakat tempatan," kata beliau.
PENGENDALI TIDAK BOLEH LEKA
Meskipun pemerintah sudah tampil untuk menyokong kenaikan gaji permulaan bagi kapten bas tempatan, pengendali pengangkutan awam masih berperanan untuk menarik minat dan mengekalkan mereka, kata Prof Madya Theseira.
"Peranan pengendali pada asasnya ialah menggunakan kemahiran pengurusan dan keupayaan operasi mereka untuk memperbaiki keadaan kerja para pemandu bas," kata beliau.
"Apa yang membimbangkan ialah jika pengendali melepaskan tanggungjawab mereka untuk menjadi pengurus yang baik dan menyelesaikan semua masalah hanya dengan meminta pemerintah untuk membuat pembayaran."
Beliau akur bahawa usaha untuk meningkatkan kecekapan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.
Sebagai contoh, syif yang terbahagi kepada dua sesi membolehkan para pengendali mengerahkan tenaga kerja yang terhad pada waktu sibuk sebelah pagi dan petang, ketika pemandu paling diperlukan.
"Ia membolehkan anda menggunakan tenaga kerja yang terhad pada waktu yang benar-benar memerlukan mereka, iaitu pada waktu pagi dan petang," kata beliau.
"Namun, ia merupakan satu bentuk kecekapan yang kita tahu tidak digemari pemandu ... Saya rasa kita perlu berhati-hati berhubung perkara ini kerana walaupun kita mahu pengendali yang cekap dan pengurusan yang baik, kita juga tidak mahu mereka berbuat demikian dengan mengorbankan kebajikan para pemandu."
LTA pada Rabu menyatakan bahawa ia tidak akan membiayai kenaikan gaji permulaan dan bonus itu buat selama-lamanya.
Pemerintah akan memberi sokongan bagi pelarasan tersebut sehingga tender setiap pakej bas dibuka semula atau diperbaharui. Ini termasuk berkongsi sebahagian daripada kos pelarasan gaji kapten bas yang baru menyertai industri tersebut, dengan bakinya ditanggung oleh pihak pengendali.
Bagi bidaan tender pada masa hadapan, pengendali pengangkutan awam dijangka mengambil kira gaji permulaan yang lebih tinggi itu, menurut LTA.
Mediacorp telah menghubungi keempat-empat pengendali bas awam - SMRT, SBS Transit, Go-Ahead Singapore dan Tower Transit Singapore - untuk bertanya tentang kesan langkah tersebut terhadap bidaan tender mereka pada masa hadapan.
TUMPUAN PADA KUALITI, BUKAN KUANTITI
Encik Naz berkata tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada usaha untuk mendapatkan lebih ramai pemandu bas, sebaliknya mencari calon yang berkualiti.
"Anda boleh mempunyai seramai mana pemandu sekalipun yang menyertai industri ini, tetapi berapa ramai yang benar-benar boleh memandu dengan selamat di jalan raya?" kata beliau. "Ia akan menjadi faktor yang berisiko kepada industri jika anda mengambil individu yang mungkin membahayakan orang lain."
Para pengendali pengangkutan awam perlu memperkukuh latihan dan memastikan pekerja baharu dibimbing "dari awal hingga akhir", tambah beliau.
"Memandu bas bukan sekadar mengendalikan kenderaan tersebut. Ia melibatkan penumpang, pematuhan jadual yang ketat dan seribu satu perkara lain yang mungkin berlaku sepanjang perjalanan bas," kata beliau.
Seorang lagi kapten bas warga Singapura yang berusia dalam lingkungan 30-an tahun berkata kenaikan gaji itu boleh membantu memupuk rasa bangga terhadap pekerjaan tersebut dan beliau berharap pemandu baharu turut merasakan perkara yang sama.
"Orang ramai perlu mengubah tanggapan bahawa kami hanya pemandu bas. Kami perlu memberi perhatian kepada lebih banyak perkara daripada yang mereka jangkakan," kata beliau. "Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membantu kapten bas berasa bangga terhadap pekerjaan mereka."
Beliau berkata pekerjaan itu kompleks dan ia adalah sesuatu yang dibanggakannya secara peribadi. Selain memandu, kapten bas harus mampu menguruskan krisis dan khidmat pelanggan, selain mempunyai kelayakan untuk melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) untuk menangani sebarang kecemasan.
"Ia sebenarnya satu peranan yang sangat penting dalam masyarakat," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.